Kepada sesiapa yang berminat dengan sejarah Bukit Besi, atau ingin melihat gambar klasik dan gambar tinggalan zaman kegemilangan perlombongan tersebut silalah ke sini :- Edisi Bukit Besi.

Mungkin anda boleh mendapat sedikit maklumat dan manfaat.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, April 24, 2010 2 orang royak doh

Woi! Woi! Bangung ke lauk weiii..!
(Woi! Woi! Bangun ke laut weiii..!)

Perahu di atas dipilih sebagai ikon Journey Terengganu. Ia menggambarkan pekerjaan tertua dalam negeri Terengganu sesuai dengan keadaan geografi Terengganu yang berpantai menghadap Laut China Selatan. Ke Laut adalah perkataan sinonim bagi para nelayan di negeri ini bagi mencari rezeki yang halal.

Rata-rata rakyat Terengganu adalah pemakan ikan (macam orang Jepun juga). hasil tangkapan laut memberikan idea kepada suri untuk mencipta makanan berlauk hasil dari laut sejak dahulu lagi. Jika negara Jepun mempunyai sushi, Terengganu pula mempunyai deretan pelbagai makanan terutama keropok lekor. Selain itu juga, hasil pelbagai tangkapan hasil laut maka terciptalah sajian terdiri nasik dagang berkuah ikan tongkol (Aye), ketupat sotong (sotong disumbat pulut), ikan dan sotong celup tepung, keropok keping, otak-otak Terengganu, pais dan sata.

Berbalik kepada ikon perahu yang dipilih ini ialah kerana perahu ini dekat dengan kehidupan Awang bahkan mungkin dekat dengan kehidupan pembaca yang lahir di Terengganu.


Jadi apa lagi, woi woi bangun, ke laut weiii...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, April 23, 2010 0 orang royak doh

Beberapa hari yang lalu Awang telah berfikir dan membuat lakaran kasar untuk rekabentuk banner untuk blog Journey Terengganu, dan barulah hari ini Awang meletakkan banner untuk blog Journey Terengganu ini. Sedikit penerangan banner untuk blog ini (sila klik gambar untuk besarkan) :

Gambar-gambar klasik menunjukkan zaman kegemilangan perlombongan bijih besi di Bukit Besi di daerah Dungun yang merancakkan ekonomi negeri Terengganu dan daerah Dungun sendiri. Percaya atau tidak negeri Terengganu pernah mempunyai landasan dan keretapi pada waktu itu, dan jangan ingat Terengganu tidak pernah mempunyai landasan keretapi malah kini satu landasan keretapi dan pengangkutan tertua ini telah diaktif digunakan sebagai pengangkut produk petrokimia antara pelabuhan Kuantan melalui Gebeng, Pahang hingga ke Kerteh, Kemaman (loji Petlin Malaysia Sdn Bhd adalah stesen akhirnya).


Antara panorama indah di kampung-kampung di negeri Terengganu, jeti dan sungai serta pemandangan jambatan yang merentasi sungai yang lebar begitu mengasyikkan. Suasa aman dan damai di kampung-kampung klasik di negeri Terengganu. Bagi penggemar suasa kampung, mungkin boleh datang ke negeri ini di mana suasana kampungnya belum terusik dengan kemajuan pembangunan.


Deretan gambar-gambar di atas menunjukkan flora warna-warni yang segar. Jikalau ke kampung-kampung di negeri Terengganu, penduduk-penduduknya menanam pokok-pokok bunga kecil yang berwarna-warni yang tumbuh subur dan membuat hati tertawan dengan kepelbagaiannya. Begitu juga di bandar-bandar daerah utama di negeri ini, majlis perbandaran dan daerah juga mengambil peluang menanam pokok-pokok bunga bagi menceriakan bandar-bandar di negeri ini.


Gambar-gambar ini menunjukkan keindahan kuning emas pasiran pantai di sepanjang negeri Terengganu bermula dari Kemaman hinggalah ke Besut. Batuan di tepi pantai dan alunan ombak bersama deruan angin begitu nyaman, menjadi tempat berkelah atau istirehat seketika kala petang. Bagi yang berminat dengan sejarah boleh ke Muzium Negeri, sambil menikmati suasana kampung yang permai. Bagi yang berminat dengan seni bina juga boleh menghayati seni bina unik Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) di Kuala Ibai yang terapung dari aras air tasik sambil menghirup udara nyaman dari Laut China Selatan dan beribadah dengan tenang.


Gambar-gambar ini pula menunjukkan produk-produk hasil keluaran dan barang-barang masakan yang dijual di pasar-pasar dalam negeri Terengganu. Gambar canting dan produk kain batik memang sinonim dengan negeri ini begitu juga dengan hasil lautnya iaitu udang baring (udang kering), beras dan pulut serta keropok keping yang banyak dijual dan boleh didapati sama ada di pasar besar atau di pasar minggu (pasar malam).

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, April 22, 2010 0 orang royak doh

Kalau anda tiba dari luar negara mendarat di KLIA dan mengambil bagasi di Carousel E atau F (Baggage Reclaim E/F - Tuntutan Bagasi E/F) anda pasti terpandang dan terpesona dengan paparan iklan yang menggambarkan keindahan dan budaya negeri Terengganu Darul Iman. Promosi sebegini amat bijak kerana KLIA adalah pintu masuk negara dan first impression atau tanggapan awal pelancong ke Malaysia pasti tertarik, teruja dan tertanya-tanya di manakah gterletak tempat menarik ini dan pastinya mahu ke negeri Terengganu Darul Iman. Bagi anak jati Terengganu yang baru pulang dari luar negara dan mendarat ke KLIA pasti teruja untuk pulang ke tanah kelahiran dengan segera setelah melihat beberapa paparan iklan promosi pelancongan negeri Terengganu. Pasti rindu...








Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Bagi mengenali negeri Terengganu dan sajian makananya serta tempat khususnya di Dungun, perhatikan dan fahami pantun di bawah ini :

[Pembuka Kata]

Ikan Aye dibuat singgang,
Cicah pula tempoyak belacan,
Kuala Dungun ombak tak renggang,
Pemula daerah bermula pekan...

[Cerita]

Ketupat sotong bukan dianyam,
Dimakan begitu kuahnya menimbun,
Ke Tanah Lot jumpa bersalam,
Tempat mastautin keturunan Tambun...

Mencari rempah daun pisang semua,
Bakar Otak-otak ikan tenggiri,
Moyang Mahmud membuka Sura,
Kini bermula bandar berseri...

Nasi Minyak hidangan pengantin,
Dicari jua setiap pagi,
Kalau ke Sura membeli kain,
Pesan kita bertandanglah lagi...

Sata dibakar berdaun pisang,
Dijual di pasar setiap Khamis,
Ke Sura Hujung Jumaat petang,
Mencuba cinta mengayat manis...

Kuih Nganang kuih lama,
Hidangan jiran dan tetamu,
Tiga Sura kampung lama,
Makin masyhur madrasah ilmu...

Nasi Dagang acar mentimun,
Pulut lepe asalnya panggang,
Ke Teluk Lipat jangan mengelamun,
Cubalah main wau layang-layang...

Nasi Kunyit nama diberi,
Pulut Kuning nama lainan,
Hati sayu memandang sepi,
Sungai Dungun tempat mandi-mandian...

Lékor dan Göndé asalnya sama,
Itulah keropok nama diberi,
Sungai Udang bukan hanya Melaka,
Nama seiras tempat tidak seperti...

Asam Gumpal Asang Gupa,
Rasa manis bila dimakan,
Kampung nelayan Kampung Bijangga
Di tepi sungai rumah kediaman...

Laksam dihidang membuka selera,
Röjök Katéh pedas sekali,
Bakar ikan di Sungai Buaya,
Pengkalan Macang siapa kenali?

Nasi Kapik Nasi Himpit asalnya
Pagi pula dibawa bekalan,
Pengkalan Tengku Jaafar di mana pula?
Silalah kita bertanya jalan...

Keping dihiris dijemur mentari,
Keropok Keping dipanggil nama,
Nibong Bawah jauh sekali,
The Mel pula di situ sahaja...

Roti Payang di dalam Tempayan,
Di sebelah barat Nan namanya,
Ke Padang Jambu mencari sarapan,
Warung kedai enak makanannya...

Pasar Ahad menjual juadah,
Ada tepung bungkus tepung pelita,
Bukit Tebuk laluan berubah,
Ditar dilampu tiada gelap gelita

Murah sekali Tepung Pasung,
Dibeli juga paih inti tenggiri,
Hebat juga Pulau Serai ditanggung,
Pulaunya air tiada dikelilingi...

Asang glugo timun cina,
Asam keping buah tembikai,
Rajawali kampung lama,
Dalamnya dekat Masjid Pulau Serai...

Gulai kuning pekat ikan kembung,
Nasi acar kobis makan bersudu,
Alor Rekam Tok Kah semua berkampung,
Tempat orang belajar memandu...

Pulut Gaul Nyö santapan pagi,
Lepas makan mata pun kuyu,
Bemban, Lintang, dan Bukit Pak suri,
Semua itu Kampung Melayu...

Temose dan Karipap macam sama,
Kecil besar hidangan tetamu,
Datuk Nakhoda datang ke sana,
Bukit Lambor membuka tanah baharu...

Sayur Téné dan Sambal Sotong,
Aye dicicah kicap berlada,
Ke Sungai Pimpin singgah Batu Tiong,
Kampung Pelandang jangan dilupa...

Ketupat Palas digoreng petang,
Berbuka Nekbat di bulan Ramadhan,
Kertas Pulas, Kuala dan Rantau Abang...
Kampung berpantai semuanya berjiran...

Lompat Tikam selalu dicari,
Terlalu manis makanlah sikit,
Kampung Rhu Batil aman sekali,
Tempat berpaya berpasak bukit...

Kuih Hasidah dan Brönök Sagu,
Dihidang petang manis rasanya,
Petang hari ke pantai selalu,
Ke Tanjong Jara juga Teluk Bidara...

Bingka Ubi kuih tradisi,
Kopi panas hidang bersama,
Seberang Pintasan dekat sekali,
Jambatan baru tinggi terasa...

Röjök Keling Röjök Betik buah,
Makanannya lain awalannya serupa,
Kampung Göng Pasir Kampung Pak Sabah,
Se Masjid kita dikongsi bersama...

Aiskrim Goreng pelik namanya,
Roti ais berbalut santapan baru,
Tanjung Pati nama lamanya,
Makam Diraja terletak di situ...

Makan Akök petang selalu,
Akök dibeli pasar Isnin,
Binjai, Serdang, Delong dan Keliu,
Semua Melayu tidaklah lain...

Sedap sungguh kuih Nganang,
Habis dijual dibeli ramai,
Padang Pulut, Pinang Mas, dan Dendang,
Kampung lama di tepi sungai...

Tok Aji Serban bukanlah orang,
Nama kuih sedap santapan,
Kampung Wa simpang Kuala Berang,
Ke Jerangau Sungai satu jalan...

Koleh Kacang ada tak lagi?
Puas mencari sini dan sana,
Zaman lombong zaman keretapi,
Bukit Besi itulah sejarahnya...

Kuih Slemang dan Belede namanya,
Makanan lama bukannya baru,
Al-Muktafi Billah Shah di mana letaknya?
Disebut Durian Mas baru tahu...

Onde-onde buah melaka,
Sama kuihnya namanya lain,
Kita ke sungai ke Bumbung Raja,
Pelbagai ikan berenang bermain...

Kayu Khamak nama diberi,
Cakoi pula kuihnya serupa,
Ke Pasir Raja kita ziarahi,
Kubu Mat Kilau ada di sana...

Makan Ikan Celup Tepung,
Mari makan di tepi sungai,
Kampung Shukor, Sungai Loh dan Chemerung,
Tempat berkelah dikenali ramai...

Di dalam kertas Sagöng dibungkus,
Suka dimakan oleh budak-budak,
Nak ke Paka jalannya lurus,
Dulunya berbelok berhati bergerak...

Air Nira dibeli lepas bersalam,
Dengan penjual di tepi jalan,
Durian Mentangau simpang ke dalam,
Tempat ladang tanam tanaman...

Taik Itik jangan disalah
Itu nama makanan kita
Kampung Nyiur, Pinang Merah dan Tebing Tembah
Tercatat dulu banjir melanda...

Tergigit lada pedas sekali,
Bila makan Sarok Lada
Kampung Santong tidak menyepi,
Lalu lalang orang bekerja...

Pukat Buruk itu makanan,
Kalau nak makan ambil di dapur,
Dari Paka terus ke depan,
Jalan Kemaman Ke Kuala Lumpur...

[Penutup]

Goreng Sotong Bercelup Tepung,
Untuk dimakan selepas berkebun,
Jauh di lubuk hati kita di kampung,
Sayangi Dungun kian membangun...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, April 21, 2010 0 orang royak doh

Budak itu umurnya 11 tahun. Tidak pernah keluar dari kampung kelahirannya di satu kawasan pedalaman dalam satu daerah dalam negeri Terengganu Darul Iman. Satu masa sekolahnya mengadakan lawatan ke Muzium Losong dan sekitar bandar Kuala Terengganu. Lalu dia mencanang kepada ibu bapanya dan atuk neneknya. Satu surat keizinan yang memerlukan tandatangan kebenaran daripada ibu bapanya telah didapatinya. Menjelang beberapa hari sebelum hari lawatan tersebut yang mungkin bermakna kepada budak itu, neneknya menyapa budak itu sedang budang itu mengemas beberapa barang dan pakaian ke dalam beg kecil.

Nenek : Tuk napok mung terketik-ketik nok gi nih.
(Tuk nampak kamu ni teruja nak pergi dah ni).

Budak itu : Ye aaa Tuk, rasa nok gi llalu. Puah oh nunggu nih.
(Yelah tuk, rasa nak pergi sekarang jugak. Dah puas menunggu ni).

Nenek : Gini ah, Tuk nok kiring buoh pusing keda, kalu jupe beli sutir ke Tuk.
(Beginilah, Tuk nak pesan kirim belikan Tuk buah pusing kedai, kalau terjumpa belikan sebiji untuk Tuk).

Budak itu : Buoh mende tu Tuk? Dok rajing dego pung.
(Buah apa tu Tuk? Tak pernah dengar pun).

Nenek : Dakpe, tanye aaa sape-sape tuang keda kekgi.
(Tak apa, tanya aje sapa-sapa tuan kedai tu nanti).

Budak itu : Bulehlah Tuk, nanti ambe beli.
(Bulehlah Tuk, nanti saya belikan).

Nenek : (Tersenyum simpul atas janji cucu kesayangannya).

Hari lawatan telah tiba. Setelah berpusing melihat khazanah bumi sejarah Terengganu di Muzium Losong, rombongan lawatan itu singgah ke Bandaraya Kuala Terengganu-Pasar Besar Kedai Payang.

"Hoh! Sini kuk ade jua buoh pusing keda, buleh cari nih", getus hati budak itu.
(Hoh! sini agaknya ada dijual buah pusing kedai, buleh cari nih).

Maka bermulalah perjalanan budak itu lagak seperti mencari harta tersembunyi. Puas dia berpusing di bahagian bawah Pasar Kedai Payang, ditanya penjual semua menggeleng kepala malah ada yang tersenyum-senyum. Budak itu makin tidak faham malah lagi tiada tanda atau papan yang menyatakan ada dijual buah tersebut. Makin pening budak itu. Naik ke tingkat atas mencari lagi bagi memenuhi hajat Tuknya di kampung. Puas berpusing tapi tak berjumpa. Masa makin suntuk dan guru-guru pengiring mengarahkan murid-murid menaiki bas untuk pulang semula ke sekolah.

Di dalam bas budak itu termenung.

Cikgu : Hoh! Bakpe menung jauh ning?
(Hoh! Kenapa termenung jauh ni).

Budak itu : Dok jupe nok beli barang.
(Tak jupe barang untuk dibeli).

Cikgu : Barang mende?
(Barang apa?).

Budak itu : Buoh Pusing Keda.
(Buah Pusing Keda).

Cikgu : (Menahan ketawa). Dok jupe?
(Tak jumpa?).

Budak itu : Dok jupe cikgu. Ssiang Tuk saya pesang, kekgi kecik ati pulok.
(Tak jumpa cikgu. Kesian Tuk saya dah pesan, nanti kecik hati dia pulak).

Cikgu : (Dengan muka yang masih menahan ketawa). Doh takdi pusing abih doh keda takdi? Cari pusing abih tepak belake doh?
(Dah tadi dah habis pusing semua kedai? Dah cari semua tempat?).

Budak itu : Puah doh cari, dok jupe.
(Puas dah cari, tapi tak jumpa).

Cikgu : Doh takdi pusing habis dok keda tu, buoh pusing keda la tuh.
(Dah tadi dah pusing habis kedai tu kan, buah pusing kedai la tuh).

Budak itu : Dok pahang?
(Tak paham?).

Cikgu : Buoh pusing keda tu takdok dalam dunia ni, tuh Tuk awok tu kenakang awok, buoh pusing keda tu maknanya Tuk awok suruh pusing seme keda, doh awok pusing seme keda tu maknanya awak dapatlah tu, DIKENAKAN oleh Tuk awok suruh pusing semue derek keda. Lebih teruk kekgi awok kene gelok dengang orang.

(Buah pusing kedai tu tak ada dalam dunia ni, itu Tuk awak nak mengenakan awak, buah pusing kedai tu maknanya Tuk awak suruh pusing semua kedai, dah awak dah pusing semua kedai, itu maknanya awak dapatlah tu, DIKENAKAN oleh Tuk awak suruh pusing semua deretan kedai. Lebih teruk lagi awak diketawakan orang).

Budak itu : (Terkejut). Laaaaaaaa............terkene la saya ni cikgu.

____________________________________________________________________

Buoh pusing keda adalah tagline lama atau cara mengenakan orang cara orang-orang tua atau orang lama di negeri Terengganu. Sekarang ini pasti tiada budak-budak muda atau generasi baru tahu apa itu buah pusing keda. Oleh itu ia amat memudahkan orang-orang tua mengenakan (sama seperti rancangan Wakenabeb NTV7 atau Bang Bang Bom TV3) generasi baru terutama cucu mereka.

Kalau anda pertama kali ke Terengganu, jangan tanya atau cari buah pusing keda, nanti anda jadi bahan ketawa. Jangan biarkan anda mencari buah pusing keda.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, April 20, 2010 2 orang royak doh

Jika anda ke Terengganu dan mungkin tinggal di sini setahun dua anda akan mendengar beberapa kata nama ganti diri. Belajarlah di sini :

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, April 14, 2010 0 orang royak doh

Selain daripada kawasan pelancongan, infomasi tentang bahasa dan budaya, blog journeyterengganu juga akan cuba memberi infomasi dari segi sejarah tentang masjid dan surau yang terdapat di negeri Terengganu. Sila lawati :



Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, April 13, 2010 0 orang royak doh

Tempat jatuh lagi dikenang...
Inikan pula tempat bermain...

Menjadi anak jati Terengganu sendiri pasti ada yang mengundang rasa bosan, suasana muram, hari-hari yang dilalui selalu seperti biasa seperti di-copy & paste. Tinggal tetap di negeri sendiri, tatkala pada bukan hari kerja pasti mengambil peluang berehat (dan makan juadah dari laut/seafood) di sekitar pantai sepanjang lautan yang mengadap Laut China Selatan tetapi mungkin lama-lama kelamaan mengundang rasa -inikah tiap-tiap hari yang dilalui? Lalu rasa ingin berhijrah timbul dalam hati. Mungkin ingin lari dari rasa kebosanan dan mungkin juga menambah pengalaman baru di tempat orang.

Lalu berhijrah, perasaan itu sebenarnya tidak juga keruan. Tidak juga selesai-selesai dari rasa kebosanan. Pemandangan indah di pantai kembali menggamit rasa. Rindu kepalang timbul di dalam hati. Maka rasa rugi pula meninggalkan tempat jati sendiri. Kesalkah? Ini kerana tinggal di mana-mana pun tempat sendiri akan dikenang jua. Berhijrah ke tempat baru dek kerasa rasa bosan bukan satu cadangan dan penyelesaiaan yang paling baik mahupun terbaik. Ini kerana mungkin penduduk anak jati sesuatu negeri pun mungkin berasa kebosanan berada dalam negeri sendiri dan mengambil peluang berhijrah ke tempat lain.

Akhirnya perasaan yang salah itu sebenarnya memakan diri sendiri. Rindu gamit tempat sendiri akan datang dari hari ke hari walau kadang rasa bosan itu sebenarnya tidaklah kejam kepada kita, cuma kita sendiri yang terasa kejam dengan perasaan itu. Mungkin kepada semua perantau yang merantau, setujuilah tanah berpantai dan berbukit, tanah Perimula berpanji hitam dan putih adalah tempat terbaik untuk kita kan!

Angin bayu pantai sebenarnya tidak membawa bosan pada kita, ia membawa suasana aman dan nyaman lari dari hiruk pikuk di kota. Rindu...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, April 12, 2010 0 orang royak doh

Ingin mengenali cuaca negeri Terengganu? Apa itu jo'ong, panah ddering, panah so oh? Sila lawati :

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, April 11, 2010 0 orang royak doh

Dahulu Terengganu selalu diwar-warkan sebagai Negeri Cantik, Budaya Menarik tetapi penulis merasakan perlu ditambahkan dengan tema Bahasa Unik - Negeri Cantik, Budaya Menarik, Bahasa Unik. Oleh itu sila klik pautan/link di bawah ini untuk belajar slanga Terengganu. Moga anda tidak kekok nanti apabila ke Terengganu Darul Iman.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, April 10, 2010 0 orang royak doh

Daerah Dungun merupakan satu daerah yang tertua di dalam negeri Terengganu. Telah tercatat sedari dulu dalam kitab pemerintahan Majapahit iaitu Negarakertagama, malah ia terkenal sejak pembukaan perlombongan Bijih Besi di Bukit Besi. Awang telah meletakan satu slide show gambar-gambar klasik untuk tatapan bagi mengimbau kenangan lalu berkaitan sejarah dan suasana keadaan daerah Dungun pada zaman gambar hitam dan putih. Sila lihat di sidebar di sebelah kanan blog ini.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, April 9, 2010 0 orang royak doh

Bagi orang luar (orang luo - kata loghat Terengganu), mungkin ada yang tahu dan tidak tentang budaya seni orang Terengganu. Mengambil contoh seni lagu pantun kanak-kanak Terengganu mungkin berbeza dengan budaya luar dari negeri Darul Iman ini. Awang merasakan mungkin ada antara pelancong-pelancong yang belum sampai atau mungkin telah mengalami pengalaman berharga di negeri ini ingin mengetahui lebih mendalam tentang budaya di sini yang mungkin tidak didapati di mana-mana sama ada di dalam buku atau di dalam blog yang lain. Mungkin ada antara kita penduduk Terengganu kini telah lupa seni lagu pantun kanak-kanak.

Oleh itu Awang mengambil inisiatif untuk berkongsi bersama pembaca yang mungkin ingin mengetahui dahulu satu pecahan budaya Terengganu yang asing dari dunia luar sebelum melancong ke negeri ini. Bak kata orang sebelum masuk ke kandang kambing, belajarlah mengembek dahulu. Sila klik ke sini : Slanga Terengganu : Lagu Kanak-Kanak Terengganu

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Sebelum kita masuk ke negeri tanah berpanji hitam putih ini mari dahulu kita membaca artikel di bawah untuk mengenali sedikit sebanyak tentang orang-orang Terengganu.

"Dari manakah asal orang Dungun ataupun soalan yang lebih besar dari manakah asal orang Terengganu? Apakah asal dan asas bagi bahasa dan budaya asal orang tanah berpanji hitam putih ini? Terengganu sebuah negeri maritim atau kerajaan maritim yang terkenal sejak dahulu bermula dari Kerajaan Fo-loan (dipercayai bertapak di Kuala Berang), kemudian menjadi sebahagian jajahan Kerajaan Melayu Melaka, dan kemudian berkerajaan sendiri di bawah naungan Al-Marhum Sultan Zainal Abidin Pertama putera kepada Tun Habib Abdul Majid dari kerajaan Johor dinasihati oleh Wali Allah Sheikh Abdul Malik sehinggalah negeri ini dinaungi oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sejarah Terengganu yang tertulis di mana-mana buku atau tesis atau dicatat mana-mana sekalipun pasti akan ada sejarah yang belum tersingkap, tersirat dan terungkai. Persoalan pertamanya asal usul orang Terengganu. Perlu ada kajian terperinci asal usul orang negeri ini yang mana rata-rata cerita lisan orang tua-tua mengatakan nenek moyang mereka ada dari Patani, Jambi, Palembang, ada dari Pagar Ruyung-Minangkabau, ada dari Siak, ada dari kepulauan Riau dan Sulawesi dan malah ada dari kepulauan Jawa yang mana mereka membawa darah sebagai Melayu Patani, Melayu Jambi, Melayu Minang, Melayu Siak, Melayu Riau, Melayu Bugis dan Jawa.

Menjadi misteri, ialah kebanyakkan orang-orang yang berdagang, berhijrah malah berundur alah perang ke sini pasti membawa budaya asalnya sendiri akan tetapi budaya itu tidak berkembang sepenuhnya. Apa yang ternampak ialah batik, dan tenunan songket. Dua budaya seni ini berkembang di sini. Yang tidak nampak atau mungkin di luar pengetahuan itu persoalan yang lain yang mungkin membawa kepada jawapan ia mungkin diturun menurun dan berkembang hanya bersifat setempat atau telah ditelan luput pupus dengan arus kemodenan sekarang ini.

Selain daripada itu, tidak ternampak budaya Minangkabau di sini sebagaimana yang diamalkan di Negeri Sembilan (mungkin disebabkan negeri ini tidak beraja asal dari Pagar Ruyung). Tidak ternampak juga budaya dan makanan Jawa di sini (selain batik). Berkaitan dengan pembuatan bot mungkin ada kaitan dengan budaya dan kerja asal etnik Melayu yang lain dan pembuatan tembaga mungkin berkaitan dengan orang dari benua China. Misteri?

Bercerita tentang bahasa, dari asal manakah bahasa atau slanga Terengganu. Didapati tadi pelbagai etnik Melayu yang bercampur di sini. Mungkin struktur bahasa Terengganu terbina daripada percampuran bahasa kesemua bahasa etnik Melayu tersebut dan bercampur pula dengan orang benua China, Arab, penjajah Inggeris dan Jepun. Maka percampuran Melayu dengan bangsa lain menambahkan lagi prosa dan istilah lalu digunakan sehingga kini. Perkataan seperti Röhök, Köhör dan Sengeléng-dari manakah asalnya? Bunyinya pelik tapi setiapnya mempunyai makna. Röhök-susah/payah, Köhör-perlahan-lahan, Sengeléng-sengaja, inilah maksud setiap perkataan tadi. Dari mana asal perkataan-perkataan ini? Misteri?

Itulah sedikit persoalan asal dan usul penduduk tanah hitam putih ini. Percampuran manusia, perkahwinan campur, pertuturan yang berbeza lalu mewujudkan satu bangsa tersendiri iaitu Melayu Terengganu dan terbinanya struktur unik bahasa slanga Melayu Terengganu. Mungkin tema Satu Malaysia ini sebenarnya telah lama wujud di Negeri Darul Iman ini. Temanya Satu Terengganu. Bangsa, seni budaya, bahasa dan makanannya dimiliki satu negeri. 1 Terengganu."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, April 8, 2010 0 orang royak doh

Salam Pengenalan Journey Terengganu. Satu laman blog yang akan memaparkan tentang pelancongan, seni budaya, dialek, dan warisan dalam menarik warga dalam dan luar negara untuk melancong dan mempelajari budaya dan bahasa Terengganu. Kembaralah bersama Journey Terengganu.

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir