Showing posts with label Terengganu Menggamit Rasa. Show all posts
Showing posts with label Terengganu Menggamit Rasa. Show all posts

Satu lagu nyanyian oleh Ramli Sarip hasil nukilan Datuk Dr. Rosli Mat Hassan , menceritakan sejarah bermulanya daerah Dungun dan tokoh-tokoh yang terlibat dalam sejarah perjuangan dan pembangunan daerah ini. Pewaris Anak Dungun. Mungkin daerah-daerah lain di dalam negeri Terengganu boleh melakukan sesuatu yang sama dalam bentuk lagu untuk menceritakan sejarah pembentukan daerah dan tokoh-tokoh dalam daerah masing-masing. Lagu puisi Pewaris Anak Dungun ini dilagukan dengan merdu dan penceritaan sejarah di daerah Dungun menjadikan ia mudah difahami. Anak-anak Terengganu sendiri mempunyai ramai komposer yang terdiri daripada Manan Ngah, Azam Dungun, Wan Zul, Dr. Wan Zawawi, dan mungkin ada generasi-generasi baru yang penulis tidak kenal tetapi mereka mungkin boleh menghasilkan sesuatu untuk negeri tercinta ini.



"Untuk Anak Dungun, Pewaris Anak Dungun..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, July 27, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan lama penulis... menggamit rasa...



Beca di Bandaraya Warisan Pesisir Air.


"Teksi ke beca?

Jika sampai ke Terengganu jangan pelik, jangan hairan. Teksi (kereta sewa) yang tiada meter dipanggil teksi, beca roda tiga dipanggil teksi. Tiada beca di Terengganu. Noktah. Sebenarnya ada. Beca roda tiga dikayuh golongan veteran dipanggil teksi. Di Dungun sendiri pada waktu ini telah tiada (atau masih ada tapi tinggal dua tiga beca sahaja?) Dulu-dulu beca digunakan oleh makcik-makcik dan kakak-kakak di sekitar kampung untuk turun ke kuala/Pasar Besar Dungun, atau ke pekan Sura Gate/De Gate - Maaf! Bunyinya macam Perancis tetapi itulah, orang Dungun memanggil Sura Gate sebagai De Gate.

Beralih ke cerita beca. Sekarang amat payah untuk melihat beca-beca di Dungun. Di daerah-daerah lain di Terengganu, tidaklah aku tahu.

Mök cik yang duduk atas lambo : Höh! Nök gi duane tuh?
(Hoh! Nak ke mana tu?) Jerit Mok cik kepada rakannya yang duduk dalam beca roda tiga.

Mök Cik yang duduk dalam beca : Nök gi darakk, makang gula...
(Nak ke darat sana, makan kenduri). Jawab Mök cik yang duduk dalam beca - dengan nada jerit agak-agak dalam 8 desibel.

Nök gi darakk, makang gula... orang Dungun menyebut nök gi darrak adalah nak ke Kampung Gong Pasir/Kampung Pak Sabah, makang gula pula bukanlah bermaksud makan gula yang manis, tetapi makan gulai iaitu lauk pauk kenduri kahwin (nasi minyak gulai ayam gulai daging)."


"Jika ke Terengganu dan berpeluang melihat beca roda tiga, naikilah nak alamilah pengalaman meronda dalam Bandaraya Warisan Pesisir Air..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, July 12, 2010 0 orang royak doh

Terengganu kita di hati kita,
Menggamit rasa cinta dan rindu,
Kampung Nelayan betapa uniknya,
Tempat bermain petang selalu...


Benteng sungai Dungun di perkampungan nelayan Kampung Sungai Buaya dan pengkalan nelayan. Bot besar dan kecil kelihatan tersusun seperti kawasan letak kereta. Orang kita pun pandai mengamalkan 5S.


Buluh-buluh usang yang terdampar di tepi benteng. Ada juga yang hanyut dtenang dibawa arus sungai dari hulu ke muara dan panorama tersebut begitu nostalgia.


Kawasan berpaya berhampiran dengan benteng sungai. Apabila air sungai pasang, kawasan ini akan dipenuhi dengan air sungai. Semasa cetek, senang untuk melihat anak-anak ikan lantaran airnya yang jernih.


"Terengganu yang terletak di kawasan pesisir air sama ada laut dan sungai menjadikan geografi negeri begitu cantik dan unik. Kebanyakkan bandar utama di negeri ini terletak di pesisir air - laut dan sungai. Bagi Episod Terengganu Menggamit Rasa ini penulis ingin berkongsi gambar panorama pesisir sungai iaitu Benteng Sungai Dungun yang dijadikan pengkalan untuk nelayan. Kawasan ini merupakan kawasan noltalgia bagi penulis selain ia menjadi venue penulis untuk memancing ikan sebagai hobi yang terluang.

Selain itu kawasan ini dahulu juga kelihatan penduduk setempat menyelam berenang di tepi sungai untuk menembak udang sungai. Manakala paya berhampiran dengan benteng sungai ini ramai kanak-kanak yang menjalankan aktiviti bbito ketang atau menangkap ketam nipah dengan menggunakan perangkap yang dinamakan bito.

Panorama-panorama di sini sebenarnya sungguh cantik dengan suasana perkampungan nelayan dan aktiviti-aktiviti nelayan seperti mengait membaiki jala, membersihkan dan mengecat bot (penulis pernah ada pengalaman mengecat bot-suatu pengamalan yang menyeronokan), ada yang mandi sungai, dan ada yang mengambil peluang berehat dan bertemu rakan di sini. Kawasan perbentengan ini menjadi seumpama tempat pertemuan dan perbincangan sama ada urusan kerja atau kunjungan seperti menziarah rakan di rumah.

Sungai, laut dan paya-sungguh nostalgia."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, July 5, 2010 0 orang royak doh

Tulisan untuk papan tanda kedai di salah sebuah kedai di Kuala Dungun : Jawi, Cina dan Rumi Melayu.

Bahasa Jiwa Bangsa. Itulah slogan yang digunakan sejak dahulu lagi. Bahasa yang digunakan sesuatu bangsa menggambarkan jiwa bangsa itu. Di Terengganu ini apa yang unik ialah slanga Bahasa Melayu Terengganu ini digunaka pakai oleh semua kaum di sini. Mungkin orang dari luar negeri Terengganu akan terkasima apabila mendengar golongan kaum Tionghua dan India begitu fasih berbahasa dialek Terengganu. Bunyinya tidak kekok malah sama seperti orang Melayu Terengganu. Jikalau singgah ke kedai runcit, kedai makan mahupun ke pasar semuanya menggunakan dialek Terengganu. Perkataan mung, aku, awang, nok beli, kite jua, adalah antara yang kita akan kerap dengar jika singgah di pasar. Semuanya diguna pakai oleh semua kaum. Itulah, dengan bahasa kita boleh menggunakannya menjadi satu simbol perpaduan bagi semua kaum bagi menyampaikan hasrat Satu Malaysia. Rakyat Terengganu telah lama menggunakannya sebagai simbol perpaduan. Terengganu...bereh sokmo!

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, July 3, 2010 0 orang royak doh

"Suatu catatan lama semasa kembara penulis dahulu. Bukit Tebuk satu nostalgia dan sentimental kepada penulis di mana tempat ini adalah tempat penulis selalu ke sini sewaktu kanak-kanak. Tempat ini masih utuh dan masih boleh dikunjungi. Jika anda dari arah Kuala Lumpur/Kuantan atau dari arah Utara, apabila sampai ke bandar Dungun, perlu rajin bertanya dengan penduduk tempatan kerana jalan ke kawasan ini agak terperosok di dalam suasana kampung.

Nasihat penulis jangan bertanya di mana-mana stesen minyak, bimbang anda nanti bertanya pekerja asing yang tidak tahu apa-apa. Mungkin anda boleh menggunakan khidmat Goggle Map atau Google Earth untuk panduan. Apa-apa pun nasihat penulis, lebih baik bertanya panduan arah jalan dengan rakyat tempatan. Jika slanga mereka terlalu pekat , sila nyatakan anda tidak faham dan perlukan lakaran peta. Lagi bagus sediakan kertas dan pensel."






"Bukit Tebuk. Terletak di dalam Kampung Nibong Kubur, tetapi ada yang memanggil kawasan di situ sebagai Kampung Bukit Tebuk Tebuk. Kawasan in bersebelah dengan Kampung Bukit Chatak, Kampung Tanjong Pagar dan Kampung Nibong Bawah. Plak Monumen yang disediakan oleh Tourism Malaysia menyatakan Terowong Bukit Tebuk ini terletak di dalam Kampung Che Lijah. Penulis merasakan di situ ada kesilapan terhadap penerangan yang tertera di dalam plak momunem tersebut ini kerana Kampung Che Lijah adalah berada di kawasan yang jauh dari Bukit Tebuk ini. Penulis berharap ada pihak berkuasa menukar plak tersebut dengan menyatakan semula kedudukan sebenar Bukit Tebuk ini.

Secara ringkasnya bukit ini ditebuk oleh pihak Jepun melalui satu syarikat yang melombong bijih besi di Bukit Besi. Terowong ini dibina adalah sebagai laluan keretapi sama ada keretapi yang membawa penumpang atau keretapi yang membawa bijih besi dari kawasan perlombongan bukit besi ke kawasan pengumpulan bijih besi di Sura Gate. Keretapi penumpang membawa pekerja dan penduduk sekitar sebagai pengangkutan utama pada waktu itu bagi memudahkan perjalanan dari setiap stesen/hentian seumpama komuter di Kuala Lumpur,Selangor dan Negeri Sembilan.

Di dalam terowong ini terdapat dua bilik kecil tak berpintu di tepi dinding terowong. Jarak di antara dua bilik kecil ini agak jauh. Orang Dungun memanggilnya lubang. Muka pintu masuk bilik kecil ini berbentuk separuh bulatan atau 180 darjah di sebelah atas. Dikatakan bilik ini sebagai tempat orang menyorok jika semasa berjalan kaki melalui landasan keretapi di dalam terowong ini, dan ada keretapi melaluinya, bilik tersebut digunakan sebagai tempat keselamatan untuk menyorokkan diri buat sementara waktu.

Selepas zaman penutupan perlombongan Bukit Besi, jalan di kawasan terowong ini berbatu dan tidak berturap tar seperti sekarang. Laluan di situ pada waktu tersebut bukanlah seperti sekarang ini di mana ada kenderaan yang lalu lalang sebagai jalan pintas untuk ke jalan besar Dungun ke Kuala Terengganu. Dahulu kampung di belakang Bukit Tebuk ini dahulunya sepi dan penempatan yang berselerak dan tidak banyak rumah. Sekarang ini ada sedikit perubahan dengan pembinaan taman perumahan di kawasan tersebut, tetapi kawasan tersebut masih seperti dulu - sepi dan aman.

Bukit tebuk ini sewaktu kecil adalah tempat penulis bermain, bukitnya dipanjat untuk melihat panorama dan melihat remaja bermain bola di satu padang yang terletak di Kampung Nibong Bawah pada waktu itu, dan di kawasan lembah bukit ini banyak terdapat pokok buluh, yang diambil oleh kanak-kanak waktu itu semasa musim bermain bedil-satu senapang berpeluru buah kecil atau kertas surat khabar yang dibasahkan dan digentel menadi bulat. Bedil ini bentuknya seumpama picagari di mana ombohnya berperanan seperti picu untuk menembak peluru yang di isi ke dalam sarung buluh."



Bukit Tebuk nama diberi,
Ditebuk untuk laluan landasan ,
Tinggal usang utuh di sini,
Untuk generasi sekelian tatapan...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, June 30, 2010 0 orang royak doh

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menceritakan:

Selera dua negeri di Wau Penyu

Seterusnya sila ke sini untuk maklumat lanjut :

www.waupenyu.com

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, June 28, 2010 0 orang royak doh

Woi! Woi! Bangung ke lauk weiii..!
(Woi! Woi! Bangun ke laut weiii..!)

Perahu di atas dipilih sebagai ikon Journey Terengganu. Ia menggambarkan pekerjaan tertua dalam negeri Terengganu sesuai dengan keadaan geografi Terengganu yang berpantai menghadap Laut China Selatan. Ke Laut adalah perkataan sinonim bagi para nelayan di negeri ini bagi mencari rezeki yang halal.

Rata-rata rakyat Terengganu adalah pemakan ikan (macam orang Jepun juga). hasil tangkapan laut memberikan idea kepada suri untuk mencipta makanan berlauk hasil dari laut sejak dahulu lagi. Jika negara Jepun mempunyai sushi, Terengganu pula mempunyai deretan pelbagai makanan terutama keropok lekor. Selain itu juga, hasil pelbagai tangkapan hasil laut maka terciptalah sajian terdiri nasik dagang berkuah ikan tongkol (Aye), ketupat sotong (sotong disumbat pulut), ikan dan sotong celup tepung, keropok keping, otak-otak Terengganu, pais dan sata.

Berbalik kepada ikon perahu yang dipilih ini ialah kerana perahu ini dekat dengan kehidupan Awang bahkan mungkin dekat dengan kehidupan pembaca yang lahir di Terengganu.


Jadi apa lagi, woi woi bangun, ke laut weiii...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, April 23, 2010 0 orang royak doh

Kalau anda tiba dari luar negara mendarat di KLIA dan mengambil bagasi di Carousel E atau F (Baggage Reclaim E/F - Tuntutan Bagasi E/F) anda pasti terpandang dan terpesona dengan paparan iklan yang menggambarkan keindahan dan budaya negeri Terengganu Darul Iman. Promosi sebegini amat bijak kerana KLIA adalah pintu masuk negara dan first impression atau tanggapan awal pelancong ke Malaysia pasti tertarik, teruja dan tertanya-tanya di manakah gterletak tempat menarik ini dan pastinya mahu ke negeri Terengganu Darul Iman. Bagi anak jati Terengganu yang baru pulang dari luar negara dan mendarat ke KLIA pasti teruja untuk pulang ke tanah kelahiran dengan segera setelah melihat beberapa paparan iklan promosi pelancongan negeri Terengganu. Pasti rindu...








Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, April 22, 2010 0 orang royak doh

Tempat jatuh lagi dikenang...
Inikan pula tempat bermain...

Menjadi anak jati Terengganu sendiri pasti ada yang mengundang rasa bosan, suasana muram, hari-hari yang dilalui selalu seperti biasa seperti di-copy & paste. Tinggal tetap di negeri sendiri, tatkala pada bukan hari kerja pasti mengambil peluang berehat (dan makan juadah dari laut/seafood) di sekitar pantai sepanjang lautan yang mengadap Laut China Selatan tetapi mungkin lama-lama kelamaan mengundang rasa -inikah tiap-tiap hari yang dilalui? Lalu rasa ingin berhijrah timbul dalam hati. Mungkin ingin lari dari rasa kebosanan dan mungkin juga menambah pengalaman baru di tempat orang.

Lalu berhijrah, perasaan itu sebenarnya tidak juga keruan. Tidak juga selesai-selesai dari rasa kebosanan. Pemandangan indah di pantai kembali menggamit rasa. Rindu kepalang timbul di dalam hati. Maka rasa rugi pula meninggalkan tempat jati sendiri. Kesalkah? Ini kerana tinggal di mana-mana pun tempat sendiri akan dikenang jua. Berhijrah ke tempat baru dek kerasa rasa bosan bukan satu cadangan dan penyelesaiaan yang paling baik mahupun terbaik. Ini kerana mungkin penduduk anak jati sesuatu negeri pun mungkin berasa kebosanan berada dalam negeri sendiri dan mengambil peluang berhijrah ke tempat lain.

Akhirnya perasaan yang salah itu sebenarnya memakan diri sendiri. Rindu gamit tempat sendiri akan datang dari hari ke hari walau kadang rasa bosan itu sebenarnya tidaklah kejam kepada kita, cuma kita sendiri yang terasa kejam dengan perasaan itu. Mungkin kepada semua perantau yang merantau, setujuilah tanah berpantai dan berbukit, tanah Perimula berpanji hitam dan putih adalah tempat terbaik untuk kita kan!

Angin bayu pantai sebenarnya tidak membawa bosan pada kita, ia membawa suasana aman dan nyaman lari dari hiruk pikuk di kota. Rindu...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, April 12, 2010 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir