Beberapa hari yang lalu Awang telah berfikir dan membuat lakaran kasar untuk rekabentuk banner untuk blog Journey Terengganu, dan barulah hari ini Awang meletakkan banner untuk blog Journey Terengganu ini. Sedikit penerangan banner untuk blog ini (sila klik gambar untuk besarkan) :
Gambar-gambar klasik menunjukkan zaman kegemilangan perlombongan bijih besi di Bukit Besi di daerah Dungun yang merancakkan ekonomi negeri Terengganu dan daerah Dungun sendiri. Percaya atau tidak negeri Terengganu pernah mempunyai landasan dan keretapi pada waktu itu, dan jangan ingat Terengganu tidak pernah mempunyai landasan keretapi malah kini satu landasan keretapi dan pengangkutan tertua ini telah diaktif digunakan sebagai pengangkut produk petrokimia antara pelabuhan Kuantan melalui Gebeng, Pahang hingga ke Kerteh, Kemaman (loji Petlin Malaysia Sdn Bhd adalah stesen akhirnya).
Antara panorama indah di kampung-kampung di negeri Terengganu, jeti dan sungai serta pemandangan jambatan yang merentasi sungai yang lebar begitu mengasyikkan. Suasa aman dan damai di kampung-kampung klasik di negeri Terengganu. Bagi penggemar suasa kampung, mungkin boleh datang ke negeri ini di mana suasana kampungnya belum terusik dengan kemajuan pembangunan.
Deretan gambar-gambar di atas menunjukkan flora warna-warni yang segar. Jikalau ke kampung-kampung di negeri Terengganu, penduduk-penduduknya menanam pokok-pokok bunga kecil yang berwarna-warni yang tumbuh subur dan membuat hati tertawan dengan kepelbagaiannya. Begitu juga di bandar-bandar daerah utama di negeri ini, majlis perbandaran dan daerah juga mengambil peluang menanam pokok-pokok bunga bagi menceriakan bandar-bandar di negeri ini.
Gambar-gambar ini menunjukkan keindahan kuning emas pasiran pantai di sepanjang negeri Terengganu bermula dari Kemaman hinggalah ke Besut. Batuan di tepi pantai dan alunan ombak bersama deruan angin begitu nyaman, menjadi tempat berkelah atau istirehat seketika kala petang. Bagi yang berminat dengan sejarah boleh ke Muzium Negeri, sambil menikmati suasana kampung yang permai. Bagi yang berminat dengan seni bina juga boleh menghayati seni bina unik Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) di Kuala Ibai yang terapung dari aras air tasik sambil menghirup udara nyaman dari Laut China Selatan dan beribadah dengan tenang.
Gambar-gambar ini pula menunjukkan produk-produk hasil keluaran dan barang-barang masakan yang dijual di pasar-pasar dalam negeri Terengganu. Gambar canting dan produk kain batik memang sinonim dengan negeri ini begitu juga dengan hasil lautnya iaitu udang baring (udang kering), beras dan pulut serta keropok keping yang banyak dijual dan boleh didapati sama ada di pasar besar atau di pasar minggu (pasar malam).
0 orang royak doh