Monica Bay Pantai Mak Nik,
Tempatnya sama beza bahasa,
Kembara kita ke Pantai Kemasik,
Indahnya rasa tempat selesa....


Pantai Kemasik yang terletak di Kemasik di dalam daerah Kemaman merupakan pantai yang indah dengan batuan, lagun dan mempunyai ciri-ciri geografi yang lengkap dengan bukit bukau, pasiran yang landai serta landskap perkampungan nelayan yang begitu klasik dancantik. Pantai ini terletak di tepi jalan dari arah Kuala Terengganu - Kuantan.

Jika anda pernah menonton filem sequel Kumpulan Lawak Senario yang bertajuk Senario Lagi, ketika geng mereka pergi ke Pantai Skodeng dan ketika salah seorang watak dalam filem tersebut mencari kereta yang dicuri, di kawasan pantai, maka Pantai Kemasik inilah yang dinamakan Pantai Skodeng tersebut. Adapun perkataan skodeng ini adalah berasal dari slanga negeri Terengganu dan Kelantan. Dengar cerita perkataan skodeng ini berasal dari kata Inggeris iaitu squad down, iaitu salah satu cara tentera meniarap di atas tanah dan meninjau keadaan sekeliling. Jadi perkataan squad down itu lama-kelamaan menjadi slanga dengan disebut sebagai skodeng.

Pantai Kemasik ini selalu menjadi pilihan jurugambar dan syarikat pembuat kalendar dan poskad untuk dicetak lantaran keindahan panorama di sini. Bagi mendapatkan rasa keindahan tersebut, hayati gambar-gambar yang penulis lampirkan di bawah ini.


Batuan di tebing pasir, dan batuan tinggi atau bukit berbatu dan pokok tumbuh elok di atas batuan tinggi tersebut begitu indah dan mengasyikkan.


Pantai berpasir yang landai, dan kelihatan sampan-sampan berlabuh di tepi pantai menggambarkan suasana klasik.


Pantai di sini mempunyai banyak bukit berbatu yang tinggi dan bertebingkan laut. Cubalah panjat untuk mendapatkan suasana laut yang asyik.


Laut biru kehijauan yang tenang. Ombak kecil berulang-ulang memecah pasiran pantai.


Di sini juga terdapat bukit hutan dan batu yang tinggi. Kelihatan wakaf di kaki bukit sebagai tempat rehat untuk pengunjung.


Pantai dan pohon Rhu umpama isi dengan kuku jika anda mengunjung pantai di sepanjang negeri Terengganu ini. Terdapat juga kemudahan kedai makan, tandas, tempat letak kereta. Pendek kata fasiliti di sini lengkap untuk pengunjung.


Binaan wakaf, jambatan dan pelantar sebagai tempat berehat . Ia umpama jeti atau pengkalan nelayan tetapi ia dibina cantik sebagai tempat rehat pengunjung.



Pantai Kemasik berbatu tinggi,
Hati-hati bila melangkahnya,
Ke pantai lain ingin singgahi,
Daerah Dungun mesra orangnya...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, June 8, 2010

0 orang royak doh

Post a Comment

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir