Showing posts with label Pantai Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Pantai Terengganu. Show all posts

Kecik tuwék...



Tinggalan tiang opal jamang Bukit Besi. Kecik tuwéknye dari birra pata Kampung Sura Jetty.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, February 14, 2013 0 orang royak doh

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, December 5, 2011 0 orang royak doh

Burung Tiung Gembala Kerbau asyik berlarian di tanah berumput pasir sekitar Taman Bandar Teluk Gadung, Sura Hujung, Dungun.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, May 25, 2011 2 orang royak doh

Sekitar panorama di Tasik Sura Hujung, berdekatan dengan Uitm Dungun, Terengganu.

Imbauan oleh/Posted by AWANG 1 orang royak doh

Teluk Gadung, Sura Hujung, @Dungun.

Imbauan oleh/Posted by AWANG 1 orang royak doh

Dari kuala menuju ke pantai,
Nama buruk indah tempatnya,
Berkelah bersila duduk bersantai,
Batu Burok itulah namanya...

Pantai Batu Burok. Itulah namanya. Biar buruk nama yang diberi tetapi berlainan dengan kawasan pantainya. Pasir kuning putih, pohonan rhu, gerai-gerai makanan samaada berpayung atau bangunan yang disewa banyak kelihatan di sini. Suasana biru laut dan pasir yang landai, panjang dan lebar menjadi kawasan santai pilihan penduduk Bandaraya Kuala Terengganu. Seingat penulis kawasan ini dahulu apabila petang Jumaat akan diadakan Pasar Malam atau penduduk memanggilnya sebagai Pasar Minggu di sini lantaran hari Jumaat adalah hari cuti minggu bagi negeri Terengganu.



Papan tanda biru jawi dan rumi.


Suasana sekitar dan pantai.


Menara tinjau bercirikan atap Rumah Tele - rumah tradisional Terengganu. Naiki tangga, duduk dan tinjau suasana pantai ini.


Gerai makan tepi jalan dengan senibina bumbung arab.


Teduhan pohon rhu yang besar elok sebagai tepat bersantai. Hamparkan tikar, bukakan mangkuk tingkat, berkelah dan makan. Dari jauh kelihatan jualan besar-besaran layang-layang moden.


Pasir pantai dari jarak/zoom dekat.


Pasir dan pantai - warna berbeza tetapi mengasyikkan.


Gambar ke arah Chendering. Dari jauh kelihatan berbalam-balam Pulau Kapas.


Awan dan langit biru. Sebenarnya gambar ini diambil kerana terdapat dua ekor burung terbang di tengah-tengah gambar ini. Sila klik dan besarkan gambar ini.


Pantai yang lebar dan laut agak jauh dari jalan utama.


Lampu moden ada disediakan di sepanjang pantai ini untuk pengunjung pada waktu malam.


Restoran makanan segera A&W yang telah lama beroperasi di Pantai Batu Burok.


Sebenarnya di kawasan Pantai Batu Burok ini terdapat Pusat Akuatik Negeri Terengganu. Kelihatan juga bangunan bertingkat di celah bumbung pusat tersebut adalah Hospital Sultanah Nur Zahirah atau dahulu dikenali sebagai Hospital Besar Kuala Terengganu.



Batu Burok pantainya lebar,
Tempat kunjungan rakyat bandaraya,
Harap menunggu harap bersabar,
Akan datang bersambung kembara...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, June 26, 2010 3 orang royak doh

Kuala Ibai namanya unik
Masjid terapung putih indahnya,
Muara sungai umpama tasik,
Bertaman riadah indah terpesona...

Kembara pantai ke Kuala Ibai. Di kawasan yang mempunyai masjid putih seperti terapung yang begitu cantik apabila biasan cahaya ternampak di permukaan air. Nama masjid ini secara formalnya adalah bernama Masjid Tengku Tengah Zaharah bersempena dengan nama Bonda Al-Marhum Sultan Terengganu Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Kawasan rekreasi ini penuh dengan taman pohon rhu, dan tanah berumput hijau. Kawasan tempat letak kereta yang selesa dan taman permainan kanak-kanak juga disediakan di sini. Begitu juga dengan gerai dan kedai makan. Boleh dikatakan di kawasan ini selesa untuk beribadah dan beriadah.



Masjid Terapung. Indah bukan?


Pohon-pohon rhu dan wakaf-wakaf yang dibina untuk keselesaan pengunjung. Nyaman dan redup di kawasan rehat ini yang berada di tengah-tengah antara tasik masjid terapung dan muara Sungai Ibai.


Taman permainan kanak-kanak yang di bina di sini untuk keselesaan pengunjung.


Muara Sungai Ibai dan kelihatan daratan sebelah Chendering dengan pohonan rhu.


Pasir pantai yang memutih dan batuan kerikil besar yang menjadi hiasan dan tambak ombak bagi pantai ini.


Kuala Sungai Ibai. Redup dan airnya tenang.


Sungai mengalir tenang.


Jalan bertar di tepi sungai. Pohon kelapa dan rhu meredupkan kawasan ini. Batu-batu kerikil besar boleh dijadikan tempat duduk di sini.


Masjid Terapung dari kejauhan-dari jambatan baru Sungai Ibai.



Redup dan nyaman di Kuala Ibai
Terasa rindu kan kunjung semula,
Mari kita berjalan ke pantai ,
Namanya buruk tempat indahnya...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, June 25, 2010 0 orang royak doh

Dari Kelulut lalu Rusila,
Singgah Chendering minum secawan,
Pantai Pandak bersih pantainya,
Sungguh cantik hati tertawan...

Pantai Pandak yang cantik dan bersih. Cantik dan bersih cukup untuk menunjukkan keindahan pantai ini. Terletak di kawasan yang agak terperosok dari jalan utama Kuantan - Kuala Terengganu menjadikan kawasan ini masih lagi tidak terusik.

Jikalau anda ingin ke sini, selepas Rusila dan melalui Bukit Chendering anda akan terjumpa simpang lampu isyarat. Sila kekalkan kenderaan anda di sebelah kiri. Di Persimpangan ini di sebelah kiri anda ialah Balai Polis, dan simpang ke kiri tersebut adalah jalan ke Jabatan Perikanan Malaysia. Lebih senang, dari arah Rusila atau dari arah Kuala Terengganu, anda hanya perlu melihat papan tanda Jabatan Perikanan Malaysia atau Pantai Pandak. Di Terengganu ini, sungguh mudah untuk ke mana-mana terutama untuk ke kawasan pantai kerana papan tanda senantiasa ada di sepanjang jalan untuk menunjukkan arah ke kawasan tersebut.


Jabatan Perikanan Malaysia yang terletak sebelum kawasan Pantai Pandak, Chendering, Daerah Kuala Terengganu.

Pohon kelapa. Inilah landmark atau tanda pengenalan Pantai Pandak ini. Unik dan indah. Tidak lupa juga tong sampah bertayar ada disediakan di sini.


Gambar yang sama seperti di atas tetapi dalam skala yang lebih besar sedikit.


Batuan rendah di tepi pantai. Berhati-hati bila melangkah di kawasan ini.


Bukit di tepi pantai seumpama tanjung. Kebanyakkan pantai di Terengganu ini, geografinya banyak berbukit bertanjung tetapi panoramanya tetap berbeza.


Batuan dan air laut yang mengalir di celahnya.

Batuan rendah dan arus ombak yang terus menerus setia bergelombang kecil di sini.

Pulau Kapas juga boleh dilihat dari Pantai Pandak. Berbalam-balam dari kejauhan.

Dinasihati jangan mandi di kawasan berbatu ini, agak merbahaya.


Pantai berbentuk Huruf U. Tumbuhan menjalar banyak tumbuh di tepi pantai ini. Jangan lupa, sila buang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan.



Selesai sudah selesai bersua,
Pantai Pandak di Kampung Chendering,
Kita ke depan ke satu kuala,
Bersolat dan rehat, riadah berjogging...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, June 22, 2010 0 orang royak doh

Pantai pasir begitu panjang,
Indah menghadap Laut China Selatan,
Pantai Kelulut letaknya di Marang,
Pelbagai kedai di tepi jalan...

Di daerah Marang jika kita menyelusuri jalan dari arah Kuantan - Kuala Terengganu anda akan ternampak persisiran pantai yang indah yang bermula dari kawasan Kampung Jambu Bongkok hinggalah ke sempadan Rusila/Marang -Bukit Chendering/Kuala Terengganu. Pantai-pantai di Marang begitu indah dengan pohon-pohon kelapa yang tumbuh begitu banyak, perkampungan klasik nelayan yang berselerakan di pesisiran pantai ini serta suasana tanah berumput dengan daun, pelepah dan sabut kelapa berselerak di kampung-kampung begitu mengujakan.

Pantai Peranginan Kelulut yang terletak di tepi jalan Kuantan - Kuala Terengganu. Ia menghadap Laut China Selatan. Jika anda menyelusuri pantai ini anda akan tertanya-tanya pulau yang berbalam-balam yang menghadap pantai ini. Pulau tersebut ialah Pulau Kapas yang merupakan antara pulau yang tercantik di Malaysia amnya dan di Terengganu khususnya.


Pesisir pantai dengan deruan angin. Nyiur melambai, pokok menjalar Tapak Kuda, dan pasir kuning emas suatu panorama yang lengkap landskap pantai si dini.


Awan putih dan langit yang cerah serta deruan ombak membuatkan rasa aman di sini.


Deretan kedai makan yang telah bertahun beroperasi di sini. Lengkap dengan tandas dan surau.


Selamat datang dan selamat tinggal Pantai Peranginan Kelulut.



Rehat di Kelulut mandi di Pulau Kapas,
Lega di badan lega di pundak,
Duduk berkelah tikar dialas,
Singgah Chendering di Pantai Pandak...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, June 21, 2010 0 orang royak doh

Masih di kuala untuk berkongsi,
Landskap dan jalan berwajah baru,
Medan Ikan Bakar bakal operasi,
Rasa lain, rasa terharu...


Masih di Kuala Dungun. Daerah Dungun ini walau kaya dengan pasaran pelbagai jenis ikan akan tetapi sungguh sukar untuk mencari medan ikan bakar. Ia hanya boleh didapati hanya beberapa kedai makan (tidak begitu banyak) yang beroperasi pada waktu malam dan hanya popular bagi penduduk tempatan. Antaranya ialah restoran di tepi Sungai Paka yang terletak selepas Jambatan Paka dari arah Kuantan-Kuala Terengganu, dan beberapa kedai makan di bandar Paka.

Kini dengan terbinanya medan ikan bakar di Kuala Dungun diharapkan menjadi tumpuan kalangan peminat makanan ikan bakar dan menjadi popular setanding dengan Pusat Ikan Bakar Sungai Duyong dan Umbai di Melaka, Pantai Port Dickson di Negeri sembilan serta Bagan Lalang di Selangor. Senibina medan ikan bakar yang dibina di sini menggunakan konsep tradisional rumah Terengganu iaitu Rumah Tele.


Jalan raya yang baru dibina serta ruang letak kereta yang selesa. Lampu-lampu jalan berkonsepkan klasik ala Eropah diletakkan di sini. Satu menara yang cantik menjadi penanda Medan Ikan Bakar ini. Ia kelihatan seperti menara lampu api atau lampu pedoman untuk nelayan di lautan. Mungkin menara ini mempunyai lampu di sebelah atasnya dan jika benar ia akan kelihatan cantik pada waktu malam. Setakat ini satu tiang lampu limpah / spotlight dibina di sini dan telah berfungsi. Pada waktu malam kawasan Kuala Dungun ini begitu cerah dengan cahaya lampu limpah tersebut.


Inilah medan ikan bakar ataupun mungkin nanti menjadi kedai makan dengan masakan tradisional Terengganu. Senibina Rumah Tele begitu nampak dengan bentuk pada peléh bumbungnya.


Ruang tempat kereta dan pokok-pokok nyiur yang baru ditanam di sini menjadikan kawasan ini nampak begitu selesa. Suasana sungai dan laut di sini ditambah dengan deruan angin begitu menyamankan kawasan ini.



Pantai Dungun begitu banyak,
Nantikan lagi hamba menulisnya,
Singgah Kelulut hamba nok ghoyak,
Pantai di Marang cantik indahnya...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, June 12, 2010 0 orang royak doh

Angin Menderu di Kuala Dungun,
Lampu pedoman tersergam indah,
Kembara pantai singgah terpegun,
Muka kuala memancing beriadah...


Setelah merantau kembara melihat suasana di Pantai Teluk Lipat dan sekitarnya, mari kita kembara ke muka Kuala Dungun, sekitar pantai di Kuala Dungun dan benteng pemecah ombak. Muara Sungai Dungun menyimpan pelbagai sejarah sejak dari zaman kepahlawanan dan kependekaran orang-orang Dungun dahulu terutama pada zaman Sultan Zainal Abidin III. Sejak dahulu lagi muara ini menjadi tumpuan nelayan keluar masuk ke laut dan pulang ke jeti atau pengkalan yang banyak di tebing-tebing sepanjang sungai ini terutama sebelah Kampung Nibong Bawah ataupun sebelah seberang bermula dari Kampung Pulau Serai, Kampung Rajawali dan Kampung Seberang Pintasan. Di sebelah Kampung Seberang Pintasan terdapat laluan anak sungai yang dinamakan Sungai Pimpin yang terus bersambung ke hulu. Di tebing Sungai Pimpin ini pula terdapat kampung-kampung seperti Kampung Rajawali dan seterusnya Kampung Batu Tiong. Muka kuala inilah juga merupakan laluan bot pelancong ke Pulau Tenggol yang merupakan salah satu Taman Laut Negara.

Berhampiran muka kuala ini terdapat jeti LKIM, dan tiang api atau lampu untuk pedoman nelayan bagi menunjukkan arah daratan dan muka kuala yang dibina di hujung tanjung pemecah ombak buatan manusia. Jika masuk ke muka kuala, anda akan melihat jambatan baru yang bermula dari Kampung Seberang Pintasan dan merupakan jalan pintas ke Tanjong Jara dan Kampung Pulau Serai dan berakhir ke kampung Bijangga sebelah Bandar Lama Kuala Dungun yang simpangnya berhampiran dengan Pasar Besar Dungun.

Pantai di Kuala Dungun ini mempunyai kawasan kedai yang baru dibina untuk dijadikan medan ikan bakar, kawasan taman permainan kanak-kanak, dan trek untuk laluan pejalan kaki. Di kawasan tanjung pemecah ombak buatan manusia pula kerap menjadi pilihan pemancing untuk memancing di sini. Cuaca yang panas tidak dihiraukan kerana angin sejuk petang sungguh mengasyikkan di sini.

Bagi menggambarkan keindahan-keindahan kawasan ini, alamilah dengan menghayati gambar-gambar di bawah ini.



Jambatan Baru Dungun yang merentangi Sungai Dungun. Jambatan baru yang lebih tinggi, lebar dan selesa.


Kawasan pantai dan batu-batu besar berhampiran dengan muara. Terdapat wakaf yang baru dibina sesuai untuk berkelah dan berehat di sini. Pohon-pohon rhu dan banyak kelapa-kelapa baru ditanam di sini akan meneduhkan kawasan ini sedikit masa lagi.


Inilah tempat di mana sungai dan laut bertemu. Kelihatan bot di tengah sana sedang meluncur. Alunan air dari bot tersebut putih dan menarik. Batuan konkrit buatan manusia sebagai pemecah ombak tersusun selerak di sini.


Kawasan pasir pantai tepi laut yang indah. Kelihatan ombak kecil yang tenang di waktu petang.


Inilah tiang api atau tiang lampu yang menjadi pedoman para nelayan untuk menunjukkan arah daratan dan muka kuala.


Kelihatan bangunan di kawasan Bandar Lama Kuala Dungun.


Dari jauh berbalam-balam Bukit Bauk dan banjarannya. Di sebelah sanalah terletaknya Pantai Teluk Gadong dan Kampus Uitm Dungun.


Inilah batuan konkrit yang memanjang menjadi seperti tanjung. Ia dibina sebagai tanjung pemecah ombak.


Lagi gambar tanjung pemecah ombak.


Agaknya bot nelayan ini pulang ke pengkalan. Kelihatan Bukit Pimpin dan Jambatan Baru Dungun.


Bukit sebelah Kampung Seberang Pintasan. Bot-bot nelayan begitu banyak kelihatan di sebelah seberang sana.


Kelihatan pemancing-pemancing tekun menunggu kail disambar ikan, sambil menunggu panorama di sebelah seberang begitu mendamaikan.


Air sungai di muka kuala yang tenang. Sedikit ombak kecil lantaran angin yang kecil dan ombak dari laut membawa masuk ke muka kuala.

Sayup membiru laut di sebelah pantai.

Kelihatan Bukit Rumah api di Teluk Bidara.



Kuala Dungun Seberang Pintasan,
Saling mengadap di tengahnya sungai,
Boleh terpegun jangan lupakan,
Masih menjejak kembaranya pantai...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, June 11, 2010 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir