Kayu berukir penuh bungaan
Kotak panjang segi tak sama
Kotak nelayan barang disimpan
Turun ke laut dibawa bersama










Kotak Ke Laut.

Dimensi : 43 cm x 15.5 cm x 7 cm

Keterangan.
Ia digunakan oleh nelayan untuk menyimpan ubat, rokok, dan tembakau. Kotak yang boleh terapung ini akan bertindak sebagai boya keselamatan sekiranya bot tenggelam.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, September 21, 2010 1 orang royak doh

Penuh lekuk kuning berkilau
Menanak nasi lauk sekali
Periuk Tembaga warnanya silau
Melayu Terengganu pandai besi







Periuk Tembaga

Dimensi : 14 cm
Diameter : 19 cm
Lilitan : 54.3 cm

Keterangan.
Masyarakat Melayu zaman dahulu menggunakan periuk ini untuk memasak nasi dan lauk-pauk.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, September 20, 2010 0 orang royak doh

Umpama burung buatan emas
Jangan salah tersalah pandang
Buatan tembaga begitu kemas
Tepak Sireh tetamu bertandang









Tepak Sireh

Dimensi : 43 x 17.5 x 26

Keterangan.
Bentuknya mempunyai pengaruh India iaitu seekor burung merak. Di bahagian badannya diisi dengan pelbagai bahan untuk dimakan dengan sireh, manakala bahagian ekornya disimpan daun sireh.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, September 19, 2010 1 orang royak doh

Penuh wangian menusuk sukma
Inilah lagi hasil Terengganu
Bunga Rampai di bekas semua
Menjadi tumpuan para tetamu






Bekas Bunga Rampai

Dimensi : 15 cm
Diameter : 17.8 cm
Lilitan : 56 cm

Keterangan.
Ia digunakan untuk meletakkan bunga-bungaan & wangian semasa upacara perkahwinan Melayu.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, September 18, 2010 0 orang royak doh

Buatan tangan orang Terengganu
Sungguh halus indah sekali
Bekas Basuh Tangan cuci tanganmu
Dari tembaga kuning berseri...








Bekas Basuh Tangan

Dimensi : 23.6 x 7.5
Diameter : 17.7
Lilitan/Perimeter : 60.1

Keterangan.
Di badannya tertera tulisan Jawi yang berbunyi "Puteri Engku Kamariah Binti Seri Maharaja Sultan Abdul Jalil Riau-Lingga hadiah daripada Yang dipertuan (Nangka satu?) Seri Menanti Allah Selamatkan.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, September 17, 2010 0 orang royak doh

Penuh ukiran indah sekali
Air dituang untuk tetamu
Halus ukiran bernilai tinggi
Cerek tembaga Melayu Terengganu






Cerek Tembaga

Dimensi : 30.2 cm x 23.8 x 21.5

Keterangan.
Cerek ini dihiasi bunga pecah empat dan bunga pecah enam hiasan timbul. Badan dan muncungnya bersambung dengan tebukan sulur buyung.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, September 15, 2010 0 orang royak doh

Setiap kraftangan pasti anda tokoh-tokoh yang terlibat dan terkenal. Pandai Tembaga atau orang yang mahir dalam pembuatan barangan tembaga di Terengganu adalah terdiri daripada :

  1. Wan Abdullah bin Wan Muda
  2. Tuan Haji Abu Bakar Abdul Rahman
  3. Tuan Haji Mat Cik Abdul Rahman
  4. Ali Yaakob

Pertukangan tembaga ini telah diwariskan oleh Wan Abdullah bin wan Muda kepada anak sulongnya iaitu Daud bin Wan Abdullah. Wan Abdullah banyak menyumbangkan hasil seni kepada Alam Seni Rupa Melayu dan menjadikan beliau diiktiraf sebagai tokoh kraftangan tanahair.


"Nantikan entri Tembaga Buatan Bangsa Melayu Terengganu"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, September 14, 2010 0 orang royak doh


Terengganu memang dikenali sebagai tempat penghasilan kraftangan dari tembaga. Melayu Terengganu yang pandai besi menghasilkan barangan ini untuk kegunaan harian di rumah-rumah orang Melayu Terengganu, untuk upacara perkahwinan malah upacara dalam istana Terengganu. Selain itu ia juga menjadi hiasan yang berseni tinggi dan berkualiti untuk dipaparkan kepada tetamu yang bertandang.

Di kampung Ladang yang terletak di Kuala Terengganu adalah sebuah kampung tempat menghasilkan produk tembaga ini. Perusahaan ini dijalankan di kawasan laman rumah sama ada di bahagian belakang rumah mahupun di dapur. Penulis mempunyai pengalaman sewaktu kecil melihat sendiri dapur tanah untuk acuan tembaga dan tanah liat kelabu serta asap-asapnya selalu kelihatan dan terhidu. Bunyi bising larikan /penggilap tembaga hingar-bingar masih terngiang-ngiang di telinga penulis tatkala penulis artikel ini. Bunyinya tidak enak tetapi cukup untuk mengingatkan kembali bunyi larikan/penggilap tembaga.

Antara barangan tembaga yang dihasilkan oleh Melayu Terengganu ialah pahar (Melayu Terengganu memanggilnya sebagai Por-ia digunakan sebagau dulang hantaran perkahwinan orang Melayu), cerek tembaga, tepak sireh, ketur, pending, dan sebagainya. Ukiran yang biasanya digunakan ialah awan larat, bentuk geometri, bunga-bungaan, hiasan gelang puyuh, pucuk rebung, dan tebukan sulur bayung.

Peralatan yang digunakan untuk kraftangan ini terdiri daripada penukul kayu, gunting, set alat pengukir, penggilap, dan cat gelap.

Penulis akan memberikan contoh-contoh produk tembaga dari Terengganu dalam entri yang akan datang.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, September 13, 2010 0 orang royak doh


Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin dari Journey Terengganu. Teruskan mengunjungi weblog ini.

Mitok maah banyok-banyok kalo tersaloh tulih terkaso bahase, yang sudoh tu sudohla, bakpe dok ingak smula, pahtu raye ni, jangang makang banyok-banyok, hok peting gi rumoh anok beranok, sedare-mare, kawang-kawang hok lame doh dok jupe. Guane kate, "Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, September 10, 2010 0 orang royak doh


Bubur Lambuk adalah sajian berbuka puasa yang merupakan sajian yang sinonim pada bulan Ramadhan. Di Terengganu mempunyai sajian bubur lambuk tersendiri dan amat berlainan dengan bubur lambuk sebelah pantai barat. Bubur Lambuk Terengganu warnanya ialah agak kelabu dan mempunyai rasa ikan dan bersayur terdiri daripada pucuk paku, daun kesom, daun kunyit dan kayu manis. Bubur Lambuk Pantai Barat berwarna putih dan diletakkan potongan kecil ayam, atau daging dan hirisan lobak. Bubur Lambuk Terengganu ini jarang untuk didapati di pasar-pasar Ramadhan. Kebanyakkannya ia di masak oleh suri-suri rumah mahupun boleh didapati majlis-majlis berbuka puasa di masjid, surau ataupun di majlis yang diadakan oleh muslimin.

Rasa antara kedua-dua bubur lambuk ini amat berbeza. Dua-duanya sedap tetapi pilihan penulis ialah tetap kepada Bubur Lambuk Terengganu.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, September 6, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...

Di musim raya nanti maka kelibat sanak-saudara yang jarang bertemu mungkin bertemu sama ada kita bertandang rasa atau mereka bertandang raya ke rumah kita atau berkumpul di rumah tok tok ki kita.Ada Ayoh We/Ayoh Long, Mok We/Mok Long, Ayoh Ngoh dan Cik Ngoh, Ayoh De dan Mok De/Cik De, Ayoh Téh dan Mok Téh, Ayoh Tang, Ayoh Cik, Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su. Inilah antara gelaran pangkat dalam keluarga.

Ada tidak menggunakan gelaran pangkat tetapi menggunakan nama dan ditambah AYOH di depan. Contohnya bapa saudara bernama Ismail, makanya dipanggil Ayoh Wé.

Ayoh We/Ayoh Long, Mok We/Mok Long - adalah pangkat Tertua dan Sulung dalam keluarga ibu bapa kita. Ayoh Ngoh dan Cik Ngoh - adalah anak tengah, (biasanya anak nombor 2). Ayoh De dan Mok De/Cik De- mungkin singkatan kepada perkataan MUDA, yang muda tapi bukan bongsu dalam keluarga, mungkin juga yang Tengah, sama dengan pangkat dengan Ayoh Ngoh/Cik Ngoh.

Ayoh Téh dan Mok Téh - adalah pangkat selepas Tengah, mungkin no 3 atau 4 (lihat berapa adik beradik). Ayoh Tang - adalah pangkat mungkin adik yang kedua sebelum bongsu ( Tang - ada negeri lain di Malaysia memanggilnya Tam, Pak Tam).

Ayoh Cik - adalah pangkat mungkin adik pertama sebelum bongsu. Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su - adalah adik yang bongsu. Bagi gelaran Cik dan Su, ada juga dalam keluarga bagi anak yang bongsu tidak digelar Su, tapi menggunakan gelaran Cik, singkatan kepada kecik/kecil.

Ayoh - Ayah.
Mok - Mak.

Panggilan pangkat di dalam satu keluarga adalah berbeza dengan satu keluarga yang lain sama ada mengikut negeri atau kenalan kita sendiri mahupun dalam keluarga mentua kita. Ia adalah subjektif dan tertakluk kepada penggunaan rasmi dalam keluarga itu sendiri. Jika ada sesiapa yang tahu pangkat ahli dalam keluarga mengikut slanga Terengganu sila maklumkan kepada aku, kalau salah tolong maklumkan.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, September 5, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...

Aha! Kanak-kanak mesti suka. Pergi rumah orang sentuh kuih ala kadar. Minum air sirap atau oren sikit-sikit. Tunggu tuan rumah bagi sampul duit raya. Kan! Itulah!

Budok-budok jalan-g sekapong gi kumpu duik raye. Ade hok bagi ge siling, ade hok bagi seria, buleh belake, ambik belake. Dapak sampo dok gaga kok luo, rase-rase duit siling, mungking pitih seria. Tu dulu mase pitih seria betuk siling, lening tadök döh. Dök payöh gaga, buke teruh tengok berape ria dapak.

(Budak-budak berjalan seluruh kampung untuk kumpul duit raya. Ada yang bagi duit syiling, ada yang bagi seringgit, boleh belaka, ambil belaka. Dapat sampul raya, raba-raba di luar sampul, rasa-rasa duit syiling, mungkin duit syiling seringgit. Itu dahulu masa duit seringgit berbentuk syiling, sekarang tak ada lagi. Tak payah raba, buka terus tengok berapa ringgit dapat).

Bukan main budak-budak Terengganu, dapat duit raya nilai RIYAL bukan RM...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, September 4, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...


Dapak dok agi kak raye? Dapat tak lagi kad raya?

Kad raya satu budaya nostalgia yang sekarang masih ada tetapi tidak tahu seutuh mana. Kemajuan teknologi perhubungan yang jauh makin dekat, khabar berita senang dapat dan semuanya dengan istilah Di Hujung Jari. Kemajuan telefon yang boleh menghantar pesanan ringkas - sms, talian internet dengan menggunakan medium Yahoo Messenger, MSN dan pelbagai medium yang selari dengannya yang memudahkan manusia kini untuk memberi maklumat, ucapan, dan apa saja walaupun hal yang lagha. SMS raya, Email kad raya, dan ucapan raya di web blog memudahkan semua.

Fungsi kad raya mungkin tidak sekuat dahulu tetapi kad raya sebenarnya penuh nostalgia. Antaranya : Tulisan tangan pengirim yang tulen - mungkin boleh mengubat rindu, pihak yang akan menerima pula akan tertunggu-tunggu kedatangan posmen - dan itu adalah perasaan pelik tetapi hebat iaitu rindu. Samaada rindu ibu bapa terhadap anak di rantau, rindu pada orang yang disayangi dan seumpamanya. Kini jika anak jauh di rantau, jika ada komputer pakai sahaja medium perisian perbualan seperti Yahoo Mesengger, dan jika ada telefon bimbit gunakan sahaja teknologi 3G (itu pun sebenarnya untuk kawasan tertentu).

Membincangkan tentang kad raya sebenarnya kad raya mempunyai pelbagai bentuk dan pelbagai ucapan bergantung kepada siapa yang kita ingin kirimkan. Ada kad raya yang mengeluarkan bunyi irama lagu raya apabila helaiannya dibuka. Ada yang ringkas sahaja. Ada yang buat sendiri kad raya kerana darah seni lukis dan kreatif yang ada pada diri. Walau bagaimanapun kad raya seharusnya menjadi budaya yang terus menerus bertakhta apabila tiba musimnya. Jangan biarkan ia hanya sebagai kad yang digantung sebagai hiasan di rumah atau di pejabat apabila musim raya tiba. Jangan biarkan ia tenggelam dengan pelbagai teknologi yang ada. Jika tidak ia mungkin akan menjadi satu lagi budaya yang mungkin didokumenkan dan berbingkai untuk menjadi tatapan di muzium.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, September 3, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...

Tujuh Liko. Itu Terengganu. Tujuh Likur di luar Terengganu. Betul ke 7 malam sebelum raya? Malam tujuh liko malam budak-budak main mercun, main meriam buluh, main bunga api. Ada ngecung keluang, ngecung lidi, ngecung jarung, ngecung lalak, ngecung tali, ngecung bawang, ngecung dah, ngecung hok keluo payung terjung, ngecung gasing, , ngecung katok, ngecung ulo, dan ngecung tupak.Nati aku cerita se... se...(cerita mercun akhir 80an ke awal 90an).

Ngecung atau mercun dalam bahasa formal. Ngecung keluang adalah mercun apa bila ia dinyalakan akan naik ke atas (ke udara) sambil mengeluarkan bunyi seumpama bunyi keluang kemudian apabila sumbu yang berapi sampai ke peringkat pangkalnya akan mengeluarkan dentuman yang kuat di udara. Ngecung lidi bentuk sama seperti ngecung keluang tetapi tidak mengeluarkan bunyi seumpama haiwan keluang. Soal dentuman itu aku sudah lupa - telah lama meninggalkan aktiviti main ngecung ni. Modus operandi ngecung ini sama dengan ngecung iaitu apabila ia dinyalakan ia akan naik ke udara. Syaratnya, sebelum ia dinyalakan ngecung keluang dan ngecung lidi harus dipacakkan hujung lidinya di atas tanah.

Ngecung jarung atau mercun jarum. Bentuk mercun ini sama seperti mercun yang orang Cina pasang masa Tahun Baru Cina. Cuma ia kecil, kulit bungkus kertasnya ada macam-macam warna, yang biasanya warna hijau. Ia tidak diikat seperti mercun orang Cina tetapi ia berasingan seperti dinamit. Cara untuk menyalakan mercun ini yang paling berani ialah patahkan ubat nyamuk tetapi jangan terlalu pendek. Ambil sedikit lingkaran ubat nyamuk yang dipatahkan ini dan nyalakan. Tangan kanan memegang ubat nyamuk yang menyala, Tangan kiri memegang mercun jarum. Nyalakan mercun jarum dan lempar jauh-jauh dan dentuman yang kuat terhasil apabila nyalaan sumbu berjumpa dengan pangkal yang berbungkus kertas berbelerang atau agen letupan. Awas! Jangan Tiru! Jangan Buat! Kalau salah timing, jari anda menjadi kebas jika meletup di tangan, jika tak kebas, jari yang hilang. Cara yang agal cool nak main mercun ni ialah letakkan ia di dalam kertas surat khabar, bakarkan surat khabar. Duduk jauh-jauh. Kemudian mercun ini akan menyala dan meletup.

Ngecung lalak. Mercun lalat tetapi bentuk mercun ini seperti lebah. Ada lukisan belang lebah dan mempunyai bersayap seperti serangga pada mercun ini. Mercun ini apabila dinyalakan akan terbang ke udara seperti serangga dan mengeluarkan bunyi seperti kibasan sayang serangga; zussssssssssssss...Tiada dentuman. Tiada letupan. Terbang hilang entah ke mana.

Ngecung tali ini ialah mercun yang bertali di kanan dan di kiri. Di tengah-tengahnya adalah bungkusan berbelerang atau agen letupan. Mercun ini amat mudah untuk diletupkan. Hanya memegang tali di kanan dan kiri dengan cara menggendurkan ia dahulu, kemudian menarik dengan sekuatnya. Letupan kecil akan berlaku. Ngecung bawang ialah mercun yang berbungkus seperti bawang putih. Ia kecil dan di dalam bungkusannya mempunyai ketulan seperti batu dan ia adalah agen letupan. Caranya ialah dengan melemparkan ia ke permukaan yang keras dan letupan kecil akan berlaku.

Ngecung dah. Mercun ini ialah mercun seperti bunga api yang dimainkan semasa menyambut tahun baru ke, malam merdeka ke, seperti itulah. Ngecung dah bermaksud mercun das. Das diambil daripada bunyinya seperti das tembakan yang keluar dari bungkusan berbentuk silinder yang kurus. Ada yang berani menyalakan mercun ini dengan memegangnya ditangan dan hujungnya ditunjuk ke udara. Kemudian setiap das bunga api yang keluar adalah berwarna warni dan ada sedikit bunyi letupan. Ada yang memacaknya di atas tanah. Nyalakan. Kemudian keluarlah das-das bunga api yang berwarna-warni, cantik ke udara. Ngecung yang hok keluo payung terjun. Mercun ini adalah sama seperti mercun das. Kalau tak silap aku modus operandinya sama cuma das yang terakhir ialah payung terjun yang keluar ke udara dan terbang perlahan-lahan lalu jatuh ke tanah.

Ngecung gasing. Mercun ini berbentuk bulat. Apabila ia dinyalakan ia akan berpusing seperti gasing dan mengeluarkan bunga api yang cantik, cuma hati-hati, pusingannya agak laju dan perlu dielakkan daripada terkena diri kita. Ngecung katok atau mercun katak pula, bungkusan seperti dilipat dengan tali kalau tak silap aku dan bungkusannya berwarna hijau. Apabila ia dinyalakan ia akan melompat seperti katak walhal tidaklah seperti sungguh macam katak. Soal mengeluarkan bunyi dentuman aku sudah lupa.

Ngecung ulo atau mercun ular. Ia bewarna hitam, kecil dan berbentuk silinder pendek. Tiada sumbu hanya terus nyalakan pada permukaan mercun ini. Kemudian ia akan mengeluarkan asap hitam dan ia akan mengeluarkan bentuk seperti tali seperti ular menyusur di batang pokok naik ke atas sehinggalah bahagian bawah silinder pendek ini habis menjadi seperti ular.

Ngecung tupak. Mercun ini mungkin dipanggil sedemikian kerana ia berbentuk seperti ketupat palas, lebih-lebih lagi ia berwarna coklat-warna koko kata orang Terengganu. Mungkin juga ia dipanggil sedemikian kerana ketumpatan (tumpat) agen letupannya di dalam bungkusannya dan mengeluarkan bunyi dentuman seperti bom apabila ia dinyalakan. Bunyinya boleh riuh sekampung.

Ade banyok lagi jenih ngecung tapi dok berape ingat doh....

Sekarang ini cukup pasang pelita sahajalah. Main mercun sekarang, polis tangkap. Dah haram. Bahaya. Aku rasa budaya tujuh liko hanyalah budaya kanak-kanak. Nostalgia kanak-kanak. Sekarang inipun tidak pasti sama ada kanak-kanak masih ketahui akan budaya ini atau nanti hanya menjadi tatapan di muzium sebagai dokumen yang dibingkaikan....

Paling penting carilah Malam Lailatul Qadar...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, September 2, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...



Ini Ténöng plastik cap Tupperware. Moden. Berwarna-warni. Dulu-dulu malah sekarang ini masih ada lagi yang menggunakan Ténöng besi yang berukir timbul di permukaan luar. Terkenang Aidil Fitri pasti terkenangkan Ténöng pada awal pagi raya. Juadah makanan raya diletakkan di dalam Ténöng ini dan di bawa ke rumah-rumah jiran sebagai aktiviti berbalas juadah sesama jiran (sekarang ada lagi?). Selain itu Ténöng yang berisi juadah raya dibawa jika bertandang/berziarah Tok dan Tokki, rumah saudara-mara dan kenalan.

Itu cerita raya. Ténöng juga digunakan pada masa-masa lain. Boleh di bawa ke kebun sebagai bekalan makanan tatkala berehat makan. Unik juga orang Terengganu memanggilnya sebagai Ténöng. Jika di luar Terengganu biasanya ia dipanggil sebagai Mangkuk Tingkat. Satu patah perkataan dalam slanga Terengganu, dua patah perkataan dalam Bahasa Melayu formal.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, September 1, 2010 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir