Sebelum kita masuk ke negeri tanah berpanji hitam putih ini mari dahulu kita membaca artikel di bawah untuk mengenali sedikit sebanyak tentang orang-orang Terengganu.

"Dari manakah asal orang Dungun ataupun soalan yang lebih besar dari manakah asal orang Terengganu? Apakah asal dan asas bagi bahasa dan budaya asal orang tanah berpanji hitam putih ini? Terengganu sebuah negeri maritim atau kerajaan maritim yang terkenal sejak dahulu bermula dari Kerajaan Fo-loan (dipercayai bertapak di Kuala Berang), kemudian menjadi sebahagian jajahan Kerajaan Melayu Melaka, dan kemudian berkerajaan sendiri di bawah naungan Al-Marhum Sultan Zainal Abidin Pertama putera kepada Tun Habib Abdul Majid dari kerajaan Johor dinasihati oleh Wali Allah Sheikh Abdul Malik sehinggalah negeri ini dinaungi oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sejarah Terengganu yang tertulis di mana-mana buku atau tesis atau dicatat mana-mana sekalipun pasti akan ada sejarah yang belum tersingkap, tersirat dan terungkai. Persoalan pertamanya asal usul orang Terengganu. Perlu ada kajian terperinci asal usul orang negeri ini yang mana rata-rata cerita lisan orang tua-tua mengatakan nenek moyang mereka ada dari Patani, Jambi, Palembang, ada dari Pagar Ruyung-Minangkabau, ada dari Siak, ada dari kepulauan Riau dan Sulawesi dan malah ada dari kepulauan Jawa yang mana mereka membawa darah sebagai Melayu Patani, Melayu Jambi, Melayu Minang, Melayu Siak, Melayu Riau, Melayu Bugis dan Jawa.

Menjadi misteri, ialah kebanyakkan orang-orang yang berdagang, berhijrah malah berundur alah perang ke sini pasti membawa budaya asalnya sendiri akan tetapi budaya itu tidak berkembang sepenuhnya. Apa yang ternampak ialah batik, dan tenunan songket. Dua budaya seni ini berkembang di sini. Yang tidak nampak atau mungkin di luar pengetahuan itu persoalan yang lain yang mungkin membawa kepada jawapan ia mungkin diturun menurun dan berkembang hanya bersifat setempat atau telah ditelan luput pupus dengan arus kemodenan sekarang ini.

Selain daripada itu, tidak ternampak budaya Minangkabau di sini sebagaimana yang diamalkan di Negeri Sembilan (mungkin disebabkan negeri ini tidak beraja asal dari Pagar Ruyung). Tidak ternampak juga budaya dan makanan Jawa di sini (selain batik). Berkaitan dengan pembuatan bot mungkin ada kaitan dengan budaya dan kerja asal etnik Melayu yang lain dan pembuatan tembaga mungkin berkaitan dengan orang dari benua China. Misteri?

Bercerita tentang bahasa, dari asal manakah bahasa atau slanga Terengganu. Didapati tadi pelbagai etnik Melayu yang bercampur di sini. Mungkin struktur bahasa Terengganu terbina daripada percampuran bahasa kesemua bahasa etnik Melayu tersebut dan bercampur pula dengan orang benua China, Arab, penjajah Inggeris dan Jepun. Maka percampuran Melayu dengan bangsa lain menambahkan lagi prosa dan istilah lalu digunakan sehingga kini. Perkataan seperti Röhök, Köhör dan Sengeléng-dari manakah asalnya? Bunyinya pelik tapi setiapnya mempunyai makna. Röhök-susah/payah, Köhör-perlahan-lahan, Sengeléng-sengaja, inilah maksud setiap perkataan tadi. Dari mana asal perkataan-perkataan ini? Misteri?

Itulah sedikit persoalan asal dan usul penduduk tanah hitam putih ini. Percampuran manusia, perkahwinan campur, pertuturan yang berbeza lalu mewujudkan satu bangsa tersendiri iaitu Melayu Terengganu dan terbinanya struktur unik bahasa slanga Melayu Terengganu. Mungkin tema Satu Malaysia ini sebenarnya telah lama wujud di Negeri Darul Iman ini. Temanya Satu Terengganu. Bangsa, seni budaya, bahasa dan makanannya dimiliki satu negeri. 1 Terengganu."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, April 8, 2010

0 orang royak doh

Post a Comment

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir