Terengganu Darul Iman mempunyai pelbagai budaya, kraftangan, pakaian, sajian juadah, lagu-lagu rakyat tradisional, tarian dan bahasa. Semua orang sudah faham dan mengenali negeri berpanji hitam dan putih mempunyai bahasa yang tersendiri dan unik dan kadang-kadang agak sukar untuk difahami oleh masyarakat negeri lain. Kali ini kembara bersama journeyterengganu mengajak anda untuk menyelami dan mengenali juga negeri Terengganu dari sisi lain iaitu Permainan Tradisi Kanak-Kanak Terengganu.

Negeri Terengganu mempunyai banyak permainan tradisi yang pelbagai cara, mempunyai pelbagai lagu pantun yang dinyanyikan sewaktu sebelum permainan dijalankan atau sewaktu permainan dimainkan, mempunyai pelbagai istilah nama yang berbeza dengan masyarakat negeri lain walau kadang cara bermain dan peraturannya agak sama, serta peraturannya yang unik.

Kebanyakkan permainan tradisi ini diwarisi samaada dari orang tua-tua kepada kanak-kanak (anak-anak sendiri) dari abang atau kakak kepada adik-adik kecil dan juga dari kalangan kanak-kanak yang hampir dewasa mewariskannya kepada kanak-kanak yang lebih muda daripadanya. Kebanyakkan permainan ini dimainkan pada waktu lapang terutamanya pada waktu petang di sekitar halaman rumah, tanah lapang berhampiran dengan rumah, ada permainan yang dimainkan di bawah rumah (rumah-rumah lama Terengganu mempunyai tiang dan lantai yang tinggi dari tanah) dan ada permainan hanya memerlukan bermain di kawasan serambi rumah atau di dalam rumah. Boleh dikatakan ibu bapa masih boleh memantau anak-anak mereka bermain terutamanya kanak-kanak perempuan tidaklah dibiarkan jauh bermain dari kawasan rumah mereka.

Ada antara permainan tradisi Terengganu ini tidak memerlukan pengadil yang khusus umpama permainan bola sepak. Ini kerana yang menjadi pengadil adalah di kalangan pemain itu sendiri yang sedia memahami permainan tersebut malah ada pemain yang lebih tua menjadi pengadil atau sumber rujukan. Jika kadang berlaku perselisihan tentang peraturan permainan, orang-orang tua akan dijadikan sumber untuk meleraikan permasalahan peraturan permainan.

Setiap permainan tradisi ini mempunyai pelbagai peraturan dan cara bermain. Ada yang memerlukan kudrat dan tenaga. Ia memberikan satu kelebihan kepada kanak-kanak kerana ia umpama satu senaman kerana zaman-kanak-kanak adalah zaman mereka aktif dengan kegiatan lasak dan ini menjadikan mereka cergas dan sihat. Ia merupakan aktiviti yang sihat secara tidak langsungnya.

Ada yang memerlukan perkiraan matematik yang ringkas seperti permainan congkak (permainan umum yang dimainkan oleh semua masyarakat Melayu di Malaysia). Ada juga permainan yang tidak memerlukan kudrat yang kuat umpama main batu selambut dan congkak. Ada juga permainan yang memerlukan anda menciptanya seperti permainan wau, main lastik, membentuk piramaid selipar atau piramid tin-tin susu dan juga permainan gasing. Permainan yang memerlukan ketua kumpulan merupakan permainan yang baik untuk kanak-kanak. Ia melatih kanak-kanak menjadi pemimpin dalam satu kumpulan secara tidak langsung juga melatih pemain-pemain lain dalam kumpulannya mematuhi arahan ketua kumpulan umpama pemain-pemain bola sepak mematuhi arahan kapten pasukan bola sepak.

Permainan tradisi ini sebenarnya juga ada satu bentuk hiburan lantaran pada waktu itu tiada teknologi yang canggih seperti permainan maya sekarang ini iaitu playstation, permainan berkomputer. Dunia kanak-kanak pada waktu itu adalah berlegar kepada suasana tanah lapang, halaman rumah, serambi dan gelak tawa bersama rakan-rakan kanak-kanak yang lain.

Sebagai permulaan bagi entri-entri yang akan datang, penulis ingin berkongsi beberapa istilah yang digunakan oleh kanak-kanak Terengganu dalam permainan tradisi ini. Antaranya:

Jaddi
Bermaksud orang akan menjadi pencari/penangkap jika mereka bermain to nusuk/to nusup (sorok-sorok) atau pengejar atau penangkap jika mereka bermain to duduk, dan to kejor (Polis Sentri).

Llekpék
Bermaksud orang yang selalu jaddi, atau orang yang selalu menjadi pencari, pengejar atau penangkap dalam satu-satu permainan.

Mokpék
Bermaksud orang yang menjadi orang suruhan. Orang ini adalah juga pemain tetapi asyik disuruh melakukan sesuatu terutamanya dalam permain bola katok (seperti permainan besbol) orang ini akan disuruh mengutip bola. Kadang-kadang juga mokpék bermaksud sama erti dengan perkataan llekpék.



"Bersedia atau tidak? Kita main aje permainan ini...."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, July 19, 2010

0 orang royak doh

Post a Comment

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir