Showing posts with label Kembara Kota Lama Duyong. Show all posts
Showing posts with label Kembara Kota Lama Duyong. Show all posts

Ketemu semula di ruang kota,
Bahagian akhir akan terungkai,
Di bawah di luar akan kucerita,
Semua jejak telah kusampai...


Pagar kota yang usang dan berlumut. Menambahkan lagi pandangan silam dan nostalgia. Pagar yang berlekuk di bahagian tengah dan atas. Dalam bahasa Inggeris dipanggilnya cornish.


Rumah belakang atau mengikut pelan kota lama ini dipanggil Sorong Belakang. Penuh dengan senibina kayu berukir, bertangga kayu dan sedikit pagar konkrit berpintu kayu. Gambar ini penulis telah letakkan di dalam entri Kembara Kota Lama Duyong : Pahatan Monumen.


Kolah konkrit. Mungkin untuk basuhan kaki atau tadahan air hujan yang terletak di bahagian belakang rumah atau dikenali dengan nama Sorong Belakang.


Dinding berkonkrit dan berdaun pintu kayu di bahagian bawah. Tingkat atas ialah bilik air. bagi lebih jelas untuk melihat ruang dalam bilik air ini. Sila ke entri Kembara Kota Lama Duyong : Ruang Kota 04.


Lagi gambar dinding konkrit-sama seperti gambar di atas.


Gambar ini penulis ingin menunjukkan ada saluran hujan berbentuk L. Sila perhatikan bahagian bawah bumbung, ada bentuk kayu yang diikat pada galang bumbung. Rasanya saluran hujan ini jika ada hujan turun airnya akan jatuh tepat ke dalam kolah-sila rujuk Kembara Kota Lama Duyong : Ruang Kota 04.


Plak yang ditampal pada dinding konkrit. Gambar dinding konkrit ini adalah sama dengan gambar-gambar di atas.


Inilah Kota Lama Duyong dari bahagian hadapan. Semoga anda dapat manfaat dan mengenali warisan Terengganu ini. Penulis ingin menambah maklumat bahawa tandas awan disediakan berhadapan dengan kota lama ini tetapi di luar pagar kota. Kunci boleh didapati daripada kakitangan muzium yang bertugas di Kota Lama Duyong ini.



Tamat sudah kembara kota,
Ditanda tinta buku pelawat,
Ada lagi banyak kembara,
Tunggu sahaja jangan terlewat...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, June 1, 2010 0 orang royak doh

Ada ukiran ada pahatan,
Begitu cantik halus buatannya,
Ada kayu ada batuan,
Mari lihat mari hayatinya...


Pahatan kayu tepi bawah dinding mencecah lantai (skirting) yang berlekuk dan berteluk atau dalam bahasa Inggeris dipanggil cornish. Pastinya ia menuntut kesabaran yang tinggi dalam menghasilkannya.


Kawasan pagar kecil dan pintu pagar kecil yang penulis katakan sebelum ini. Ia terletak di tingkat bawah berhadapan dengan pintu masuk rumah. Pintu pagar kecil berukir bermotif disebelah atas dan berpalang menegak di bahagian bawah.


Pagar kayu yang penuh ukiran berwarna coklat dan dipasang hubung dengan tiang konkrit putih berbelang hitam.


Lantai putih seperti dari jenis tiles dan berselang seli dengan lantai bercorak permata (diamond) yang berwarna hitam.


Pagar bagi ruang kaki lima di tingkat atas. Penuh dengan ukiran. Ruang ini disokong dengan tiang konkrit berukir. Palang lantai di sebelah hujungnya dipahat gergaji seperti bentuk pergola yang menjadi trend masa kini.


Pintu pagar kecil kayu penuh ukiran di sebelah tengah, berpalang menegak di sebelah atas dan bawah. Ianya terletak di kawasan hadapan rumah sebelah kanan jika kita menghadap rumah. Tembok pagar seperti kota dan kubu ini mempunyai pintu pagar kecil molek ini menambahkan seni dan menarik perhatian. Pintu pagar ini dikukuhkan dengan dihubungkan kepada dua tiang konkrit di kiri dan kanan.



Sungguh banyak ukiran kayuan,
Disokong pula batuan konkritnya,
Nantikan pula cerita akhiran,
Ruang belakang dan di luar pula...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, May 31, 2010 0 orang royak doh

Mari jejak ke tengah hadapan,
Rumah tengah nama benarnya,
Ada pameran kapal di depan,
Pelbagai jenis dan ragamnya...


Di ruang tamu tengah atau Rumah Tengah mengikut pelan rumah kota lama ini dipamerkan pameran perahu/bot/kapal dengan model bernisbah kecil serta sedikit penerangan berbentul artikel dipaparkan.

Model kecil perahu dan bot. Bukan untuk mainan tapi hiasan pameran. Menarik kalau ada direka bot kayu ini dikawal dengan alat kawalan berkuasa bateri-menarik untuk dibeli.


Pintu kayu ini menarik perhatian. Bentuk yang ringkas dengan selak kayu dan berdinding anyaman berwarna kuning jerami kering.


Bilik tidur. Di luar bilik di tepi dinding kelihatan pameran bergambar berkenaan perahu dan kapal lama di Terengganu. Di atas pintu bilik kelihatan ruang angin daripada ukiran kayu. Motifnya mungkin dari jenis flora atau sebaliknya?


Di dalam rumah kota lama ini juga terdapat pameran barangan tembaga yang sinonim dengan negeri Terengganu dan menunjukkan begitu mahirnya orang-orang Melayu Terengganu dalam pembuatan barangan seni ukir.



Jejak kota tidaklah puas,
Belum tamat belum sudahnya,
Jejak lagi semua aras,
Kita jelajah sampai habisnya...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, May 30, 2010 0 orang royak doh

Rumah kota banyaknya ruang,
Dihubung jalan kaki lima,
Berlantai kayu jalannya senang,
Berbumbung teduh sungguh selesa...

Banyak lagi ruang di dalam rumah kota lama ini yang ingin dikongsikan oleh penulis. Seperti di artikel terdahulu penulis ada menyatakan ada lalulan kaki lima atau koridor yang menghubungkan setiap ruang di dalam rumah ini. Penulis ingin berkongsikan gambar dan artikel lagi di sini.

Tanpa flash kamera.


Dengan flash kamera.

Gambar di atas adalah laluan ke ruang dapur. Sedikit gelap dan ada beberapa cahaya masuk dari lampu dinding dan memerlukan flash dari kamera untuk mengambil gambar di ruang ini.


Lagi laluan ke arah ruang dapur dan terdapat lampu hiasan moden tetapi berbentuk klasik diletakkan di tepi dinding. Jika lampu ini tidak dipasang suasana di ruang mungkin mungkin agak gelap sedikit. Dinding kayu berona coklat dan terdapat palang-palang kayu berjarak sederhana rapat supaya ruang udara melalui di atasnya.


Inilah gaya dapur zaman silam. Tanpa dekorasi ala Eric Leong, cuma berdinding kayu rona coklat, para kayu berona hitam di hujungnya berbentuk seperti potongan pergola. Segala barang dapur diletakkan di atas para ini. Nasihat penulis jangan cari para ini di Ikea, anda tidak akan terjumpa.


Sila lihat tempat penyangkut segala sudip, penyedok, dan senduk telah diletakkan di situ. Klasik. Betapa orang Melayu dahulu telah mengamalkan sistem 5S yang dipelopori oleh orang-orang Jepun. Ini adalah contoh S yang kedua iaitu Seiton atau dalam Bahasa Melayunya ialah Susun (Peralatan dan bahan mestilah disusun secara sistematik untuk capaian mudah dan cekap. Perlu ada tempat untuk setiap benda, dan setiap benda mesti berada di tempatnya.)


Lagi para tetapi bersaiz kecil dan menjadi tempat letak pinggan mangkuk. Seperti almari kecil tidak berdinding. Pinggan mangguk disusun rapi. Di tepinya di atas lantai diletakkan lesung batu. Di tepi dinding pula disangkut tudung salji mengkuang. (Sukanya diingatkan pemadam api berwarna biru itu bukanlah hiasan dan menggambarkan zaman silam, ianya untuk keselamatan diri!)

Ini pula ialah ruang di belakang dapur. Berdinding tiang kayu berjarak sederhana rapat.


Ruang bilik air. Gambar diambil dari celah pintu.


Di ruang bilik air ini terdapat kolah besar dan satu lagi seperti perigi. Dinding separuh konkrit dan terbuka di bahagian atas.


Cerita dapur berkait masakan,
Dapur bersih hati senang,
Lepas ini ruang tengah di depan,
Juga bilik tempat berlenang...

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Daun pintu unik bentuknya,
Rumah biasa payah dicari ,
Sirip kayu ruang udara,
Dibuka ditutup senang sekali...

Ada satu reka bentuk yang menarik perhatian kepada pihak penulis berkenaan rumah di Kota Lama Duyong ini. Reka bentuk tersebut ialah daun pintu yang mempunyai sirip-sirip kayu bagi tujuan pengudaraan di dalam rumah (seperti ventilasi atau ventilation ). Lihat gambar di bawah ini :

Sirip kayu pengudaraan dalam keadaan tutup.


Sirip kayu pengudaraan dibuka dengan menggunakan kayu menegak di tengah-tengah daun pintu. Ringkas tetapi satu teknologi pintar zaman silam. Sedikit sentuhan mekanikal ini begitu menarik perhatian.

Selain daripada itu penulis juga tertarik dengan cara pendawaian elektrik yang dilakukan di dalam rumah ini. Kebiasaanya di rumah biasa kita akan melihat pendawaian elektrik akan ditanam di dalam diding bersimen atau di lekatkan pada dinding rumah berkayu dengan menggunakan timah dan dipaku. Ada juga menyorokkan pendawaian ini dengan menggunakan casing (sarung pendawaian elektrik diperbuat daripada plastik) berwarna putih ataupun mengunakan conduit pipe berwarna putih. Uniknya rumah ini menggunakan casing tetapi berwarna coklat berbentuk seperti kayu dan sepadan dengan warna dinding rumah kayu. Suis yang digunakan pun juga adalah dari jenis lama. Lihat gambar di bawah ini :




Telah cerita teknologi lama,
Ada klasik ada baharu,
Sabar tuan-puan ceritanya ada,
Tunggu sahaja artikel terbaru...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, May 29, 2010 0 orang royak doh

Ruang bawah telah lewati,
Menjejak tangga ke ruang atas,
Tanggal dahulu alas kaki,
Rumah Melayu adab dan batas...

Setelah selesai di bahagian bawah rumah penulis mengikut kakitangan muzium ke bahagian atas. Perlu diingatkan di sini untuk masuk ke ruang tingkat atas setiap pelawat harus menanggalkan kasut atau selipar bagi menjaga kebersihan rumah kota lama ini. Menaiki tangga kayu ke ruang atas tidak begitu tinggi tetapi perlu berhati-hati. Sampai sahaja di ruang atas terlihat pagar kayu di laluan serambi yang begitu cantik sekali. Kelihatan juga langit cerah dari arah muara Sungai Terengganu dan pantai .

Penulis tidak tahu motif ukiran ini samada dari jenis bunga atau daun ataupun dari betuk haiwan mahupun serangga. Apa yang pasti ia cantik dan unik di samping warna coklat gelap (Slanga Terengganu menyebut warna Coklat sebagai warna Koko) yang memukau pandangan.

Di bahagian hadapan rumah ini terdapat serambi yang berdinding dan berpintu yang terpisah dengan ruang tamu utama rumah ini (mengikut pelan rumah kota lama ini ruang tamu utama di bahagian hadapan dipanggil Rumah Depan). Unik sekali dan ruang serambi berdinding ini dipisahkan juga dengan laluan seperti kaki lima atau koridor bangunan konkrit. Rumah Melayu biasa tidak berbentuk seperti ini.


Serambi berdinding seperti ruang rehat dan juga kelihatan seperti ruang pejabat.


Kerusi meja yang terdapat di kawasan yang penulis katakan ruang serambi berbumbung dan berdinding.



Gambar di atas ini ialah ruang kaki lima yang berbumbung yang menyambung ke pelbagai ruang di dalam rumah ini. Reka bentuk kaki lima di dalam rumah ini ada yang menghubungkan dapur, bilik mandi dan serambi. Sungguh unik!







Gambar di atas ialah gambar pameran artikel dan gambar tokoh-tokoh yang tersohor di negeri Terengganu yang berkaitan dengan kota ini dan Pulau Duyong. Ia diletakkan di ruang tamu rumah ini (Rumah Depan).


Henti sekejap buat seketika,
Walau banyak ruang di atas,
Kota lama dua tingkatnya,
Nantikan lagi jangan terlepas...

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Sampai di depan salam diberi,
Adat Melayu Islam tidak dilupa,
Bersalam tangan tidak dilupai,
Tanda adab Melayu kita...

Ketika sampai di kota lama ini penulis bersua dengan dua orang pekerja di sini (kakitangan Muzium Negeri Terengganu rasanya) yang menguruskan dan menjaga Kota Lama Duyong. Berbual sekejap dengan salah seorang dari mereka sambil bertanyakan beberapa soalan yang berkaitan dengan kota lama ini. Tidak dikenakan tiket dan pelawat berpeluang untuk menikmati segala kecantikan ukiran dan seni bina tradisi Terengganu di kota lama ini.

Di bahagian depan kota ini dibina pagar konkrit dan berpintu pagar kayu seperti kota dan di dalamnya adalah rumah seperti istana dua tingkat. Di bahagian bawah adalah binaan daripada konkrit dan kayu manakala di tingkat atas adalah daripada kayu.

Setelah memasuki ruang dalam pagar, ada satu lagi pagar kecil sebelum masuk ke tempat menaiki tangga untuk ke tingkat atas rumah ini. Di dalam kawasan pagar kecil inilah kakitangan muzium tersebut menunggu dengan setia akan setiap pelawat yang datang ke sini. Tidak perlu bimbang kerana mereka ramah untuk melayan pertanyaan anda dan membantu anda.

Di dalam kawasan berpagar kecil ini juga ada ruang masuk ke bawah rumah iaitu tingkat bawah di mana beberapa pameran artikel atau gambar serta penerangan tentang kota lama ini. Sedikit maklumat yang penulis dapati dari ruang pameran tersebut :

Kota Lama Duyong ini telah dibina pada tahun 1919 dan siap pada tahun 1920 oleh Dato' Biji Sura (Nik Muhamad Bin Hitam) yang merupakan seorang hakim.

"Kota yang diperbuat daripada bahan campuran seperti madu, kapur tohor, putih telur, pasir, batu dan sebagai lagi berukuran lebih kurang 400 meter persegi dan di dalamnya terdapat beberapa rumah umpamanya Rumah Bujang Berpeleh, Limas Bungkus dan Limas Belanda. Tukang yang ditugaskan membinanya terdiri daripada Melayu dan Cina Singapura. Di dalam rumah inilah diadakan kelas belajar agama dan tempat belajar mengaji Al-Quran.

Menyedari betapa pentingnya monumen ini kepada generasi akan datang, pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian telah mengambil inisiatif membina semula kota yang rosak teruk akibat dilanda air deras ketika banjir tahun 1986. Pembinaan yang dibuat pada tahun 1996 dan siap bulan September 1999 ini berdasarkan kepada rekabentuk asal tanpa sebarang pindaan."

Gambar di bawah ini adalah antara ruang pameran yang diletakkan di ruang bawah rumah atau tingkat bawah rumah. Sila klik untuk tatapan besar.



Baru sedikit cerita kota,
Pastinya ada sambung coretan,
Baru sedikit karangannya,
Ada lagi ingin dipaparkan...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, May 28, 2010 0 orang royak doh

Kota Lama Duyong: Satu Pengenalan


Belum puas kembara muzium,
Tapi akan singgah semula,
Ke kota lama hati menguntum,
Jejak seni ukir budaya...

Pahatan dari Tourism Malaysia menyatakan :

Kota Lama Duyong terletak di Pulau Duyung kira-kira 7 (tujuh) kilometer dari pusat bandar. Kota Duyong mempunyai 9 buah bumbung yang menutupi beberapa bahagian yang bersambungan dengan dapur, bilik mandi, sarung, beranda, dan titian. Reka bentuknya mirip Istana Kecil Raja Melayu tetapi diperkayakan lagi dengan memasukkan unsur-unsur pengaruh seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir terutama pada tiang dan dinding batu. Bangunan (rumah) ini memperlihatkan jenis rumah tradisional Melayu Terengganu iaitu Bujang Berpeleh, Lima Bungkus dan Potong Belanda dengan dihias ukiran sobek di sekeliling beranda.

Satu penceritaan.

Bermula dari rumah di kampung penulis, penulis menjejak kembara ke Kuala Terengganu untuk mencari lokasi Kota Lama Duyong. Secara jujurnya dari kecil lagi penulis belum pernah singgah atau melawat Kota Lama Duyong ini mahupun Muzium Negeri Terengganu. Peluang yang ada tidak sia-siakan.

Sampai ke Kuala Terengganu, penulis singgah ke Kampung Ladang (Ladang Sekolah) untuk bertemu sanak-saudara penulis di samping untuk melihat kali terakhir rumah sanak-saudara penulis dirobohkan. Selain itu penulis sempat bertanya arah jalan untuk ke Pulau Duyong dan tidak susah seperti jangkaan awal penulis. Penulis juga sempat memerhati keadaan sekitar Kampung Ladang dan melihat masih ada orang menjalankan aktiviti membuat barangan tembaga lalu teringat waktu kecil penulis yang selalu melihat penduduk-penduduk di kampung ini mengusahakan pembuatan barangan tembaga sama ada di tepi rumah mahupun di depan rumah mereka. Melihat asap dan api satu proses membuat barangan tembaga begitu mengujakan pada waktu itu. Bunyi deringan mesin untuk mengilatkan barangan tembaga kedengaran dan bunyinya masih sama sewaktu dahulu-maka minda ingatan terbuka kembali keadaan sewaktu penulis kecil lagi. Begitu nostalgia!

Setelah selesai singgah menziarah sanak-saudara penulis bergerak menuju ke utara Kuala Terengganu untuk menjejak kota lama tersebut. Melalui jambatan Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah kelihatan di sebelah kiri Masjid Kristal di Pulau Wan Man. Sebelum masjid ini di bina, jika anda menuju ke utara anda akan dapat melihat di sebelah kiri anda Muzium Negeri Terengganu di Bukit Losong. Kini keindahan itu bertukar dengan cahayaan dari Masjid Kristal-masih mengujakan pemandangan tersebut.

Setelah memasuki jalan perkampungan Pulau Duyong yang agak sempit, penulis berhenti di satu papan tanda kota lama tersebut. Kelihatan di tepi jalan wanita-wanita yang berumur duduk di tepi jalan. Penulis singgah bertanyakan mereka sambil menunjukkan bangunan di belakang mereka ini adakah kota lama. Mereka mengiyakan. Setelah itu penulis bergerak ke arah bangunan itu dan rupa-rupanya menulis berada di belakang kota lama tersebut. Rupanya ada jalan lain yang boleh dilalui untuk memakir kenderaan di depan kota lama. Tidak mengapalah, janji penulis telah sampai untuk menjejaki warisan lama ini.

Sudah berjumpa kota lama,
Begitu teruja penuh senyuman,
Nantikan lagi cerita seterusnya,
Banyak lagi akan dicoretkan...

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir