Angin Menderu di Kuala Dungun,
Lampu pedoman tersergam indah,
Kembara pantai singgah terpegun,
Muka kuala memancing beriadah...


Setelah merantau kembara melihat suasana di Pantai Teluk Lipat dan sekitarnya, mari kita kembara ke muka Kuala Dungun, sekitar pantai di Kuala Dungun dan benteng pemecah ombak. Muara Sungai Dungun menyimpan pelbagai sejarah sejak dari zaman kepahlawanan dan kependekaran orang-orang Dungun dahulu terutama pada zaman Sultan Zainal Abidin III. Sejak dahulu lagi muara ini menjadi tumpuan nelayan keluar masuk ke laut dan pulang ke jeti atau pengkalan yang banyak di tebing-tebing sepanjang sungai ini terutama sebelah Kampung Nibong Bawah ataupun sebelah seberang bermula dari Kampung Pulau Serai, Kampung Rajawali dan Kampung Seberang Pintasan. Di sebelah Kampung Seberang Pintasan terdapat laluan anak sungai yang dinamakan Sungai Pimpin yang terus bersambung ke hulu. Di tebing Sungai Pimpin ini pula terdapat kampung-kampung seperti Kampung Rajawali dan seterusnya Kampung Batu Tiong. Muka kuala inilah juga merupakan laluan bot pelancong ke Pulau Tenggol yang merupakan salah satu Taman Laut Negara.

Berhampiran muka kuala ini terdapat jeti LKIM, dan tiang api atau lampu untuk pedoman nelayan bagi menunjukkan arah daratan dan muka kuala yang dibina di hujung tanjung pemecah ombak buatan manusia. Jika masuk ke muka kuala, anda akan melihat jambatan baru yang bermula dari Kampung Seberang Pintasan dan merupakan jalan pintas ke Tanjong Jara dan Kampung Pulau Serai dan berakhir ke kampung Bijangga sebelah Bandar Lama Kuala Dungun yang simpangnya berhampiran dengan Pasar Besar Dungun.

Pantai di Kuala Dungun ini mempunyai kawasan kedai yang baru dibina untuk dijadikan medan ikan bakar, kawasan taman permainan kanak-kanak, dan trek untuk laluan pejalan kaki. Di kawasan tanjung pemecah ombak buatan manusia pula kerap menjadi pilihan pemancing untuk memancing di sini. Cuaca yang panas tidak dihiraukan kerana angin sejuk petang sungguh mengasyikkan di sini.

Bagi menggambarkan keindahan-keindahan kawasan ini, alamilah dengan menghayati gambar-gambar di bawah ini.



Jambatan Baru Dungun yang merentangi Sungai Dungun. Jambatan baru yang lebih tinggi, lebar dan selesa.


Kawasan pantai dan batu-batu besar berhampiran dengan muara. Terdapat wakaf yang baru dibina sesuai untuk berkelah dan berehat di sini. Pohon-pohon rhu dan banyak kelapa-kelapa baru ditanam di sini akan meneduhkan kawasan ini sedikit masa lagi.


Inilah tempat di mana sungai dan laut bertemu. Kelihatan bot di tengah sana sedang meluncur. Alunan air dari bot tersebut putih dan menarik. Batuan konkrit buatan manusia sebagai pemecah ombak tersusun selerak di sini.


Kawasan pasir pantai tepi laut yang indah. Kelihatan ombak kecil yang tenang di waktu petang.


Inilah tiang api atau tiang lampu yang menjadi pedoman para nelayan untuk menunjukkan arah daratan dan muka kuala.


Kelihatan bangunan di kawasan Bandar Lama Kuala Dungun.


Dari jauh berbalam-balam Bukit Bauk dan banjarannya. Di sebelah sanalah terletaknya Pantai Teluk Gadong dan Kampus Uitm Dungun.


Inilah batuan konkrit yang memanjang menjadi seperti tanjung. Ia dibina sebagai tanjung pemecah ombak.


Lagi gambar tanjung pemecah ombak.


Agaknya bot nelayan ini pulang ke pengkalan. Kelihatan Bukit Pimpin dan Jambatan Baru Dungun.


Bukit sebelah Kampung Seberang Pintasan. Bot-bot nelayan begitu banyak kelihatan di sebelah seberang sana.


Kelihatan pemancing-pemancing tekun menunggu kail disambar ikan, sambil menunggu panorama di sebelah seberang begitu mendamaikan.


Air sungai di muka kuala yang tenang. Sedikit ombak kecil lantaran angin yang kecil dan ombak dari laut membawa masuk ke muka kuala.

Sayup membiru laut di sebelah pantai.

Kelihatan Bukit Rumah api di Teluk Bidara.



Kuala Dungun Seberang Pintasan,
Saling mengadap di tengahnya sungai,
Boleh terpegun jangan lupakan,
Masih menjejak kembaranya pantai...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, June 11, 2010

0 orang royak doh

Post a Comment

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir