Showing posts with label Tempat Di Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Tempat Di Terengganu. Show all posts

Buah apa - gambar di Bawah? Buahnya ini diambil melalui lensa tumpu di Pantai Peranginan Teluk Lipat, Dungun. Buahnya umpama bentuk buah durian tetapi saiznya kecil sahaja.

Rasanya orang biasanya dengan pantai tahu buah ini. Buah pokok Rhu. Tak boleh dimakan. Buahnya kering gugur banyak ke tanah. Pokok-pokok Rhu ini banyak tumbuh di tepi pantai, tapi ada juga ditanam sebagai tanaman landskap. 

Tahukah anda di Terengganu banyak nama tempat dinamakan sempena nama pokok Rhu. Di daerah Marang begitu banyak nama tempat/kampung menggunakan nama Rhu. Antaranya yang terkenal (dan jika kita melalui jalan Kuantan ke Kuala Terengganu sebelah pantai) ialah Rhu Muda dan Rhu Rendang, manakala aku tak pasti samaada Rusila termasuk ke atau tidak kerana ejaannya ialah RUSILA bukannya RHU SILA. Mungkin termasuk cuma ejaannya berbeza dan dua patah perkataan dijadikan sepatah perkataan. Seterusnya ialah Rhu Renggeh. Jika anda mencari di internet banyak lagi nama tempat di Terengganu bersempena nama pokok Rhu ini antaranya Ru Tebal, Ru Lima, Ru Dua-semua di Marang, Ru Tujuh -di Kuala Terengganu, Rhu Sepuluh dan Rhu Tapai-di Setiu), dan di Besut dan Kemaman aku tidak tahu. Kalu sape tahu kabo!


Kalau di Dungun, nama tempat bersempena dengan nama pokok rhu ini ialah Rhu Batil yang terletak berdekataan dengan Kuala Abang.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, May 29, 2012 0 orang royak doh

Rumah Tele binaan klasik Melayu Terengganu sedang dibina di Dungun semasa aku meronda-ronda sekitar laluan Kampung Nibong Bawah menuju ke Kampung Tanjong Pagar pada minggu akhir bulan April yang lalu. 


Sila ke sini untuk aku ceritakan perihal Rumah Tele ini selanjutnya : Rumah Tele Nibong Bawah.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, May 24, 2012 0 orang royak doh

Sebelum pulang ke kampung baru-baru ini, aku telah berkira-kira untuk membawa keluarga ke tempat ini. Aku rasa sejak dari zaman aku sekolah lagi temoat ini pernah wujud, tapi aku tidak pernah singgah. Hanya memandang sekilas lalu sama ada dalam perjalanan ke Kuala Terengganu atau semasa pulang semula ke Dungun. Peluang ke kampung baru-baru ini, aku mengambil peluang ke sini : Pusat Penerangan Penyu atau Turtle Information Center yang terletak di Rantau Abang, Dungun, Terengganu.

Papan tanda di bangunan masuk depan. Kena ada, untuk pastikan anda berada di tempat yang betul. Jangan salah masuk bangunan.


 Sebelum masuk bagi salam dahulu. Kaunter daftar pelawat-ada kakitangan yang bertugas di sini, kalau anda pandai berloghat Terengganu, sila-sila kan kerana kakitangan di sini orang tempatan.


 Ruang pameran penuh dengan maklumat. Bergambar, bermaklumat untuk perkongsian.


 Bukan penyu sebenar. Adegan penyu mendarat di pantai dan bertelur. 


 Ruang pamer yang agar besar. 


 Bukan penyu sebenar 2. 


 Aku rasa ini bukan penyu yang berasal dari Bulatan Ladang Kuala Terengganu.


Musuh-musuh penyu. Bukan The Red Warrior, The Red Giant, Sang Rusa atau Lion Twelve mahupun 
T-team sendiri.


 Teka apa di dalam? Ini adalah telur-telur penyu yang dialihkan dari pantai yang diletakkan di dalam kotak gabus khas. Telur-telur ditanam di dalam pasir yang diletakkan di dalam kotak-kotak ini. Menunggu masa untuk menetas dan kemudian akan dilepaskan ke laut apabila tiba masa nanti. Aku kecewa ingat boleh tengok penyu betul, tapi dapat tengok kotak telur penyu sahaja.


Belilah untuk kepuasan anda sendiri. Cendera hati dan mata berlambangkan penyu.


Penyu dan kura-kura di Malaysia.


Komen :
Orang tidak ramai ke tempat ini. Mungkin orang tempatan tidak terlalu mengendahkan kewujudan pusat ini kerana mungkin selalu atau bila-bila masa boleh ke sini. Aku rasa pihak berkenaan boleh mewujudkan sesuatu majlis atau event supaya seboleh-bolehnya pusat ini menjadi tumpuan orang ramai dan terutama untuk kanak-kanak ke sini. Pihak sekolah sekitar negeri Terengganu mahupun di Dungun sendiri bolehlah membuat lawatan sehari ke sini. Kanak-kanak tadika tak kiralah sama ada milik swasta ataupun kerajaan boleh membuat lawatan ke sini bagi memberi manfaat, ilmu dan maklumat kepada mereka. Aku rasa pihak pusat ini juga boleh mengagak bila telur-telur penyu ini akan menetas dan mewar-warkan kepada masyarakat umum untu membuat upacara majlis pelepasan anak-anak penyu. Boleh bawa anak-anak kecil bagi mendedahkan mereka supaya mengenali dan menyayangi penyu. Aku pun teringin sama untuk menghadiri majlis itu kalau ada.

Komen aku :
Sedikit kecewa aku tak dapat tengok penyu hari itu, dapat tengok tuntung-tuntung sahaja dalam kolam di pusat tersebut.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, May 23, 2012 0 orang royak doh

Di Sura Hujung, Dungun mempunyai dua taman riadah. Taman yang lama terletak di berdekatan dengan UiTM Dungun menghadap pantai. Taman ini menjadi kunjungan aku sejak dahulu. Peluang pulang ke kampung yang amat jarang diperolehi membuatkan aku tidak tahu rupanya ada taman baharu yang terletak di sebelah jalan belakang UiTM Dungun. Ia dinamakan dengan nama Taman Tasik Tanjung Sura Dungun. Dibina berdekatan dengan alur yang mengalir ke Tasik berhampian UiTM dan terus ke laut. Taman ini mempunyai trek untuk berjogging, kawasan permainan kanak-kanak, dan beberapa kurungan burung-burung untuk menjadi tatapan pelawat. Anda boleh berkunjung ke sini pada bila-bila masa. Tiada tiket kerana ia berkonsep taman terbuka. Ada tandas awam yang bersih, kedai makan dan runcit. Sesuai untuk seisi keluarga. Taman ini bersih dan elok untuk berehat-rehat sambil melihat burung, bersenam dan menghayati flora dan fauna. Alur air yang mengalir tenang mengusik jiwa. Aduh! Datanglah untuk menjiwainya. 


Tumbuhan jenis Mengkuang laut agakkan aku. 


 Trek berjalan dan berjogging.


 Hiasan lampu trek bercirikan kayu tradisional.


Kurungan burung.


 Antara spesis burung yang ada. Kecil kurungan, walau tidak sebesar Taman Burung Kuala Lumpur, ia cukup menghiburkan pelawat setempat.


Kurungan burung yang lain.


Burung-burung yang berwarna-warni.

Burung putih bersayap koko.


Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, May 29, 2011 0 orang royak doh

Satu buah dua nama,
Di Pulau Kerengga jualan bergerai,
Disebut tembikai geleng kepala,
Timun Cina rupanya senyum terbuai...



Kalau anda melalui jalan Kuantan-Kuala Terengganu di dalam daerah Marang pasti anda juga akan tersua gerai-gerai jualan tembikai atau timun cina dalam loghat tempatan Terengganu. Buah-buahan ini banyak disusun cantik di dalam gerai di kiri dan kanan jalan tersebut. Kawasan yang dimaksudkan ialah di kawasan Pulau Kerengga berhampiran Penjara Terbuka Marang. Kawasan tanah di sebelah pantai di tepi jalan banyak dijadikan kawasan penanaman tembikai yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Anda boleh singgah untuk membelinya mungkin sebagai penyejuk tekak jika anda singgah di mana-mana pantai sebagai tempat berkelah. Jika tidak jadikan ia sebagai sajian anda di rumah. Tidak lupa juga air nira juga ada dijual di sini.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, August 4, 2010 0 orang royak doh

Terasa dahaga ingin menyinggah,
Air Nira penyejuk diri,
Pasir Puteh tidak disanggah,
Tempat jualan juadah tradisi...



Di kawasan tepi jalan sekitar Kampung Pasir Puteh dalam daerah Marang Terengganu terdapat gerai-gerai tepi jalan menjual Air Nira, Dadih, Jagung, Kacang Rebus dan Roti Paung (Roti Pound). Sememangnya perjalanan anda dari daerah Kemaman ke Kuala Terengganu anda akan menemui pelbagai gerai di tepi jalan yang menjual pelbagai produk sajian tradisional Terengganu.

Sebelum ini penulis ada memberi maklumat tentang penjualan otak-otak dan sata di sekitar kampung Geliga dan Lemang di Kijal dalam daerah Kemaman, di daerah Marang pula amat terkenal dengan penjualan Air Nira terutamanya di kawasan Kampung Pasir Puteh. Perkampungan Pasir Puteh ini walau di tepi pantai ia tidak sinonim dengan pembuatan dan penjualan keropok, tetapi dengan pohon-pohon kelapa yang banyak, penduduk tempatan di sini menjual Air Nira dan menjual Roti Paung. Selain itu mereka juga ada merebus kacang dan kagung untuk dijual kepada pembeli yang melalui jalan utama Kuantan-Kuala Terengganu ini.

Air nira diambil daripada mayang kelapa yang diikat, dipotong dan ditadah dengan botol untuk mengambil airnya. Air Nira sedap diminum dalam keadaan sejuk dan elok disimpan di dalam peti ais. Jika anda membeli di kawasan gerai Kampung Pasir Puteh, air nira ini dijual dalam botol dan dijual dalam keadaan sejuk. Ia disimpan di dalam kotak gabus berais. Hari puasa makin dekat dan minuman Air Nira ini biasanya menjadi pilihan untuk juadah minuman berbuka puasa nanti.

Amaran! Jangan dibiarkan lama terdedah diluar kerana Air Nira ini akan masam dan ia boleh menyebabkan keracunan perut serta memabukkan (pening-pening kepala) jika diminum. Air Nira jika disimpan dalam peti ais masih boleh diminum dan tahan sekurang-kurang 2 atau 3 hari.



Sekitar gerai jualan di Kampung Pasir Puteh.


Gerai beratap zink berpondok kayu di tepi jalan.


Roti Paung. Masyarakat luar Terenggau mengenalinya sebagai Roti Pound. Dek kerana slanga Terengganu yang terkenal dengan dialek NG, maka pound disebut paung maka jadilah Roti Paung.


Air Nira, dadih, kacang rebus, jagung semua ada di jual di sini. Harganya? Memang berbaloi-baloi juga.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, August 3, 2010 2 orang royak doh

Walau bukan di hari raya,
Ingin makan ingin mencari,
Juadah lemang terasa selera,
Mari ke Kijal untuk membeli...



Pusat Jualan Lemang di Kampung Kijal Kemaman telah lama beroperasi. Dahulu ia beroperasi di jalan lama Kijal-Chukai (jalan sebelah pantai) di Lembah Bukit Kijal yang terkenal dengan ketinggian dan kecuraman jalan bukit tersebut. Dahulu sederet gerai beratap zink dan berdinding kayu dijadikan kedai sederet sebagai tempat jualan dan kawasan proses membuat lemang. Di kiri kanan jalan ini memang begitu banyak kenderaan berhenti untuk mendapatkan lemang-lemang baru masak ini.

Dalam tahun 2001 jalan baru Kijal-Chukai telah siap dibuka di kawasan sebelah Bukit Anak Dara. Kawasan jualan lemang di jalan sebelah pantai lembah kaki Bukit Kijal pada waktu itu agak muram sedikit. Kenderaan makin berkurangan melalui jalan ini untuk ke Bandar Chukai, Kuantan dan ke Kuala Lumpur. Banyak kenderaan telah banyak melalui jalan baru. Oleh itu pusat jualan ini juga berpindah ke jalan baru dengan binaan bentuk yang sama dibina di sana. Sederet gerai beratap zink dan berdinding kayu menjadi tempat teduhan untuk jualan dan tempat proses memasak. Nampak ringkas tetapi cukup untuk menjadikan tempat ini menjadi popular semula. Kenderaan yang lalu-lalang dari arah Kuala Terengganu-Kuantan tidak putus-putus berhenti di sini untuk membeli juadah tradisional ini. Lemang Kijal juga menjadi tumpuan akhbar arus perdana.


Asap-asap dari proses pembakaran lemang. Macam suasana di kampung.


Binaan ringkas tempat jualan-atao zin dan dinding kayu.


Parit bertiti kayu. Kena melangkah kawasan ini dari kawasan tepi jalan.


Deretan kedai kayu.


Lagi gambar kedai sederet.
Lemang sedia untuk dijual.


Silalah singgah jika anda melalui jalan Chukai-Kijal atau (jalan Kuantan-Kuala Terengganu). Harganya pun berbaloi-baloi.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, August 2, 2010 0 orang royak doh

Nak mencari sajian tradisi,
Ke kampung Geliga marilah kita,
Makanan enak tidak terperi,
Itulah Otak-Otak itulah Sata...



Terengganu sebuah negeri yang terkenal dengan pelbagai produk dan sajian tradisional. Di beberapa daerah di negeri Terengganu terdapat beberapa pusat jualan sajian tradisional. Di daerah Kemaman sendiri mempunyai beberapa pusat jualan sajian tradisional ini antaranya ialah di Kampung Geliga dan sekitar jalan ke Kuala Kemaman dan Pantai Teluk Mak Nik.

Di sini adalah kawasan gerai-rumah tepi jalan yang menjual sata dan otak-otak. Rumah yang di tepi jalan ada yang diubah sedikit kawasan halaman depan dengan menjadikan gerai atau tempat jualan-tempat masak sajian tradisional ini. Ada yang sedia mengambil tempahan. Di samping jualan sata dan otak-otak sajian utama keropok lekor dan keropok keping juga ada di jual.

Antara otak-otak yang popular dijuak di sekitar Kemaman malah menjadi sebutan di Terengganu sendiri ialah gerai Otak-Otak Che Wan yang dibuka pada jam 2.00 petang. Ia terletak di jalan ke arah Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman. Otak-otak Che Wan sedap dan pernah masuk cerita di dalam akhbar arus perdana.


Antara gerai-rumah jualan sata. Ada tempat bakar sata dan anda akan berpeluang melihat kaum wanita menyediakan sajian ini. Orang lelaki pula akan mengurus proses pembakaran sata di atas bara arang-api.


Enak bukan. Harga di ini pun murah. Berbaloi-baloi.


Antara papan iklan buatan sendiri.


Otak-otak yang sedia untuk dijual.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, August 1, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan pengalaman penulis dengan sedikit tambahan maklumat...





Apa itu Silinder Liquefied Petroleum Gas? Tak tahu. Kita selalu memanggilnya sebagai tong gas yang kebanyakkannya ada di dapur tuan-tuan dan puan-puan untuk memasak. Gambar di atas adalah kilang yang membuat silinder tong gas memasak ini.

Silinder-silinder yang disiapkan ini akan dihantar di Kerteh, Kemaman, Terengganu menggunakan lori untuk proses mengisi gas. Kertih adalah tempat pendaratan gas dari pelantar gas di luar pantai Terengganu yang dikendalikan oleh pihak Petronas. Setelah proses pengisian gas ke dalam setiap silinder ini siap, ia akan mula dihantar ke pihak penjual di seluruh negara.

"Inilah kilang yang membuat tong gas memasak : yang tuan-tuan dan puan-puan paka géh masok cak petronah - pakai gas memasak berjenama petronas. Kilang membuat tong gas 16.5 kg merupakan antara industri yang terletak di Kawasan Industri Pulau Serai. Dahulu di depan kilang ini ialah Kilang NST dan Berita Harian, tetapi pada akhir tahun 90an kilang akhbar tersebut berpindah ke Ajil, Hulu Terengganu, dan dahulu juga ada kilang kelapa sawit di tebing Sungai Dungun sebelah Pulau Serai tetapi telah lama ditutup dan bangunannya tinggal usang.

Sekarang industri berat di sekitar Pulau Serai ini hanyalah kilang yang tertera gambarnya di atas, satu kilang makanan dan beberapa deretan bangunan kecil untuk industri kecil. Gambar yang kedua yang tertera di atas terdapat satu tong gas di hadapan pintu pagar - itu adalah peti surat yang dibuat oleh kilang ini, unik!"

Jadi kalau tuan-tuan dan puan-puan memandang tong gas ini di dapur walau di dapur kering yang moden atau dapur basah ala kampung, ingatlah tong gas tuan-tuan dan puan-puan asalnya dari Dungun."



"GAS PETRONAS, GUNAKANLAH BUATAN MALAYSIA"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, July 17, 2010 2 orang royak doh

Suatu catatan kenangan...


Taman Rekreasi Jalan Nibong. Dulu berpagar sekarang tidak lagi, hanya tembok konkrit hampir separas lutut yang mengelilingi taman ini. Hanya melangkah kaki untuk masuk ke taman ini. Anda nampak tempok biru di dalam gambar di atas? Itu adalah tempat untuk bermain papan selaju atau basikal BMX. Dahulu di situ terbinanya tempat rehat berlantai konkrit yang tinggi seumpama pentas tetapi tiada bumbung. Di bawah lantai ini terdapat satu terowong kecil dan berjarak pendek. Di atas lantai konkrit tersebut diletakkan beberapa kerusi bulat konkrit yang bercorak seumpama batang pokok balak, dan terdapat teduhan yang diperbuat daripada konkrit yang berbentuk cendawan. Sekarang dah kene röngbök (dah dirombak, telah dirobohkan). Jadilah seperti gambar di atas.


Beberapa tempat permainan kanak-kanak seperti tempat menggelongsor, buai-buaian, jongkang-jongket juga ditempatkan di taman ini. Taman rekreasi ini dahulu mempunyai kolam, jambatan atau jejantas yang merentangi kolam, jalan-jalan yang bertar, dan penuh dengan pokok-pokok renek dan pokok bunga. Beberapa model binaan berskala kecil seperti balai polis, dan pejabat pos di tempatkan di bahu jalan yang bertar. Papan tanda jalan seperti di jalan raya sebenar juga diletakkan di sini. Mengapa? Ini kerana pihak Shell Malaysia dan Kementerian Pendidikan (nama kementerian pada waktu itu) mengadakan pertandingan Kempen Keselamatan Lalu Lintas Shell yang mana juaranya ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Abang, Naib Juara Sekolah Rendah Sultan Omar-Kumpulan A, dan tempat ketiga ialah juga dari Sekolah Rendah Sultan Omar-Kumpulan B. Selepas pertandingan tersebut, model binaan dan papan tanda jalan raya dikekalkan di taman ini. Sekarang jangan dicari. Semua telah berubah wajah.


Padang Petanque Dungun yang baru wujud mungkin dalam tahun-tahun awal 2000. Ia terletak berhampiran dengan Taman Rekreasi Jalan Nibong. Kini padang ini makin bertambah dan nampak tersusun. Kawasan antara Jalan Nibong dengan Kampung Tanah Lot ini nampak sesuai untuk kawasan beriadah dan bersukan.


Gelanggang tenis yang mungkin yang tertua di daerah Dungun. Ada gelanggang tenis lain ke di Dungun?


"Riadah Untuk Kesihatan"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, July 13, 2010 0 orang royak doh

Taman Tamadun Islam Terengganu yang terletak di Pulau Wan Man seperti yang telah diketahui oleh semua rakyat Malaysia adalah merupakan kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai tarikan terutamanya monumen masjid-masjid di seluruh dunia yang dibina dalam skala kecil, Pengkalan bot untuk merasai pengalaman baru menyusuri Sungai Terengganu dengan menaiki bot atau perahu yang disediakan.


Fakta Taman Tamadun Islam:


Keluasan
Taman ini dibina dalam keluasan 23 hektar.

Tarikan
Taman Monumen - iaitu kawasan monumen masjid-masjid dunia berskala kecil (21 buah replika masjid) dibina untuk tujuan pendidikan secara infomatif dan dapat melihat dengan lebih dekat.
Replika-replika masjid tersebut ialah :

Afghanistan
Masjid Abu Nasr Pasra

Arab Saudi
Masjid an-Nabawi
Masjidil Haram

Brunei
Masjid Sultan Omar Syarif

China
Masjid Xian

India
Taj Mahal

Indonesia
Masjid Kuddus Mina

Iran
Masjid Sheikh Lutfalla

Iraq
Masjid Besar Samarra

Malaysia
Masjid Negara

Mesir
Masjid Mohamed Ali

Nigeria
Masjid Besar Agadez

Pakistan
Masjid Badshahi

Palestin
Kubah As Sakhra

Russia
Masjid Kul Sharif Tatarstan

Sepanyol
Masjid Al Hambra

Syria
Masjid Alepo Citadel

Thailand
Masjid Pusat Pattani

Tunisia
Masjid Qairawan

Turki
Tugu Kompleks Suleyman

Uzbeskitan
Menara Kalyan

Kawasan Awam - terdiri daripada Restoran Bbeteng dan Food Court, Pengkalan Tokku Paloh, Warrior Park, Rumah Tetamu, Pusat Konvensyen dan Masjid Kristal.

Maklumat lanjut sila ke pautan ini :


Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, July 7, 2010 0 orang royak doh


Dahulu penulis pernah menziarah Makam Diraja Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah yang terletak di dalam daerah Dungun. Ia merupakan Makam milik seorang Sultan dan kerabatnya dari Kesultanan Siak, Sumatera, yang terletak di dalam negara Indonesia. Jikalau anda ingin menziarah kawasan pemakaman ini, dari bandar Dungun arah dari Kuantan - Kuala Terengganu, anda perlu terus ke arah jalan ke Kuala Terengganu. Sila lihat papan tanda jalan yang menunjukkan arah ke Bukit Besi. Simpang jalan ke Bukit Besi ini anda akan terlihat Stesen Minyak Petronas di seblelah kiri, dan simpang ke Bukit Besi itu adalah di sebelah kanan anda. Anda akan menemui Kampung Che Lijah dahulu, dan sila jalan terus hingga ke Kampung Binjai. Selepas masjid Kampung Che Lijah ialah Kampung Binjai dan ada satu papan tanda untuk kawasan Pemakaman Diraja ini kerana ia telah digazetkan oleh Tourism Malaysia sebagai tempat bersejarah.

Papan tandanya ialah berwarna coklat dan tertulis Makam Sultan Yahya Siak. Di sempadan Kampung Che Lijah dan Kampung Binjai anda akan menemui simpang masuk ke kawasan pemakaman di sebelah kiri dan jangan bimbang kerana papan tanda pemakaman yang penulis sebutkan tadi ada diletakkan di tepi simpang itu. Anda masuk ke simpang tersebut dan anda akan terjumpa simpang tiga, sila ambil sebelah kanan. Anda terus jalan ke depan, sila perlahankan kenderaan anda kerana jalan di sini adalah jalan kampung yang ditarkan dan dinaiktaraf dari bekas landasan keretapi zaman perlombongan Bukit Besi, (kawasan yang anda jejak ini adalah juga satu kawasan bersejarah kerana ia merupakan bekas landasan keretapi Bukit Besi yang terkenal dari zaman penjajahan British, Jepun, pra-merdeka hinggalah ke tahun 1970an).

Jika anda memperlahankan kenderaan anda, dalam selang masa 5 minit dari simpang tiga tadi anda akan terjumpa kawasan Pemakaman Diraja Sultan Yahya Siak ini di sebelah kiri anda. Al-Fatihah untuk Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah, kerabat diraja dan pengikut-pengikutnya.


Sila ke pautan @Dungun untuk gambar-gambar seterusnya :

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, July 2, 2010 0 orang royak doh

Pantai pasir begitu panjang,
Indah menghadap Laut China Selatan,
Pantai Kelulut letaknya di Marang,
Pelbagai kedai di tepi jalan...

Di daerah Marang jika kita menyelusuri jalan dari arah Kuantan - Kuala Terengganu anda akan ternampak persisiran pantai yang indah yang bermula dari kawasan Kampung Jambu Bongkok hinggalah ke sempadan Rusila/Marang -Bukit Chendering/Kuala Terengganu. Pantai-pantai di Marang begitu indah dengan pohon-pohon kelapa yang tumbuh begitu banyak, perkampungan klasik nelayan yang berselerakan di pesisiran pantai ini serta suasana tanah berumput dengan daun, pelepah dan sabut kelapa berselerak di kampung-kampung begitu mengujakan.

Pantai Peranginan Kelulut yang terletak di tepi jalan Kuantan - Kuala Terengganu. Ia menghadap Laut China Selatan. Jika anda menyelusuri pantai ini anda akan tertanya-tanya pulau yang berbalam-balam yang menghadap pantai ini. Pulau tersebut ialah Pulau Kapas yang merupakan antara pulau yang tercantik di Malaysia amnya dan di Terengganu khususnya.


Pesisir pantai dengan deruan angin. Nyiur melambai, pokok menjalar Tapak Kuda, dan pasir kuning emas suatu panorama yang lengkap landskap pantai si dini.


Awan putih dan langit yang cerah serta deruan ombak membuatkan rasa aman di sini.


Deretan kedai makan yang telah bertahun beroperasi di sini. Lengkap dengan tandas dan surau.


Selamat datang dan selamat tinggal Pantai Peranginan Kelulut.



Rehat di Kelulut mandi di Pulau Kapas,
Lega di badan lega di pundak,
Duduk berkelah tikar dialas,
Singgah Chendering di Pantai Pandak...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, June 21, 2010 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir