Showing posts with label Permainan Tradisi Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Permainan Tradisi Terengganu. Show all posts

Entri lama penulis dari blog @Dungun

Wa wa pé pék,
wa pé pék ujong galoh,
masuk keluo masuk,
hulubalang buke pitu,
cak la lok, la lok,
cak la lok, la lok...


  • Nama permainan ini tidaklah diketahui sangat oleh awang, tapi awang tahu cara bermainnya. Antara ingat-ingat jugokla.
  1. Jumlah kanak-kanak yang ingin bermain permainan ini tidak ditetapkan. Buleh blaka.
  2. Dua orang ketua kumpulan akan dilantik. Namakannya Ketua A dan Ketua B. Kedua-dua kumpulan ini akan memilih kata rahsia atau keyword masing-masing, sebagai contoh Ketua A memilih perkataan Udang dan Ketua B memilih perkataan Ketam. Kata rahsia ini tidak diberitahu kepada beberapa kanak-kanak yang lain. Ini adalah perjanjian antara kedua-dua Ketua tersebut.
  3. Selepas itu kedua-dua ketua kumpulan ini berlu berdiri mengadap masing-masing. Kedua-dua tangan setiap ketua kumpulan perlu mendepakan tangan atas membentuk pintu gerbang seakan-akan juga bentuk segitiga.
  4. Penerangan mudah ialah tangan kanan dan kiri Ketua A didepakan ke depan atas ( seperti tabik Hitler-hehehe). Ketua B juga melakukan perkara yang sama. Kemudian kedua-dua jari tangan mereka bertemu dan memegang antara satu sama lain-jari tangan kanan Ketua A memegang jari tangan kanan Ketua B. Begitu juga jari tangan sebelah kiri. Mereka akan membentuk pintu gerbang piramid atau segitiga.
  5. Beberapa kanak-kanak yang lain yang menyertai permainan ini akan melalui bawah pintu gerbang ini secara berjalan beratur bergilir-gilir secara pusingan sambil menyanyikan lagu...Wa wa pé pék, wa pé pék ujong galoh, masuk keluo masuk, hulubalang buke pitu, cak la lok, la lok, cak la lok, la lok...
  6. Bila lirik yang terakhir habis dinyanyikan, maka kedua-dua kumpulan akan menurunkan tangan mereka dan mengurung seorang kanak-kanak yang tidak sempat keluar dari pintu gerbang segitiga tersebut.
  7. Kemudian Ketua A dan B akan bergerak bersama kanak-kanak yang dikurung itu menjauhi kanak-kanak yang lain dan menyuruh kanak-kanak yang dikurung itu untuk memilih antara dua kata rahsia iaitu Udang atau Ketam. "Mung nok Udang ke Ketang" (Awak nak udang ke atau Ketam).
  8. Jika kanak-kanak tersebut memilih Udang, dia akan terpilih memasuki kumpulan Ketua A. Jika sebaliknya ia akan memasuki kumpulan Ketua B. Katakan dia memilih Ketua A, dia akan berdiri dibelakang Ketua A dan memegang pinggang Ketua A.
  9. Kemudian proses nombor 4 hingga 8 akan berulang sehingga tiada lagi kanak-kanak yang tinggal.
  10. Selepas itu, Ketua A dan B akan mengarahkan ahli-ahli / kanak-kanak yang berada dalam kumpulan masing-masing supaya memegang pinggang di depan setiap daripada mereka dengan kuat .(Info-Setiap kumpulan mungkin akan memiliki ahli yang kurang kerana proses pemilihan kata rahsia tadi).
  11. Selepas setiap ahli-ahli kumpulan memegang pinggang masing-masing, Ketua A dan B pula akan menarik tangan tangan masing-masing seperti bermain tarik tali. Kumpulan yang jatuh atau berpecah dikira kalah.

Awang-mintok maaf kalau cara main ni saloh, awang ingat-ingat, doh lame dok tengok budok maing wa wa pe pek ni, yelahhh...skang ramai suka sangat ngadap playstation, petang-petang bukang turung tanoh jupe kawang-kawang maing bende gini. Mintok dok lupuk dek zamang doh la...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, November 5, 2010 0 orang royak doh

Rumah tradisi Terengganu yang berlantai tinggi dari tanah dan banyak tiang menjadikan kawasan bawah rumah sebagai tempat yang boleh digunakan sebagai kawasan simpanan kayu, simpanan atap bata (atap singgora), ampaian kain ketika hujan atau musim tengkujuh, dan ada yang menjadikan tempat letak kenderaan dari basikal hingga ke motokar (bas atau lori tidak muat).

Bagi kanak-kanak pula tiang-tiang bawah rumah ini dijadikan satu tempat bermain. Tiang-tiang rumah ini mempunyai tapak alasnya yang diperbuat daripada konkrit. Tiang dan alas tapak tiang konkrit ini dijadikan satu elemen dalam permainan tradisi Terengganu yang dinamakan Cuik Tiang atau dalam Bahasa Melayu iaitu Cuit Tiang.

Permainan ini boleh dimainkan kanak-kanak lelaki dan perempuan. Jumlah pemainnya antara 5-8 orang tetapi tetap bergantung jumlah tiang yang ada. Jikalau tiang banyak pemain sedikit ia bagus kerana memberi peluang kepada pemain ini memilih mana-mana tiang. Cara permainan ini dimainkan ialah :

  • Pengundian akan dijalankan seperti yang telah diterangkan sebelum ini, sila rujuk entri Undian bagi mendapatkan siapa yang akan menjadi pengejar yang akan pengejar pemain-pemain lain yang akan berpaut pada tiang.
  • Setelah mendapat orang yang menjadi, pemain-pemain lain akan memijak tapak alas tiang konkrit dengan dua belah kaki dan memegang tiang. Pengejar akan berpijak pada tanah.
  • Pengejar akan bersedia dan berwaspada untuk melihat siapa yang akan beralih tiang ke satu tiang. Setiap pemain boleh beralih dari satu tiang ke tiang yang lain dengan syarat mereka perlu berlari dengan sebelah kaki. Apabila sampai ke tiang baru, mereka boleh memijaknya dengan kedua belah kaki (pijak atas alas tapak konkrit tiang).
  • Pengejar boleh mengejar pemain yang beralih tiang dengan berlari dua belah kaki. Pemain yang alpa dan lambat sampai ke tiang yang ingin dituju dan tiang tersebut berjaya dicuit dan ditawan oleh pengejar, maka pemain itu pula akan jadi pengejar.
  • Proses permainan ini akan diteruskan sehingga masing-masing kepenatan dan bersetuju untuk berhenti dari bermain.



"Kadang permainan berhenti apabila orang atah rumoh maroh dek kerana bising bango bawoh rumoh, masing-masing pung senyak lari..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, August 6, 2010 0 orang royak doh

Iklim, satu band atau kugiran Terengganu yang berjaya dahulu. Ahli-ahlinya semuanya dari negeri Terengganu Darul Iman telah memberikan kita lagu-lagu untuk memperkenalkan negeri Terengganu. Antaranya ialah Blues Terengganu Kita yang telah mempopularkan destinasi dan slanga Terengganu. Di sini penulis ingin berkongsi satu lagu Iklim yang memperkenalkan permainan tradisi Terengganu yang kini mungkin telah kian luput dan tidak mungkin dimainkan oleh kanak-kanak zaman IT sekarang ini. Penulis cuba mendengar lagu ini dan cuba menulis kembali mengikut slanga Terengganu. Penulis ada menulis beberapa huruf dalam kurungan dan ia bermaksud untuk memberikan cara sebutan betul dalam slanga Terengganu. Jika ada kesalahan dalam penulisan lirik ini sila perbetulkan dan sila berkongsi maklumat dengan penulis. Lagu ini berjudul Tojee Towoak (To Jel To Wok). ( Ditulis semula pada 23 Januari 2011-Terima kasih saudara Mohalim Iklim atas lirik yang diberi kepada @Dungun dan Journey Terengganu).

Kata Saudara Mohalim:
"Satu permainan sesetengah tempat panggil..polis sentri...pemainannya berkumpulan antara 10 0rg atau lebih, kemudian di bahagi dua. Dua kumpulan diundi yang mana jadi polis dan yang mana pesalah....pesalah akan lari sembunyi, kemudian polis akan mencari dan bila ditangkap aka n di masuk (dimasukkan ke) penjara, polis akan menjaga penjara...sekira lalai menjaga datang pesalah akan mencuit tubuh member dikira dia boleh keluar dari penjara.....dan gitu la seterusnya. To (ayat lama dulu thn 70an), maksudnya Game, samalah macam To Duduk. To Kerah, To Wok,.....ok lirik nya:-"

Mari kite pakat(k) dengo cerite
Mainan(g) budok-budok hok peseng lame
Turun(g) menurun(g) pesake kite
Banyok pelik tapi suke…
Dok payoh paka pitih dok nok wak mende
Perabih harte ayoh bonde...


Sayang sungguh lening koho tadok
Pasa besor belake doh budok-budok...
Hok laki jadi pok, hok puan(g) jadi mok
Mase beruboh sedikit sebanyok...
Hok ning la kite nok kabo sikek
Mainan(g) budok-budok mase kechek...

(Ulang)
To jel to wok, To kerah, To duduk,
Petong kupi,
petong selipar, bola katok,
Main(g) cokok, keliling bunge…
Main(g) selambuk, siuk getoh, petik mate…

Woh ipe, cak kekok kaki ayam(ng),
Jetik sage(?) pelage gasing, galoh panjang,
Pisto(l) colok, bedilang peluru sabok….
Belage woh getoh, main(g) titian(g)…

Pakak smula mainan(g) kite hok tinggal lame..
Doksoh tebeng bazir pitih dan(g) buang mase..
Molek kite paka hudoh dok soh kire...
La la la la la la la la la la...To Jel To Wok…

*************************************************************************************

Terima kasih dan Kredit kepada Saudara Mohalim Iklim (Lagu dan Lirik oleh beliau) kerana sudi memberi memberi lirik yang betul dan memberi kebenaran kepada @Dungun dan Journey Terengganu untuk diletakkan di dalam blog-blog penulis.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, August 5, 2010 0 orang royak doh

To Nusuk atau To Nusup dikenali sebagai main sorok-sorok oleh masyarakat luar Terengganu. Ia merupakan permainan tradisonal yang popular bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dan boleh dikatakan dimainkan oleh semua kanak-kanak di Malaysia. Cara bermain permainan ini ialah :

  • Pengundian akan dijalankan seperti yang telah diterangkan sebelum ini, sila rujuk entri Undian bagi mendapatkan siapa yang akan menjadi pencari yang akan mencari pemain-pemain lain yang akan bersembunyi.
  • Setelah proses undian selesai, orang yang akan menjadi pencari akan mencari tiang atau pokok dan mengadapkan muka pada tiang tersebut. Biasanya tiang rumah Terengganu yang tinggi menjadi pilihan kanak-kanak. Kedua-tua tapak tangan diletakkan pada paras matanya dan mukanya dipekupkan pada belakang tapak tangan tersebut. pencari ini akan mula mengira antara 1-20 atau 1-100. Semasa mengira pemain-pemain lain akan mencari tempat yang terbaik untuk bersembunyi. Tempat yang menjadi pilihan ialah kawasan belakang gok ayang (reban ayam), bawah rumah tempat simpanan papan atau kayu, atau belakang pokok.
  • Setelah tamat sebelum membuka matanya, pencari ini akan menempikkan suara bertanya "Aci dok aci agi...?" (Dah ke belum?) Dari jauh tempat bersembunyi pemain lain yang bersembunyi akan menyahut menjawab "Dok aci agi" (Belum lagi!) Itu bermaksud pemain-pemain lain belum bersedia untuk bersembunyi, dan pencari akan mengira semula nombor atau menunggu sekejap dan bertanya sekali "Aci dok aci agi...?". Jika pemain-pemain lain yang telah berjaya bersembunyi mereka akan menjawab "Aci doh!" (Dah sedia!) Si pencari akan membuka mata dan mula mencari pemain-pemain yang tersembunyi.
  • Apabila proses mencari pemain yang tersembunyi dijalankan oleh pencari , semua pemain-pemain yang bersembunyi akan mendiamkan diri untuk mengelakkan dari ditangkap. Jika pencari berjaya menangkap pemain yang pertama bersembunyi, pemain ini mesti berada di kawasan berdekatan dengan tempat tiang pengiraan tadi. Pencari ini akan meneruskan pencarian sehingga kesemua pemain dijumpai dan ditangkap. Proses menangkap ini bukanlah dengan cara menangkap dengan memegang pemain tersebut, tetapi jika dapat dilihat dan dijumpai sudah memadai dan menyebut nama pemain itu dan mengatakan bahawa ia telah dijumpai atau ditangkap. (Jika semuanya berjaya ditangkap, pemain yang pertama tadi pula akan menjadi pencari dan proses pengiraan akan bermula semula seperti awal-awal permainan tadi).
  • Perlu diingatkan juga semasa pencari telah berjaya menangkap pemain pertama, pencari ini perlu berhati-hati juga kerana si pencari perlu berwaspada agar tiang tempat pegiraan tadi tidak ditawan oleh orang yang masih bersembunyi. Ini kerana sebagai contohnya walau pencari ini telah berjaya menangkap satu atau dua atau tiga orang sekalipun, pemain lain yang masih bersembunyi boleh keluar dari tempat persembunyian dan secara berhati-hati menawan tiang pengiraan tersebut kembali dengan mencuit atau menempuk tiang tersebut kemudian bertempik mengatakan bahawa tiang tersebut telah berjaya dicuit dan ditawan. Ini menyebabkan pencari ini terpaksa mengulang proses pengiraan semula dan semua pemain-pemain sama ada yang telah ditangkap, yang keluar menawan tiang, dan yang masih bersembunyi kembali keluar dari tempat persembunyian dan permainan bermula semula seperti awal permainan.
  • Permainan ini memerlukan kecekapan si pencari agar dia tidak asyik menjadi pencari dan perlu berhati-hati dalam mencari pemain tersembunyi dan menjaga tiangnya.


"Permainan ini akan ditamat sebelum senja, balik rumah, mandi, solat dan mengaji..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, July 31, 2010 0 orang royak doh

Aci

Aci. Aci adalah satu istilah yang disebut dalam permainan tradisional Terengganu malah ada juga digunakan masyarakat luar Terengganu. Cumanya istilah ini digabungkan dengan slanga Terengganu. Antara perkataan yang disebut oleh kanak-kanak Terengganu ketika memainkan satu permainan ialah "Aci dok agi?", "Dok aci agi...!", "aci doh...!", "dok aci maing gitu....". Penulis akan memberi contoh ketika mana istilah-istilah ini disebut :


Aci dok agi? Dok aci agi! Aci doh!
Sebagai dalam permainan ter nusuk (sorok-sorok) orang yang jaddi atau pencari akan memulakan permainan dengan mengira nombor sebagai contoh 1-20 sambil mememjamkan mata di satu sudut. Setelah tamat sebelum membuka matanya, pencari ini akan menempikkan suara bertanya "Aci dok aci agi...?" (Dah ke belum?) Dari jauh tempat bersembunyi pemain lain yang bersembunyi akan menyahut menjawab "Dok aci agi" (Belum lagi!) Itu bermaksud pemain-pemain lain belum bersedia untuk bersembunyi, dan pencari akan mengira semula nombor atau menunggu sekejap dan bertanya sekali "Aci dok aci agi...?". Jika pemain-pemain lain yang telah berjaya bersembunyi mereka akan menjawab "Aci doh!" (Dah sedia!) Si pencari akan membuka mata dan mula mencari pemain-pemain yang tersembunyi.


Doh aci maing gitu
Ayat ini kadang disebut "mane aci maing gitu", ia menggambarkan ketidakpuashatian pemain atau pasukan lain ke atas satu pemain lain atau satu pasukan lain atas tindakan bermain secara menipu atau mengelat. Sedikit perselisihan faham berlaku. Kebiasaannya selepas sikap protes yang dilakukan oleh satu pasukan ke atas pasukan yang lain, sikap toleransi pula akan muncul dan permainan dilakukan semula. Ia umpama sportmanship atau sikap semangat kesukanan dalam permainan moden bolasepak.

Inilah antara istilah-istilah atau ayat yang berkaitan dalam permainan tradisional Terengganu seperti yang telah diterangkan sebelum ini iaitu Jaddi, Llekpék, Mokpék dan Cokko!



"Aci...aci buka pintu... Nana balik pukul satu..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, July 30, 2010 0 orang royak doh

Main jet luncur daun palas atau menjadikan daun palas seperti jet yang meluncur terbang adalah permainan kanak-kanak di Terengganu pada waktu petang. Di negeri Terengganu begitu banyak pokok-pokok palas menjadi tumpuan kanak-kanak untuk mencabut daun ini untuk dijadikan jet luncur ke udara.

Jika kanak-kanak di bandar tertarik dengan kapal terbang kawalan jauh, kanak-kanak di kampung hanya memerlukan permainan yang tidak memerlukan sumber kewangan yang tinggi untuk bermain satu permainan. Cara bermain luncur daun palas atau jet daun palas ini ialah dengan cara di bahagian pangkal daun ini akan di koyak sedikit di posisi kiri dan kanan dan daun itu yang dikoyakkan itu dibengkokkan ke bawah sebagai tempat memegang atau peluncur. Bahagian urat tengah daun di bahagian pangkal dibiarkan terjulur supaya ia menjadi kepala jet. Bahagian hujung daun berbentuk tirus (segitiga) akan dibiarkan berada di bahagian bawah.

Pegang daun yang dikoyak kiri dan kanan dengan sebelah tangan dengan posisi paras kepala, ambil lanjakkan dan luncur ke atas. Jet yang terbang paling tinggi dan jatuh pada jarak paling jauh dari tempat yang dilancarkan dikira pemenang.

Selain menggunakan daun palas ada juga yang menggunakan daun mengkuang tetapi perlu membuang durinya dahulu, dan ada yang menggunakan daun lalang.


Daun yang dikoyakkan kiri dan kanan daun di sebelah pangkal.


Daun yang dikoyakkan ini akan menjadi peluncur.



"Daun Palas dibuat ketupat, daun mengkuang dibuat tikar, daun lalang?"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, July 29, 2010 0 orang royak doh

Permainan Cak kekok Kaki Ayam merupakan permainan yang begitu klasik dan tradisional. Ia dimainkan dalam beberapa kumpulan kanak-kanak sebagai contohnya dua kumpulan setiap kumpulan mempunyai ahli seramai tiga orang. Permainan ini dimainkan di kawasan tanah lapang.

Setiap ahli kumpulan akan berdiri dalam bentuk bulatan dan membelakangkan badan. Setiap seorang akan mengangkat satu kaki ke belakang dan menyilangkan kaki berpaut antara satu sama lain.

Kemudian setiap ahli akan meloncat melompat dengan sebelah kaki sambil bertepuk tangan dan menyanyikan serangkap lagu pantun:

Cak kekok kaki ayam,
Belaga sama puyuh,
Dok cakak jalang malang,
ambik lapu wak suluh...

Terjemahan :
Cak kekok kaki ayam,
Berlaga sama puyuh,
Tak larat jalan malam,
Ambil lampu buat suluh...

Sewaktu meloncat dan menyanyikan lagu ini, setiap ahli perlu mengimbangkan badan, jika mereka jatuh atau pautan silangan kaki tadi terjatuh akan dikira kalah. Kumpulan yang dapat mengekalkan posisi akan dikira pemenang.


"Ayam hanya main lari-lari jika dikejar sebelum dibuat lauk"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, July 28, 2010 0 orang royak doh

Lawan Kemuncup atau berlaga Kemuncup adalah satu permainan yang ringkas dan tidak memerlukan pemain yang ramai. Dua orang pemain sahaja sudah mencukupi. Caranya ialah setiap seorang harus mencabut kemuncup di padang dan masing-masing memegang kemuncup di bahagian akar.

Masing-masing akan memegang kemuncup dalam posisi kemuncup tersebut dalam keadaan terlentang (seperti memegang pistol atau remote tv). Kedua-dua hujung bunga kemuncup akan dilekatkan dan dipusing ke arah yang berlawanan oleh kedua-dua pemain tersebut sehingga kemuncup tersebut terikat dan melekat.

Kemudian kedua-dua pemain tersebut akan menarik kemuncup-kemuncup secara serentak untuk memastikan memutuskan kemuncup lawan . Bunga Kemuncup siapa yang putus akan dikira kalah.


Dua kemuncup sedia untuk berlawan.


Dua kemuncup berpaut antara satu sama lain.


Dua kemuncup saling bersaing untuk memutuskan batang dan bunga.


Kemuncup kanan diisytiharkan menang kerana masih segar dan tidak putus dan kemuncup kiri diisytiharkan kalah kerana telah putus bunga dan batangnya.



"Berhati-hati dengan kemuncup, kalau melekat pada seluar dengan kadar yang banyak, agak sukar membuangnya..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, July 25, 2010 1 orang royak doh

Anok kang. Pernahkah kita tengok adik-adik kita bermain satu keping kertas yang mempunyai pelbagai gambar dikoyak mengikut urat potongan yang telah dicetak? Satu keping kertas yang mempunyai gambar perempuan, baju-baju pelbagai warna, corak dan fesyen, kasut pelbagai jenis, beg tangan serta aksesori wanita yang lain. Kertas keras ini dibeli dengan harga 20 sen di kedai runcit. Itulah Anok kang. Mungkin orang di luar Terengganu memanggilnya main patung kertas?

Permainan ini bukanlah satu permainan yang terlalu tradisional untuk rakyat Terengganu tetapi ia boleh dikatakan permainan yang klasik pada zaman moden. Kanak-kanak perempuan biasanya bermain dengan adik-beradik perempuan yang lain atau kawan kanak-kanak perempuan yang lain. Biasanya mereka bermain di dalam rumah atau di serambi rumah (rumah-rumah lama Terengganu banyak mempunyai serambi yang luas dan lebar).

Permainan kanak-kanak perempuan ini adalah pengganti kepada kemahalan anak patung Barbie yang sungguh mahal pada satu ketika dahulu. Anak-anak kampung rasanya sudah cukup gembira dengan permainan anok kang ini. Boleh mengganti pelbagai baju, kasut dan aksesori yang lain. Perkataan Anok kang ini mungkin adalah dari perkataan anak-anakkan disebabkan ini adalah permainan kanak-kanak perempuan.



"Jadi sekarang ada lagikah Anok kang dijual di kedai runcit? Rasa macam tidak".

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, July 24, 2010 3 orang royak doh

Cokko!

Orang putih kata "take a brake". Orang Terengganu kata "cokko". Perkataan ini disebut apabila seseorang pemain dalam sesuatu permainan tradisional contohnya te duduk, te boye atau cuik tiang. Cokko disebut sebagai tanda orang yang menyebutnya meminta kebenaran daripada orang yang jjadi untuk berehat sekejap atau melakukan sesuatu perkara yang lain ( atau mengelat ).

Bagi penutur slanga Terengganu, perkataan Cokko disebut semasa meminta kebenaran untuk BERHENTI SEKETIKA atau meminta untuk TUNGGU SEKEJAP sewaktu kumpulan kanak-kanak memainkan sesuatu permainan tradisi Terengganu.

Penutur Bahasa Jepun atau Nihonggo menyebut perkataan Chotto - yang membawa maksud SEKEJAP. Chotto Matte - yang membawa maksud TUNGGU SEKEJAP.

Antara Cokko dan Chotto membawa maksud yang agak sama cuma digunakan pada waktu yang berbeza. Perbezaannya ialah seperti yang ditulis di atas ialah Cokko disebut oleh penuturnya semasa permainan tradisi Terengganu dimainkan manakala Chotto disebut oleh penuturnya pada perbualan harian biasa.


Lumba lari.

"Ong yo mak, gék sék... go...!". Meluncur laju berlari. Lumba lari beramai-ramai. Tiada lorong larian atau lane. Tiada tali yang apabila dilanggar terus putus sebagai tanda pemenang. Cuma yang ada penanda garisan penamat. Takpun jadikan tiang atau pokok sebagai tanda penamat lumba lari. Kaki ayam aje. Tak ada kasut sprinter yang berpaku. Pecut laju berlari. Siapa sampai dahulu dikira pemenang.

Nostalgia. Main lumba lari di padang yang berumput sedikit, berbatu dan berpasir. Salah seorang kanak-kanak akan berlagak menjadi pengadil dan menjerit "Ong yo mak, gék sék...go...!".

Orang putih kata "On your mark, get set, go...!"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, July 23, 2010 0 orang royak doh

Terengganu sudah semestinya mempunyai banyak permainan tradisi yang tersendiri. Ada juga permainan tradisi kanak-kanak Terengganu yang mempunyai cara dan peraturan yang sama dengan negeri-negeri lain tetapi menggunakan nama panggilan permainan yang berbeza. Antaranya ialah :
  • To nnusuk = Sorok-sorok
  • Gelak ceroh = Galah Panjang
  • Maing ook/Petik Mata = Konda-kondi
  • To kejjor = Police Sentri

Permainan lain yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak di Terengganu ialah :
  • To duduk (terduduk) -boleh dimainkan dalam 5 hingga 10 orang kanak-kanak.
  • Permulaan permainannya ialah setiap kanak-kanak akan diundi secara One to zuh (Ooo som), atau Lam tali lam, lai li, tam plum yang kalah akan jaddi pengejar.
  • Cara bermainnya ialah seorang kanak-kanak yang jjadi pengejar iaitu orang yang perlu mengejar sambil menyentuh atau ccuik ( cuit ) kanak-kanak yang lain yang sedang berlari supaya kanak-kanak itu pula yang akan jaddi pengejar.
  • Jaddi ini akan mengejar, dan orang lain selain daripada jaddi akan mengelak sambil berlari. Cara mudah untuk selamat dari disentuh oleh jaddi, dia perlu duduk bertinggung dua kaki. Selepas duduk, jaddi ini akan menyentuhnya supaya kanak-kanak yang duduk ini tidak dapat bangun dan berlari. Sebenarnya dia telah ditangkap oleh jaddi ini secara tidak langsung.
  • Baki kanak-kanak yang tidak duduk dan masih bebas berlari akan cuba mengelak sambil boleh menyelamatkan kawannya yang duduk dengan ccuik atau menyentuh kawan tersebut. Oleh itu, yang duduk ini akan kembali bebas bangun dan berlari.
  • Jika semua kanak-kanak terpaksa duduk (terduduk - seperti nama permainan ini te duduk), undian samaada One to zuh atau Lam tali lam, lai li, tam plum akan diadakan semula.
  1. Jika jaddi ini asyik dia sahaja yang akan mengejar orang sampai keletihan, mungkin permainan tamat begitu sahaja selepas jaddi menjadi llepek atau asyik terkena menjadi pengejar.
Lalu satu lagu yang menyakitkan hati si jaddi...
dinyanyikan secara ramai-ramai oleh kanak-kanak yang lain...

Pék li watako lang...
Llépék sekali...
berbulang-bulang...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, July 22, 2010 1 orang royak doh

Setiap permainan sama ada permainan tradisional atau permainan moden pasti ada cara undian atau pemilihan yang dijalankan. Ia dilakukan sama ada untuk memilih ketua kumpulan, ahli kumpulan atau mencari siapa yang akan jaddi iaitu orang yang akan menjadi pencari, pengejar atau penangkap. Antara cara undian yang paling tersohor di Terengganu adalah :

One To Zuh!
Undian jika di tempat ia dipanggil Ooo...Som.... Caranya sama tetapi kanak-kanak Terengganu menyanyikan dengan menyebut One To Zuh! (atau One Two Zuh!). Caranya ada dua calon pemain akan menggengam sebelah tangan seperti tumbukan dan menggangkatnya pada aras telinga, kemudian menyebut One Two Zuh dan secara serentak membuka genggam tumbukan tangan pada paras perut dan membentuk simbol seperti gunting, air, dan batu. Simbol yang dibuat oleh kedua -dua calon pemain akan membandingkannya untuk mengetahui siapa yang menang. Contohnya antara air dan batu, air yang menang kerana batu akan tenggelam. Pemain yang menang akan memulakan permainan dahulu atau menjadi ketua kumpulan.


Lam tali lam lai li tam plum
Caranya ialah lima hingga lapan calon pemain akan berhadapan antara satu sama lain secara bulatan dan mengibaskan sebelah tangan pada aras perut dan secara serentak. Mereka akan menyanyikan lagu "lam tali lam lai li tam plum..." secara beramai-ramai. Secara serentak juga calon-calon pemain ini akan berhenti dalam keadaan tapak tangan di atas (terlentang) atau keadaan belakang tangan di atas (terlangkup).

Mana-mana pemain yang berada kedudukan tangan yang terlangkup akan dikira menang dan keluar dari proses undian. Mereka dikira selamat. Mana-mana pemain yang tangannya berada dalam keadaan terlentang akan terus menjalankan proses undian sehingga tinggal hanya dua orang calon pemain sahaja. Orang terakhir yang kalah dalam proses undian ini akan menjadi pengejar, atau pencari atau penangkap.


Ikut aku jadi
Caranya ialah lima hingga lapan calon pemain akan berhadapan antara satu sama lain secara bulatan dan mengibaskan sebelah tangan pada aras perut dan secara serentak. Semasa proses mengibas tangan ini dijalankan seorang ketua (biasanya kanak-kanak yang tua sedikit umurnya berbanding kanak-kanak yang lain : umpama abang atau kakak) akan menyanyikan lagu ini., "ikut aku jaddi...".

Mereka semua akan mengibas tangan dan berhenti secara serentak dengan keadaan tapak tangan di atas (terlentang) atau keadaan belakang tangan di atas (terlangkup). Mana-mana pemain yang mengikut kedudukan tangan yang sama dengan ketua tadi akan meneruskan proses ini, dan mana-mana pemain yang berbeza dengan kedudukan tangannya dengan ketua tadi dikira selamat dan keluar dari proses undian. Proses ini akan diteruskan sehingga hanya tinggal antara ketua dan seorang calon pemain sahaja. Pemain yang terakhir inilah yang kedudukan tangannya yang sama dengan ketua, maka orang yang terakhir inilah yang akan menjadi pengejar atau pencari atau penangkap.

Cabut lidi
Seorang pemain akan mencari satu lidi kelapa yang panjang dan dipotong pendek tidak sama ukurannya. Setiap potongan akan mengikut jumlah pemain contohnya 10 orang pemain bermakna 10 lidi pendek siap dipotong akan disediakan.

Seorang pemain ini akan menggenggam lidi yang dipotong dengan secara menegak dan kelihatan sama panjang. Setiap pemain akan mencabut lidi tersebut sehingga lidi yang terakhir dimiliki secara automatik oleh pemain yang menggenggamnya tadi. Mereka semua akan mengukur dan mebandingkan saiz panjang lidi mereka. Lidi siapa yang paling pendek akan dikira menjadi pengejar atau pencari atau penangkap.


Lambung duit
Lambung duit syiling 20 sen atau 5o sen. Cara ini agak konvensional dan serata dunia menggunakannya. Di Malaysia waktu dahulu menggunakan undian ini antara memilih Parlimen atau Nombor (duit lama sebelum ditukar baru).

Undian ini dilakukan dengan dua belah pasukan akan memilih Parlimen atau Nombor dan salah seorang dari mereka melambung duit ke atas dan jatuhan ke tanah akan menunjukkan permukaan duit syiling itu sama ada gambar Parlimen atau gambar Nombor. Pasukan yang memilih gambar yang tepat akan memulakan permainan dahulu atau memilih kawasan gelanggang sendiri. Cara undian ini dilakukan dalam permainan tradisional seperti gelak ceroh (gelap cerah/galah panjang).


Tak tak ge
Undian cara ini adalah dengan menyanyikan satu rangkap lagu yang digunakan untuk memilih rakan sepasukan jika bermain permainan tradisi Terengganu (atau permainan tradisi di luar Terengganu) seperti pelékong selipa, bola katök. Caranya ialah dua ketua pasukan yang sedia dilantik dan yang peberek (favourite) yang selalunya memang diakui handal akan menyanyikan lagu ini:

Tak tak ge
Teletak eko nage
Jalan-g kire-kire
Tige puluh tige

Contohnya : Ketua A akan menyanyikan lagu ini sambil menunjukkan jarinya ke arah bakal ahli pasukan seorang demi seorang. Sampai di lirik yang akhir iaitu tige puluh tige, orang yang terakhir di mana liriknya terhenti, dia akan dipilih untuk memasuki pasukan Ketua A. Kemudian Ketua B akan mengambil giliran untuk menyanyikan lagu ini dan memilih ahli pasukannya. Proses ini akan berakhir sehingga semua kawan-kawan telah habis terpilih. Biasanya kawan-kawan yang ingin bermain harus dalam angka genap supaya semasa sesi pemilihan nanti adil dan saksama di setiap kumpulan.



"Mari mengundi, Pergi mengundi, Jangan Lupa Kewajipan, Pada Negara..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, July 21, 2010 0 orang royak doh

Permainan tradisi kanak-kanak Terengganu dengan lagu pantun kanak-kanak Terengganu ibarat isi dengan kuku. Ada antara permainan tradisi Terengganu yang mempunyai lagu pantun. Ia merupakan satu peraturan dan standard operation procedure . Ia juga berkait dengan undian sebelum melakukan aktiviti permainan ini. Umpamanya undian untuk mencari ahli kumpulan atau undian untuk mendapatkan siapa yang akan jaddi (contohnya untuk permainan to nusuk atau to nusup/sorok-sorok, orang yang jaddi ialah orang yang kena mencari pemain-pemain yang menyorok) atau orang yang pertama akan memainkan permainan tersebut. Ada juga lagu yang dinyanyikan setelah permainan tradisi ini tamat.

Antara lagu yang perlu dikenang, perlu dikekalkan dan menjadi warisan ialah :

  • Dinyanyikan untuk undian pemilihan ahli kumpulan/mencari orang yang jaddi)
Tak tak ge
Teletak eko nage
Jalan-g kire-kire
Tige puluh tige

  • Dinyanyikan untuk undian mencari orang yang jaddi.
Lam tali lam,
lai li,
tam plum...

  • Dinyanyikan untuk undian mencari orang yang jaddi.
Ikut aku jadi...

  • Dinyanyikan untuk undian mencari orang yang jaddi, undian ini seperti Ooo...som.
One to zuh

  • Permainan Wa Wa pé pék (seperti permainan Jala Itek)
Wa wa pé pék,
wa pé pék ujong galoh,
masuk keluo masuk,
hulubalang buke pitu,
cak la lok, la lok,
cak la lok, la lok...

  • Ketika permainan telah tamat, merupakan lagu gelar
Pék li watako lang...
Llépék sekali...
berbulang-bulang...

  • Permainan Cak Kekok Kaki Ayam
Cak kekok kaki ayam...
belaga sama puyuh...
dok cakak jalan malang....(malam)
ambik lapu wak suluh

Inilah antara lagu-lagu pantun kanak-kanak Terengganu yang dinyanyikan sewaktu aktiviti-aktiviti permainan tradisi kanak-kanak Terengganu dimainkan. Bahasa yang unik dan menarik, penuh dengan slanga yang pelik dan jarang didengar, dinyanyikan umpama mengalunkan pantun, dan setiap lagu ini mempunyai melodi yang tersendiri dan permainan yang tersendiri.



"Kalau selalu jadi llépék, lagu gelar atau sindiran Pék li watako lang...Llépék sekali...berbulang-bulang...akan dinyanyikan..-satu tindakan tidak baik."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, July 20, 2010 0 orang royak doh

Terengganu Darul Iman mempunyai pelbagai budaya, kraftangan, pakaian, sajian juadah, lagu-lagu rakyat tradisional, tarian dan bahasa. Semua orang sudah faham dan mengenali negeri berpanji hitam dan putih mempunyai bahasa yang tersendiri dan unik dan kadang-kadang agak sukar untuk difahami oleh masyarakat negeri lain. Kali ini kembara bersama journeyterengganu mengajak anda untuk menyelami dan mengenali juga negeri Terengganu dari sisi lain iaitu Permainan Tradisi Kanak-Kanak Terengganu.

Negeri Terengganu mempunyai banyak permainan tradisi yang pelbagai cara, mempunyai pelbagai lagu pantun yang dinyanyikan sewaktu sebelum permainan dijalankan atau sewaktu permainan dimainkan, mempunyai pelbagai istilah nama yang berbeza dengan masyarakat negeri lain walau kadang cara bermain dan peraturannya agak sama, serta peraturannya yang unik.

Kebanyakkan permainan tradisi ini diwarisi samaada dari orang tua-tua kepada kanak-kanak (anak-anak sendiri) dari abang atau kakak kepada adik-adik kecil dan juga dari kalangan kanak-kanak yang hampir dewasa mewariskannya kepada kanak-kanak yang lebih muda daripadanya. Kebanyakkan permainan ini dimainkan pada waktu lapang terutamanya pada waktu petang di sekitar halaman rumah, tanah lapang berhampiran dengan rumah, ada permainan yang dimainkan di bawah rumah (rumah-rumah lama Terengganu mempunyai tiang dan lantai yang tinggi dari tanah) dan ada permainan hanya memerlukan bermain di kawasan serambi rumah atau di dalam rumah. Boleh dikatakan ibu bapa masih boleh memantau anak-anak mereka bermain terutamanya kanak-kanak perempuan tidaklah dibiarkan jauh bermain dari kawasan rumah mereka.

Ada antara permainan tradisi Terengganu ini tidak memerlukan pengadil yang khusus umpama permainan bola sepak. Ini kerana yang menjadi pengadil adalah di kalangan pemain itu sendiri yang sedia memahami permainan tersebut malah ada pemain yang lebih tua menjadi pengadil atau sumber rujukan. Jika kadang berlaku perselisihan tentang peraturan permainan, orang-orang tua akan dijadikan sumber untuk meleraikan permasalahan peraturan permainan.

Setiap permainan tradisi ini mempunyai pelbagai peraturan dan cara bermain. Ada yang memerlukan kudrat dan tenaga. Ia memberikan satu kelebihan kepada kanak-kanak kerana ia umpama satu senaman kerana zaman-kanak-kanak adalah zaman mereka aktif dengan kegiatan lasak dan ini menjadikan mereka cergas dan sihat. Ia merupakan aktiviti yang sihat secara tidak langsungnya.

Ada yang memerlukan perkiraan matematik yang ringkas seperti permainan congkak (permainan umum yang dimainkan oleh semua masyarakat Melayu di Malaysia). Ada juga permainan yang tidak memerlukan kudrat yang kuat umpama main batu selambut dan congkak. Ada juga permainan yang memerlukan anda menciptanya seperti permainan wau, main lastik, membentuk piramaid selipar atau piramid tin-tin susu dan juga permainan gasing. Permainan yang memerlukan ketua kumpulan merupakan permainan yang baik untuk kanak-kanak. Ia melatih kanak-kanak menjadi pemimpin dalam satu kumpulan secara tidak langsung juga melatih pemain-pemain lain dalam kumpulannya mematuhi arahan ketua kumpulan umpama pemain-pemain bola sepak mematuhi arahan kapten pasukan bola sepak.

Permainan tradisi ini sebenarnya juga ada satu bentuk hiburan lantaran pada waktu itu tiada teknologi yang canggih seperti permainan maya sekarang ini iaitu playstation, permainan berkomputer. Dunia kanak-kanak pada waktu itu adalah berlegar kepada suasana tanah lapang, halaman rumah, serambi dan gelak tawa bersama rakan-rakan kanak-kanak yang lain.

Sebagai permulaan bagi entri-entri yang akan datang, penulis ingin berkongsi beberapa istilah yang digunakan oleh kanak-kanak Terengganu dalam permainan tradisi ini. Antaranya:

Jaddi
Bermaksud orang akan menjadi pencari/penangkap jika mereka bermain to nusuk/to nusup (sorok-sorok) atau pengejar atau penangkap jika mereka bermain to duduk, dan to kejor (Polis Sentri).

Llekpék
Bermaksud orang yang selalu jaddi, atau orang yang selalu menjadi pencari, pengejar atau penangkap dalam satu-satu permainan.

Mokpék
Bermaksud orang yang menjadi orang suruhan. Orang ini adalah juga pemain tetapi asyik disuruh melakukan sesuatu terutamanya dalam permain bola katok (seperti permainan besbol) orang ini akan disuruh mengutip bola. Kadang-kadang juga mokpék bermaksud sama erti dengan perkataan llekpék.



"Bersedia atau tidak? Kita main aje permainan ini...."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, July 19, 2010 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir