Bakpe?
Bakpe Malaysia Menang?
Sebak suluh laser ke mate goli Vietnang dang goli Jirang?

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak penontong lawang sikék dekak stadiung kite?

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak ape? doh memang pemaing kite terer belake,
Sebak pléng care maing molek dari jurulatih kite...

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak memang gol comey hasil hantarang pemaing asal daeroh Besut kite...
(Norshahrul Idlan Talaha) bui ke Safee Sali, teruh masuk gol pertame...

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak memang gol comey hasil tendangang kedue pemaing asal daeroh Besut kite...
(Norshahrul Idlan Talaha) terkene pemaing lawang teruh Budok Marang sepak gol kedue...
Tulah die Budok Bukit Payong kite... (Mohd Ashaari Shamsuddin)

Bakpe Malaysia Menang?
Sebak memang bola hantarang comey dari Mahali Jasuli terus ditanduk Safee Sali...
Masuk gol ketige, teruh kite suke hati...
Ditangboh kuak dengang pertahanang belakang kite ni, ade Anok Teranung lagi...
Namenye Mohd Muslim Ahmad Budok Bando Kay Ti...
He He He...sukenye hati...
Itu cerita Final pertame di KL sebelung ni....


Bakpe Malaysia Menang?
Memang kite kaloh mase maing awal-awal di negeri jirang kite,
Goli kite Mohd Sharbinee Allawee Ramli, walaupung lepah lime utir gol biarlah cite lame,
Kite belajo dari silak saloh kite, keeper baru Negeri Barak sebelah Teranung jadi pengganti,
Molek sunggoh berani benor kawe nok kabo dio ni....
Khairul Fahmi Che Mat namo budok ni...
Huk aloh, panda jjereba sunggoh terer sekali, bukang nok lebong, tengoklah sediri...

Bakpe Malaysia Menang?
Masuk Final kedue di negeri Jirang,
Budok Marang bui bola ke Budok Kajang,
Ashaari pah ke Safee Sali...
Teruh gol jadi aggregate 4-0 sukenye hati kite ni....

Bakpe Malaysia Menang?
Tapi walau kite kaloh kemudiang due-se,
Kite tetak menang aggregate pak-due,
Dapak piale hasil kerjasame semue,
Syukur kepada Allah Taala jua segalanye,
Atas kurniaanNya diberi kemenangan kepade kite
Semoga kite terus berjaya dengang usahe dan doa kite...



Tahniah Malaysia dan anak-anak Terengganu...atas kemenangan Piala Nusantara ini...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, December 30, 2010 0 orang royak doh

Selamat Hari Raya Aidil Adha
Maaf Zahir Dan Batin

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, November 17, 2010 0 orang royak doh

Lagu nyanyian oleh Faizal AF4 yang menceritakan nama sajian dan juadah tradisi Melayu Terengganu dan diselitkan dengan nasihat. Satu cara untuk memperkenalkan juadah-juadah tradisi Melayu Terengganu. Lirik yang berbentuk seperti pantun ini begitu menarik.

Blues Senyum Sokmo - Faizal AF4



Na..na..na manis sokmo
Na..na..na kita orang timur
Na..na..na senyum sokmo

Nekbak sira tepung pelita
Puteri mandi pulut lepe
Kuih muih orang kita
sudah sohor rate rawe
Lemak manis lemak tawar
Jamu selera di pantai timur
Tempat comel tanah subor makmur
Bekang manis koleh kacang
Asang gupa tok aji serebang
Lazat sungguh hai lopak tikang
Pakat makang pagi petang
Mesra belaka hai adik abang
Ramoh tamoh malang siang
Sopang santung tertib terening terbilang

Orang timur banyak warisan terkenal
Pantai timur banyak resipi tradisional
Comel budaya molek pula budi bahasa
Amalan mulia hiasan jiwa raga

Na..na..na..manis sokmo
Na..na..na kita orang timur
Na..na..na aman makmur

Nekbak sira tepung pelita
Puteri mandi pulut lepe
Kuih muih orang kita
sudah sohor rate rawe
Lemak manis lemak tawar
Jamu selera di pantai timur
Tempat comel tanah subor makmur
Bekang manis koleh kacang
Asang gupa tok aji serebang
Lazat sungguh hai lopak tikang
Pakat makang pagi petang
Mesra belaka hai adik abang
Ramoh tamoh malang siang
Sopang santung tertib terening terbilang



Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, November 9, 2010 0 orang royak doh

Samah? Bukan nama orang. Bukan nama gelar. Bukan nama pena (ada ke?). Samah adalah nama panggilan rakyat Terengganu terhadap duit syiling 50 sen. SA atau maksudnya SE atau dalam bahasa formalnya satu. AMAH adalah bermaksud kepingan duit 50 sen tersebut. Samah adalah sekeping duit syiling 50 sen. Kata nama yang popular dan yang selalu menjadi kata bual semasa
proses jual beli
barang di Terengganu ialah Samah dan Tige Amah. Tige Amah bermaksud tiga keping Amah iaitu tiga keping duit syiling 50 sen yang bersamaan dengan RM1.50 sen.



Samah!



Tige Amah!



Singgah sekejap makan mee rebus,
Sebelum ke pasar membeli lada,
Selesai makan Tiga Amah dibayar terus,
Samah sahaja harga ladanya.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, November 6, 2010 0 orang royak doh

Entri lama penulis dari blog @Dungun

Wa wa pé pék,
wa pé pék ujong galoh,
masuk keluo masuk,
hulubalang buke pitu,
cak la lok, la lok,
cak la lok, la lok...


  • Nama permainan ini tidaklah diketahui sangat oleh awang, tapi awang tahu cara bermainnya. Antara ingat-ingat jugokla.
  1. Jumlah kanak-kanak yang ingin bermain permainan ini tidak ditetapkan. Buleh blaka.
  2. Dua orang ketua kumpulan akan dilantik. Namakannya Ketua A dan Ketua B. Kedua-dua kumpulan ini akan memilih kata rahsia atau keyword masing-masing, sebagai contoh Ketua A memilih perkataan Udang dan Ketua B memilih perkataan Ketam. Kata rahsia ini tidak diberitahu kepada beberapa kanak-kanak yang lain. Ini adalah perjanjian antara kedua-dua Ketua tersebut.
  3. Selepas itu kedua-dua ketua kumpulan ini berlu berdiri mengadap masing-masing. Kedua-dua tangan setiap ketua kumpulan perlu mendepakan tangan atas membentuk pintu gerbang seakan-akan juga bentuk segitiga.
  4. Penerangan mudah ialah tangan kanan dan kiri Ketua A didepakan ke depan atas ( seperti tabik Hitler-hehehe). Ketua B juga melakukan perkara yang sama. Kemudian kedua-dua jari tangan mereka bertemu dan memegang antara satu sama lain-jari tangan kanan Ketua A memegang jari tangan kanan Ketua B. Begitu juga jari tangan sebelah kiri. Mereka akan membentuk pintu gerbang piramid atau segitiga.
  5. Beberapa kanak-kanak yang lain yang menyertai permainan ini akan melalui bawah pintu gerbang ini secara berjalan beratur bergilir-gilir secara pusingan sambil menyanyikan lagu...Wa wa pé pék, wa pé pék ujong galoh, masuk keluo masuk, hulubalang buke pitu, cak la lok, la lok, cak la lok, la lok...
  6. Bila lirik yang terakhir habis dinyanyikan, maka kedua-dua kumpulan akan menurunkan tangan mereka dan mengurung seorang kanak-kanak yang tidak sempat keluar dari pintu gerbang segitiga tersebut.
  7. Kemudian Ketua A dan B akan bergerak bersama kanak-kanak yang dikurung itu menjauhi kanak-kanak yang lain dan menyuruh kanak-kanak yang dikurung itu untuk memilih antara dua kata rahsia iaitu Udang atau Ketam. "Mung nok Udang ke Ketang" (Awak nak udang ke atau Ketam).
  8. Jika kanak-kanak tersebut memilih Udang, dia akan terpilih memasuki kumpulan Ketua A. Jika sebaliknya ia akan memasuki kumpulan Ketua B. Katakan dia memilih Ketua A, dia akan berdiri dibelakang Ketua A dan memegang pinggang Ketua A.
  9. Kemudian proses nombor 4 hingga 8 akan berulang sehingga tiada lagi kanak-kanak yang tinggal.
  10. Selepas itu, Ketua A dan B akan mengarahkan ahli-ahli / kanak-kanak yang berada dalam kumpulan masing-masing supaya memegang pinggang di depan setiap daripada mereka dengan kuat .(Info-Setiap kumpulan mungkin akan memiliki ahli yang kurang kerana proses pemilihan kata rahsia tadi).
  11. Selepas setiap ahli-ahli kumpulan memegang pinggang masing-masing, Ketua A dan B pula akan menarik tangan tangan masing-masing seperti bermain tarik tali. Kumpulan yang jatuh atau berpecah dikira kalah.

Awang-mintok maaf kalau cara main ni saloh, awang ingat-ingat, doh lame dok tengok budok maing wa wa pe pek ni, yelahhh...skang ramai suka sangat ngadap playstation, petang-petang bukang turung tanoh jupe kawang-kawang maing bende gini. Mintok dok lupuk dek zamang doh la...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, November 5, 2010 0 orang royak doh

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi di atas kemenangan Journey Terengganu dalam Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010. Penulis tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk memenangi pertandingan ini dan tidak menyangka kerana memenangi saguhati. Terima kasih kepada pihak para hakim memilih Journey Terengganu sebagai pemenang saguhati. Terima kasih kepada pengunjung dan pembaca setia yang menjengah blog penulis yang serba ringkas dan biasa-biasa ini. Di sini juga penulis ingin mengucapkan tahniah kepada penulis-penulis blog yang bertanding dan memenangi hadiah tersebut serta penulis juga ingin mengucapkan tahniah kepada blog-blog yang telah layak bertanding.

Penulis hanya menulis sebagai sekadar catatan peribadi di samping untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca. Konsep penulis berkenaan blog Journey Terengganu adalah semata-mata blog sahaja bukan seperti web pelancongan yang penuh dengan maklumat yang begitu padat hingga memenuhkan ruang dan keserabutan dalam blog penulis. Ini kerana penulis percaya jika ada para pelancong yang ingin mengetahui lebih lanjut, mereka boleh ke link-link atau web rasmi agensi pelancongan , atau web rasmi hotel, syarikat penerbangan dan sebagainya yang meletakkan harga yang lebih tepat dan maklumat perjalanan yang lebih mudah. Penulis mengganggap pembaca atau pelancong lebih pintar dalam mencari maklumat yang lebih tepat berkenaan sesuatu yang berkaitan dengan harga, maklumat perjalanan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi kadar hotel dan kadar tambang adalah perkara yang boleh ubah mengikut musim, mengikut kehendak pihak pengurusan, atau apa sahaja. Oleh itu penulis tidak mahu terikat meletakkkan apa-apa harga atau sumber maklumat seperti nombor telefon dan alamat sesuatu hotel. Ini kerana juga nombor telefon dan alamat boleh berubah malah pemilik pengurusan juga boleh bertukar. Nasihat penulis ialah pelancong-pelancong boleh mendapatkan maklumat yang lebih tepat di laman atau web rasmi sesuatu syarikat pengangkutan dan hotel. Walaubagaimanapun penulis akan meletakkan juga sedikit maklumat tersebut jika ia bersesuaian.

Oleh itu penulis hanya menulis secara diari dan biasa-biasa sahaja dalam blog ini dan hanya ingin memberi maklumat yang perlu sahaja diketahui oleh para pelancong mahupun pembaca. Penulis mengetengahkan konsep penulisan sastera Melayu dan sedikit komedi seperti pantun dan sajak dalam Bahasa Melayu rasmi dan loghat Terengganu. Selain itu perlu diingat, konsep blog dan konsep web adalah berbeza. Blog adalah catatan pengalaman, luahan, diari harian dan juga diselitkan dengan maklumat yang tidak membosankan. Ia bukan seperti web yang padat dengan maklumat dan kadang penuh dengan keserabutan seperti masuk ke laman web milik kerajaan dan web sesuatu syarikat. Blog perlu menarik sama ada dari segi penampilan seperti latar belakang dan sedikit sentuhan gambar, (walaupun ringkas tetapi perlu sedikit daya tarikan dan gambar tidak perlu dipenuhkan sebagai latarbelakang kerana ia akan menggangu tumpuan pembacaan), yang tidak serabut, tidak berat apabila mahu dibuka oleh pelantar pelayar, isi artikelnya menarik dan mempunyai gambar-gambar yang bersesuaian dengan artikel.

Apa yang dipaparkan sebelum ini adalah berkenaan destinasi pelancongan, makanan dan pakaian, budaya, sastera dan loghat Terengganu, lagu dan pantun dan permainan kanak-kanak Terengganu. Penulis percaya bahawa untuk menarik pelancong ke Terengganu bukan hanya semata-mata destinasi sahaja tetapi kesemuanya yang berkaitan dengan negeri dan rakyat berpanji hitam dan putih ini.

Walaubagaimanapun, pertandingan ini telah berjaya mencapai sasaran Kerajaan Negeri Terengganu kerana dengan ada blog-blog ini promosi pelancongan Terengganu telah berjalan secara percuma. Satu cara yang pintar oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam melaksanakan promosi pelancongan negeri Terengganu.



Find yourself in Terengganu, Jupe mung di nung-Terengganu

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, November 3, 2010 2 orang royak doh

Keng...Keng...Keng...bunyi sayup-sayup dari atas pohon tinggi. Jika makin didekati pohon itu makin kuat bunyinya. Kibasan sayap dan dahan ranting kuat berbunyi dek terjahan singgah. Diintai dari bawah pohon didapati burung ini berparuh besar berwarna kuning lembut. Warna badannya hitam dan sedikit putih pada sayap dan ekornya. Eh! Macam mana burung ini boleh ada di sini. Agak jauh dari bumi kepulauan sana, adakah ia berhijrah atau memang spesis ini juga ada di sini?

Itulah Burung Ngekeng dan itulah pertanyaan penulis pada waktu kecil. Terkejut dengan kewujudan burung ini di Dungun satu waktu dahulu di kawasan Kampung Sungai Buaya. Rata-rata orang di Dungun memanggil burung ini Ngekeng. Penulis tidak pasti di daerah-daerah lain di dalam negeri Terengganu. Dinamakan Ngekeng kerana bunyi suaranya Keng...Keng...Keng. Bunyi suara yang nyaring dan boleh didengari di seluruh pelusuk kampung. Tambahan pula ia bergema dari atas pohonan yang tinggi.

Burung Ngekeng ini nama formalnya ialah Burung Enggang ataupun Hornbill dalam Bahasa Inggeris. Pelikkah atau memang spesisnya ada di Dungun?

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, October 28, 2010 2 orang royak doh

Penulis ada terbaca satu baris kata, mungkin perumpamaan, bidalan atau peribahasa untuk mungkin menggambarkan keakraban negeri-negeri pantai timur. Kata-kata ini misteri dan begitu klasik. Baris kata-kata tersebuit ialah:

Ranting di Kelantan…Dahan di Pahang… Buah di Terengganu…

Ada sesiapa boleh merungkai baris kata klasik ini?

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, October 9, 2010 0 orang royak doh

Penulis Journey Terengganu mengucapkan tahniah kepada PESAT di atas perasmian bangunan baru. Di bawah ini adalah artikel dari Utusan Malaysia. Sila klik Bangunan persatuan anak-anak Terengganu dirasmi.



Bangunan persatuan anak-anak Terengganu dirasmi


Tuanku Mizan Zainal Abidin diiringi oleh Ahmad Said tertarik dengan gambar-gambar yang dipamerkan selepas merasmikan bangunan baru Pesat di Kota Damansara, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Amin Farij Hasan


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini merasmikan Bangunan Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) di The Strand, Kota Damansara, dekat sini.

Ketibaan Seri Paduka disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Yang Dipertua Pesat, Ramlan Ibrahim.

Tuanku Mizan kemudian menandatangani plak sebagai tanda perasmian bangunan milik persatuan tersebut.

Seri Paduka turut melawat bangunan empat setengah tingkat yang menelan kos RM4juta itu serta melawat pameran Pesat.

Bangunan tersebut menempatkan ibu pejabat persatuan di tingkat atas dan telah beroperasi sepenuhnya sejak 1 Ogos lalu.

Sementara lot-lot di tiga tingkat bangunan itu pula akan disewa untuk menjana pendapatan bagi membolehkan persatuan menggerakkan aktiviti untuk kepentingan ahli.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad berkata, bangunan Pesat yang dibeli melalui pembiayaan kerajaan negeri itu merupakan sebahagian komitmen dan matlamat kerajaan dalam mengagihkan nikmat pembangunan kepada seluruh rakyat negeri tersebut khususnya di luar negeri Terengganu.

Beliau berkata, melalui pemilikan bangunan itu adalah diharapkan dapat mencapai hasrat untuk menyatukan orang Terengganu di Lembah Kelang serta bertujuan untuk menyampaikan maklumat dua hala antara rakyat dan kerajaan negeri tersebut.

"Adalah menjadi harapan agar Pesat mampu menjadi pangkalan kepada setiap anak Terengganu untuk mendapatkan maklumat terkini lagi sahih berkaitan negeri tersebut," katanya.

Menurut Ahmad, bangunan itu juga boleh menjadi medan untuk menjalankan aktiviti ekonomi serta pelaburan dan secara tidak langsung mampu menyumbang usaha untuk mempromosikan Terengganu.

Dalam pada itu, Ahmad juga memberitahu, pihaknya kini sedang giat melaksanakan pelbagai pembangunan masa depan negeri tersebut.

Antaranya, kata beliau, Terengganu akan berubah wajah menjadi bandar raya pesisir pantai dalam tempoh tiga tahun akan datang; menjadikan Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai terbaru menjelang 2012 serta menaikkan taraf lapangan terbang Sultan Mahmud kepada lapangan terbang antarabangsa dan menjadikan kawasan sebelah lapangan terbang itu sebagai zon bebas perdagangan bagi industri berasaskan petroleum dan gas.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, October 5, 2010 0 orang royak doh

30 September 2010 adalah tarikh tamat Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu. Syukur Alhamdulillah dan ucapan jutaan Terima Kasih kepada para pengunjung kerana mengunjungi dan penuh setia membaca blog Journey Terengganu. Apa-apa pun penulis tidak menganggap blog ini akan terhenti pada tarikh tamat pertandingan itu sahaja. Blog ini akan terus berentri dengan artikel-artikel berkenaan negeri berpanji hitam dan putih ini.

Penulis akan cuba menceritakan perihal negeri Terengganu di dalam blog ini dan perihal daerah Dungun dalam blog @Dungun. Mungkin nanti juga ada entri atau artikel yang sama akan dipaparkan di kedua-dua blog ini. Terima kasih kerana setia membaca dan teruskan mengunjungi blog penulis-Awang@Dungun.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, October 1, 2010 3 orang royak doh

Kayu berukir penuh bungaan
Kotak panjang segi tak sama
Kotak nelayan barang disimpan
Turun ke laut dibawa bersama










Kotak Ke Laut.

Dimensi : 43 cm x 15.5 cm x 7 cm

Keterangan.
Ia digunakan oleh nelayan untuk menyimpan ubat, rokok, dan tembakau. Kotak yang boleh terapung ini akan bertindak sebagai boya keselamatan sekiranya bot tenggelam.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, September 21, 2010 1 orang royak doh

Penuh lekuk kuning berkilau
Menanak nasi lauk sekali
Periuk Tembaga warnanya silau
Melayu Terengganu pandai besi







Periuk Tembaga

Dimensi : 14 cm
Diameter : 19 cm
Lilitan : 54.3 cm

Keterangan.
Masyarakat Melayu zaman dahulu menggunakan periuk ini untuk memasak nasi dan lauk-pauk.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, September 20, 2010 0 orang royak doh

Umpama burung buatan emas
Jangan salah tersalah pandang
Buatan tembaga begitu kemas
Tepak Sireh tetamu bertandang









Tepak Sireh

Dimensi : 43 x 17.5 x 26

Keterangan.
Bentuknya mempunyai pengaruh India iaitu seekor burung merak. Di bahagian badannya diisi dengan pelbagai bahan untuk dimakan dengan sireh, manakala bahagian ekornya disimpan daun sireh.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, September 19, 2010 1 orang royak doh

Penuh wangian menusuk sukma
Inilah lagi hasil Terengganu
Bunga Rampai di bekas semua
Menjadi tumpuan para tetamu






Bekas Bunga Rampai

Dimensi : 15 cm
Diameter : 17.8 cm
Lilitan : 56 cm

Keterangan.
Ia digunakan untuk meletakkan bunga-bungaan & wangian semasa upacara perkahwinan Melayu.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, September 18, 2010 0 orang royak doh

Buatan tangan orang Terengganu
Sungguh halus indah sekali
Bekas Basuh Tangan cuci tanganmu
Dari tembaga kuning berseri...








Bekas Basuh Tangan

Dimensi : 23.6 x 7.5
Diameter : 17.7
Lilitan/Perimeter : 60.1

Keterangan.
Di badannya tertera tulisan Jawi yang berbunyi "Puteri Engku Kamariah Binti Seri Maharaja Sultan Abdul Jalil Riau-Lingga hadiah daripada Yang dipertuan (Nangka satu?) Seri Menanti Allah Selamatkan.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, September 17, 2010 0 orang royak doh

Penuh ukiran indah sekali
Air dituang untuk tetamu
Halus ukiran bernilai tinggi
Cerek tembaga Melayu Terengganu






Cerek Tembaga

Dimensi : 30.2 cm x 23.8 x 21.5

Keterangan.
Cerek ini dihiasi bunga pecah empat dan bunga pecah enam hiasan timbul. Badan dan muncungnya bersambung dengan tebukan sulur buyung.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, September 15, 2010 0 orang royak doh

Setiap kraftangan pasti anda tokoh-tokoh yang terlibat dan terkenal. Pandai Tembaga atau orang yang mahir dalam pembuatan barangan tembaga di Terengganu adalah terdiri daripada :

  1. Wan Abdullah bin Wan Muda
  2. Tuan Haji Abu Bakar Abdul Rahman
  3. Tuan Haji Mat Cik Abdul Rahman
  4. Ali Yaakob

Pertukangan tembaga ini telah diwariskan oleh Wan Abdullah bin wan Muda kepada anak sulongnya iaitu Daud bin Wan Abdullah. Wan Abdullah banyak menyumbangkan hasil seni kepada Alam Seni Rupa Melayu dan menjadikan beliau diiktiraf sebagai tokoh kraftangan tanahair.


"Nantikan entri Tembaga Buatan Bangsa Melayu Terengganu"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, September 14, 2010 0 orang royak doh


Terengganu memang dikenali sebagai tempat penghasilan kraftangan dari tembaga. Melayu Terengganu yang pandai besi menghasilkan barangan ini untuk kegunaan harian di rumah-rumah orang Melayu Terengganu, untuk upacara perkahwinan malah upacara dalam istana Terengganu. Selain itu ia juga menjadi hiasan yang berseni tinggi dan berkualiti untuk dipaparkan kepada tetamu yang bertandang.

Di kampung Ladang yang terletak di Kuala Terengganu adalah sebuah kampung tempat menghasilkan produk tembaga ini. Perusahaan ini dijalankan di kawasan laman rumah sama ada di bahagian belakang rumah mahupun di dapur. Penulis mempunyai pengalaman sewaktu kecil melihat sendiri dapur tanah untuk acuan tembaga dan tanah liat kelabu serta asap-asapnya selalu kelihatan dan terhidu. Bunyi bising larikan /penggilap tembaga hingar-bingar masih terngiang-ngiang di telinga penulis tatkala penulis artikel ini. Bunyinya tidak enak tetapi cukup untuk mengingatkan kembali bunyi larikan/penggilap tembaga.

Antara barangan tembaga yang dihasilkan oleh Melayu Terengganu ialah pahar (Melayu Terengganu memanggilnya sebagai Por-ia digunakan sebagau dulang hantaran perkahwinan orang Melayu), cerek tembaga, tepak sireh, ketur, pending, dan sebagainya. Ukiran yang biasanya digunakan ialah awan larat, bentuk geometri, bunga-bungaan, hiasan gelang puyuh, pucuk rebung, dan tebukan sulur bayung.

Peralatan yang digunakan untuk kraftangan ini terdiri daripada penukul kayu, gunting, set alat pengukir, penggilap, dan cat gelap.

Penulis akan memberikan contoh-contoh produk tembaga dari Terengganu dalam entri yang akan datang.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, September 13, 2010 0 orang royak doh


Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin dari Journey Terengganu. Teruskan mengunjungi weblog ini.

Mitok maah banyok-banyok kalo tersaloh tulih terkaso bahase, yang sudoh tu sudohla, bakpe dok ingak smula, pahtu raye ni, jangang makang banyok-banyok, hok peting gi rumoh anok beranok, sedare-mare, kawang-kawang hok lame doh dok jupe. Guane kate, "Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, September 10, 2010 0 orang royak doh


Bubur Lambuk adalah sajian berbuka puasa yang merupakan sajian yang sinonim pada bulan Ramadhan. Di Terengganu mempunyai sajian bubur lambuk tersendiri dan amat berlainan dengan bubur lambuk sebelah pantai barat. Bubur Lambuk Terengganu warnanya ialah agak kelabu dan mempunyai rasa ikan dan bersayur terdiri daripada pucuk paku, daun kesom, daun kunyit dan kayu manis. Bubur Lambuk Pantai Barat berwarna putih dan diletakkan potongan kecil ayam, atau daging dan hirisan lobak. Bubur Lambuk Terengganu ini jarang untuk didapati di pasar-pasar Ramadhan. Kebanyakkannya ia di masak oleh suri-suri rumah mahupun boleh didapati majlis-majlis berbuka puasa di masjid, surau ataupun di majlis yang diadakan oleh muslimin.

Rasa antara kedua-dua bubur lambuk ini amat berbeza. Dua-duanya sedap tetapi pilihan penulis ialah tetap kepada Bubur Lambuk Terengganu.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, September 6, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...

Di musim raya nanti maka kelibat sanak-saudara yang jarang bertemu mungkin bertemu sama ada kita bertandang rasa atau mereka bertandang raya ke rumah kita atau berkumpul di rumah tok tok ki kita.Ada Ayoh We/Ayoh Long, Mok We/Mok Long, Ayoh Ngoh dan Cik Ngoh, Ayoh De dan Mok De/Cik De, Ayoh Téh dan Mok Téh, Ayoh Tang, Ayoh Cik, Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su. Inilah antara gelaran pangkat dalam keluarga.

Ada tidak menggunakan gelaran pangkat tetapi menggunakan nama dan ditambah AYOH di depan. Contohnya bapa saudara bernama Ismail, makanya dipanggil Ayoh Wé.

Ayoh We/Ayoh Long, Mok We/Mok Long - adalah pangkat Tertua dan Sulung dalam keluarga ibu bapa kita. Ayoh Ngoh dan Cik Ngoh - adalah anak tengah, (biasanya anak nombor 2). Ayoh De dan Mok De/Cik De- mungkin singkatan kepada perkataan MUDA, yang muda tapi bukan bongsu dalam keluarga, mungkin juga yang Tengah, sama dengan pangkat dengan Ayoh Ngoh/Cik Ngoh.

Ayoh Téh dan Mok Téh - adalah pangkat selepas Tengah, mungkin no 3 atau 4 (lihat berapa adik beradik). Ayoh Tang - adalah pangkat mungkin adik yang kedua sebelum bongsu ( Tang - ada negeri lain di Malaysia memanggilnya Tam, Pak Tam).

Ayoh Cik - adalah pangkat mungkin adik pertama sebelum bongsu. Ayoh Su dan Mok Su/Cik Su - adalah adik yang bongsu. Bagi gelaran Cik dan Su, ada juga dalam keluarga bagi anak yang bongsu tidak digelar Su, tapi menggunakan gelaran Cik, singkatan kepada kecik/kecil.

Ayoh - Ayah.
Mok - Mak.

Panggilan pangkat di dalam satu keluarga adalah berbeza dengan satu keluarga yang lain sama ada mengikut negeri atau kenalan kita sendiri mahupun dalam keluarga mentua kita. Ia adalah subjektif dan tertakluk kepada penggunaan rasmi dalam keluarga itu sendiri. Jika ada sesiapa yang tahu pangkat ahli dalam keluarga mengikut slanga Terengganu sila maklumkan kepada aku, kalau salah tolong maklumkan.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, September 5, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...

Aha! Kanak-kanak mesti suka. Pergi rumah orang sentuh kuih ala kadar. Minum air sirap atau oren sikit-sikit. Tunggu tuan rumah bagi sampul duit raya. Kan! Itulah!

Budok-budok jalan-g sekapong gi kumpu duik raye. Ade hok bagi ge siling, ade hok bagi seria, buleh belake, ambik belake. Dapak sampo dok gaga kok luo, rase-rase duit siling, mungking pitih seria. Tu dulu mase pitih seria betuk siling, lening tadök döh. Dök payöh gaga, buke teruh tengok berape ria dapak.

(Budak-budak berjalan seluruh kampung untuk kumpul duit raya. Ada yang bagi duit syiling, ada yang bagi seringgit, boleh belaka, ambil belaka. Dapat sampul raya, raba-raba di luar sampul, rasa-rasa duit syiling, mungkin duit syiling seringgit. Itu dahulu masa duit seringgit berbentuk syiling, sekarang tak ada lagi. Tak payah raba, buka terus tengok berapa ringgit dapat).

Bukan main budak-budak Terengganu, dapat duit raya nilai RIYAL bukan RM...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, September 4, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...


Dapak dok agi kak raye? Dapat tak lagi kad raya?

Kad raya satu budaya nostalgia yang sekarang masih ada tetapi tidak tahu seutuh mana. Kemajuan teknologi perhubungan yang jauh makin dekat, khabar berita senang dapat dan semuanya dengan istilah Di Hujung Jari. Kemajuan telefon yang boleh menghantar pesanan ringkas - sms, talian internet dengan menggunakan medium Yahoo Messenger, MSN dan pelbagai medium yang selari dengannya yang memudahkan manusia kini untuk memberi maklumat, ucapan, dan apa saja walaupun hal yang lagha. SMS raya, Email kad raya, dan ucapan raya di web blog memudahkan semua.

Fungsi kad raya mungkin tidak sekuat dahulu tetapi kad raya sebenarnya penuh nostalgia. Antaranya : Tulisan tangan pengirim yang tulen - mungkin boleh mengubat rindu, pihak yang akan menerima pula akan tertunggu-tunggu kedatangan posmen - dan itu adalah perasaan pelik tetapi hebat iaitu rindu. Samaada rindu ibu bapa terhadap anak di rantau, rindu pada orang yang disayangi dan seumpamanya. Kini jika anak jauh di rantau, jika ada komputer pakai sahaja medium perisian perbualan seperti Yahoo Mesengger, dan jika ada telefon bimbit gunakan sahaja teknologi 3G (itu pun sebenarnya untuk kawasan tertentu).

Membincangkan tentang kad raya sebenarnya kad raya mempunyai pelbagai bentuk dan pelbagai ucapan bergantung kepada siapa yang kita ingin kirimkan. Ada kad raya yang mengeluarkan bunyi irama lagu raya apabila helaiannya dibuka. Ada yang ringkas sahaja. Ada yang buat sendiri kad raya kerana darah seni lukis dan kreatif yang ada pada diri. Walau bagaimanapun kad raya seharusnya menjadi budaya yang terus menerus bertakhta apabila tiba musimnya. Jangan biarkan ia hanya sebagai kad yang digantung sebagai hiasan di rumah atau di pejabat apabila musim raya tiba. Jangan biarkan ia tenggelam dengan pelbagai teknologi yang ada. Jika tidak ia mungkin akan menjadi satu lagi budaya yang mungkin didokumenkan dan berbingkai untuk menjadi tatapan di muzium.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, September 3, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...

Tujuh Liko. Itu Terengganu. Tujuh Likur di luar Terengganu. Betul ke 7 malam sebelum raya? Malam tujuh liko malam budak-budak main mercun, main meriam buluh, main bunga api. Ada ngecung keluang, ngecung lidi, ngecung jarung, ngecung lalak, ngecung tali, ngecung bawang, ngecung dah, ngecung hok keluo payung terjung, ngecung gasing, , ngecung katok, ngecung ulo, dan ngecung tupak.Nati aku cerita se... se...(cerita mercun akhir 80an ke awal 90an).

Ngecung atau mercun dalam bahasa formal. Ngecung keluang adalah mercun apa bila ia dinyalakan akan naik ke atas (ke udara) sambil mengeluarkan bunyi seumpama bunyi keluang kemudian apabila sumbu yang berapi sampai ke peringkat pangkalnya akan mengeluarkan dentuman yang kuat di udara. Ngecung lidi bentuk sama seperti ngecung keluang tetapi tidak mengeluarkan bunyi seumpama haiwan keluang. Soal dentuman itu aku sudah lupa - telah lama meninggalkan aktiviti main ngecung ni. Modus operandi ngecung ini sama dengan ngecung iaitu apabila ia dinyalakan ia akan naik ke udara. Syaratnya, sebelum ia dinyalakan ngecung keluang dan ngecung lidi harus dipacakkan hujung lidinya di atas tanah.

Ngecung jarung atau mercun jarum. Bentuk mercun ini sama seperti mercun yang orang Cina pasang masa Tahun Baru Cina. Cuma ia kecil, kulit bungkus kertasnya ada macam-macam warna, yang biasanya warna hijau. Ia tidak diikat seperti mercun orang Cina tetapi ia berasingan seperti dinamit. Cara untuk menyalakan mercun ini yang paling berani ialah patahkan ubat nyamuk tetapi jangan terlalu pendek. Ambil sedikit lingkaran ubat nyamuk yang dipatahkan ini dan nyalakan. Tangan kanan memegang ubat nyamuk yang menyala, Tangan kiri memegang mercun jarum. Nyalakan mercun jarum dan lempar jauh-jauh dan dentuman yang kuat terhasil apabila nyalaan sumbu berjumpa dengan pangkal yang berbungkus kertas berbelerang atau agen letupan. Awas! Jangan Tiru! Jangan Buat! Kalau salah timing, jari anda menjadi kebas jika meletup di tangan, jika tak kebas, jari yang hilang. Cara yang agal cool nak main mercun ni ialah letakkan ia di dalam kertas surat khabar, bakarkan surat khabar. Duduk jauh-jauh. Kemudian mercun ini akan menyala dan meletup.

Ngecung lalak. Mercun lalat tetapi bentuk mercun ini seperti lebah. Ada lukisan belang lebah dan mempunyai bersayap seperti serangga pada mercun ini. Mercun ini apabila dinyalakan akan terbang ke udara seperti serangga dan mengeluarkan bunyi seperti kibasan sayang serangga; zussssssssssssss...Tiada dentuman. Tiada letupan. Terbang hilang entah ke mana.

Ngecung tali ini ialah mercun yang bertali di kanan dan di kiri. Di tengah-tengahnya adalah bungkusan berbelerang atau agen letupan. Mercun ini amat mudah untuk diletupkan. Hanya memegang tali di kanan dan kiri dengan cara menggendurkan ia dahulu, kemudian menarik dengan sekuatnya. Letupan kecil akan berlaku. Ngecung bawang ialah mercun yang berbungkus seperti bawang putih. Ia kecil dan di dalam bungkusannya mempunyai ketulan seperti batu dan ia adalah agen letupan. Caranya ialah dengan melemparkan ia ke permukaan yang keras dan letupan kecil akan berlaku.

Ngecung dah. Mercun ini ialah mercun seperti bunga api yang dimainkan semasa menyambut tahun baru ke, malam merdeka ke, seperti itulah. Ngecung dah bermaksud mercun das. Das diambil daripada bunyinya seperti das tembakan yang keluar dari bungkusan berbentuk silinder yang kurus. Ada yang berani menyalakan mercun ini dengan memegangnya ditangan dan hujungnya ditunjuk ke udara. Kemudian setiap das bunga api yang keluar adalah berwarna warni dan ada sedikit bunyi letupan. Ada yang memacaknya di atas tanah. Nyalakan. Kemudian keluarlah das-das bunga api yang berwarna-warni, cantik ke udara. Ngecung yang hok keluo payung terjun. Mercun ini adalah sama seperti mercun das. Kalau tak silap aku modus operandinya sama cuma das yang terakhir ialah payung terjun yang keluar ke udara dan terbang perlahan-lahan lalu jatuh ke tanah.

Ngecung gasing. Mercun ini berbentuk bulat. Apabila ia dinyalakan ia akan berpusing seperti gasing dan mengeluarkan bunga api yang cantik, cuma hati-hati, pusingannya agak laju dan perlu dielakkan daripada terkena diri kita. Ngecung katok atau mercun katak pula, bungkusan seperti dilipat dengan tali kalau tak silap aku dan bungkusannya berwarna hijau. Apabila ia dinyalakan ia akan melompat seperti katak walhal tidaklah seperti sungguh macam katak. Soal mengeluarkan bunyi dentuman aku sudah lupa.

Ngecung ulo atau mercun ular. Ia bewarna hitam, kecil dan berbentuk silinder pendek. Tiada sumbu hanya terus nyalakan pada permukaan mercun ini. Kemudian ia akan mengeluarkan asap hitam dan ia akan mengeluarkan bentuk seperti tali seperti ular menyusur di batang pokok naik ke atas sehinggalah bahagian bawah silinder pendek ini habis menjadi seperti ular.

Ngecung tupak. Mercun ini mungkin dipanggil sedemikian kerana ia berbentuk seperti ketupat palas, lebih-lebih lagi ia berwarna coklat-warna koko kata orang Terengganu. Mungkin juga ia dipanggil sedemikian kerana ketumpatan (tumpat) agen letupannya di dalam bungkusannya dan mengeluarkan bunyi dentuman seperti bom apabila ia dinyalakan. Bunyinya boleh riuh sekampung.

Ade banyok lagi jenih ngecung tapi dok berape ingat doh....

Sekarang ini cukup pasang pelita sahajalah. Main mercun sekarang, polis tangkap. Dah haram. Bahaya. Aku rasa budaya tujuh liko hanyalah budaya kanak-kanak. Nostalgia kanak-kanak. Sekarang inipun tidak pasti sama ada kanak-kanak masih ketahui akan budaya ini atau nanti hanya menjadi tatapan di muzium sebagai dokumen yang dibingkaikan....

Paling penting carilah Malam Lailatul Qadar...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, September 2, 2010 0 orang royak doh

Suatu catatan kenangan penulis...



Ini Ténöng plastik cap Tupperware. Moden. Berwarna-warni. Dulu-dulu malah sekarang ini masih ada lagi yang menggunakan Ténöng besi yang berukir timbul di permukaan luar. Terkenang Aidil Fitri pasti terkenangkan Ténöng pada awal pagi raya. Juadah makanan raya diletakkan di dalam Ténöng ini dan di bawa ke rumah-rumah jiran sebagai aktiviti berbalas juadah sesama jiran (sekarang ada lagi?). Selain itu Ténöng yang berisi juadah raya dibawa jika bertandang/berziarah Tok dan Tokki, rumah saudara-mara dan kenalan.

Itu cerita raya. Ténöng juga digunakan pada masa-masa lain. Boleh di bawa ke kebun sebagai bekalan makanan tatkala berehat makan. Unik juga orang Terengganu memanggilnya sebagai Ténöng. Jika di luar Terengganu biasanya ia dipanggil sebagai Mangkuk Tingkat. Satu patah perkataan dalam slanga Terengganu, dua patah perkataan dalam Bahasa Melayu formal.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, September 1, 2010 0 orang royak doh

Suatu Sajak Nukilan Penulis Sempena Merdeka

Anök Teranung Bia Sapöq Jauh

Anök Teranung bia sapöq jauh cari makang
Bia sapa Engleng macang Pök Awang (Awang Goneng)
Bia kenal tepak orang

Anök Teranung bia sapöq jauh gi belajo
Gi tepak orang jangang buak donö
Kutik ilmu wak balik kapong wak ngajö

Anök Teranung bia sapöq jauh gi ngaji
Belajö agame, pahtu wak balik tepak sendiri
Ngajö ke seluruh anök negeri

Anök Teranung bia sapöq jauh gi khije
Kutiklah emas negeri orang sane
Wak beli batu, wak rumöh batu kak (kat) kapong kite

Anök Teranung bia sapöq jauh gi jalan-g
Jangang gi kosong dök tahu haluan-g
Gi lah kutik pengalaman-g

Anök Teranung bia sapöq jauh gi derrak
Gi bukang saje tapi cari ilmu silak (silat)
Buak pertahang bila nök kene sépak

Anök Teranung bia sapöq bile buak satu bende
Jangang sekerak jalan-g sapa dök tahu kale
Kite waklah sunggoh-sunggoh le

Anök Teranung bia sapöq jauh ujung kapong sayuk tinggi letök ddére (bendera)
Letök tinggi ddére Malaysia kite
Nök sambuk merdeka kite sambuk sempurne
(Satu Malaysia Se Malaysia kate orang kite
Maghilah sambuk sekali dengang Bulan Mulia Bulan Pöse)

Nota : Sapöq - membawa maksud teramat (sapöq jauh/jauh sapöq- teramat jauh), dengan kata lain sajak ini membawa maksud kesungguhan, bersungguh, sungguh-sungguh, melampaui kebiasaan atas satu-satu perkara atau pekerjaan yang dilakukan, dan membuat sesuatu perkara lebih dari biasa.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, August 31, 2010 0 orang royak doh

Suatu Sajak Nukilan Penulis Sempena Merdeka

Kite Sah Sah Baru

Kite sah sah baru
Dök penöh rase macang pahlawang gagöh masuk utang (hutan) ulu
Melawang Portugih, Belande, Inggerih dang orang Jepung hök jajöh Tanöh Melayu

Kite sah sah baru
Dök penöh rase makang ubi kayu
Bile? Pade zamang Jepung dulu

Kite sah sah baru
Dök penöh nussuk dalang lubang kubu
Sebak Jepung duk serang dengang peluru

Kite sah sah baru
Dök penöh rase ikak perut macang orang dulu
Perang sane sini lawang penjajöh hök kaca tanöh Tuk Nyang-Tuk Nyang kite dulu

Kite sah sah baru
Dök penöh rase laung merdeka taung 57 dulu
Pagi bute kite hanye duk tengök orang barih dalang tv di tv satu

Kite sah sah baru
Dök penöh rase mende-mende pung perjuangang tokoh pahlawang, dang merdeka dulu-dulu
Tapi kite kene jage warisang kite, sebak nilah tanöh kite, dari Tuk Nyang-Tuk Nyang kite dulu
(Jagelah dengang segale réng yang kite ade, dengang segale jiwe Islam Melayu)


Nota :
Kite Sah Sah Baru bermaksud Kita Saf-Saf Baru. Sah dalam loghtat Terengganu adalah bermaksud Saf di dalam Bahasa Arab (contoh Saf dalam Solat Berjemaah) yang mana ia membawa maksud Baris di dalam Bahasa Melayu.

Oleh itu Kite Sah Sah Baru boleh membawa maksud kepada Kita Barisan-Barisan Baru. Bagi maksud yang tepat dan lebih mudah, perkataan Sah daripada loghat Terengganu kepada Bahasa Melayu ialah generasi. Maka jadinya Kite Sah Sah Baru menjadi Kita Generasi Baru.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, August 30, 2010 0 orang royak doh

Mung ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Duk cerita atah langbo atah kerusi
Pasal makang ubi kayu hari-hari
Jamang jepun susoh nok cari
kijeang takdok susoh sekali

Muk ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Kabo bila kapal terbang maghi
Turung tanoh berlari-lari
Gi nusuk dalang tanoh kubu senyak sunyi
Takut kene bong dari atah turun takut kene kekgi
Beringak sokmo jamang perang gitulah jadi

Muk ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Cerita pasal sebelum ni
Sebelum perang jepung pung orang Melayu kuak melawang orang Ferenggi
Nok jajoh Melaka nok kuasai
Kawasang selat dan juga ekonomi
Habis Melaka dijajohi

Mung ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Cikgu kite pung cerita bende samge macang tok dan tokki
Lepah Portugih datang Belanda nok jajohi
Habih Melaka dikuasai
Portugih balik kapong Belanda sukai
Tanoh Rumpun Sumatera, Jawa dan semuanya kene jajoh sekali
Ambik hasil bumi
Wak balik negeri dia sendiri

Mung Ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Dalang kelas sejaroh pun sama sekali
Cerita pasal Inggerih mari sini
Wak kaca pulok nok jajoh kuasai ekonomi
Campur dengan pentadbiran sekali
Sampai kuasa Melayu hanya Agama Islam dan adat istiadat Melayu sendiri
Semua cukai British nok ambik semua sekali
Bolok wok sekali
Sapa ramai pendekar kita makin berani
Melawan Inggerih sapa mati
Betapa jahat dan licik kuak nipu Inggerih ini

Mung Ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Kemudiang Jepung datang macang cerita awal-awal takdi
Konon Asia untuk Asia padahal Tanah Melayu susoh sekali
Seluruh dunia inging perangi
Sapa Jepung pung undur diri
Lega sekejak tapi ada bahaya menanti

Mung Ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Kabo pasal konsep Sultan tadok kuasai kekgi
Maghi sorang Inggerih nok buang kuasa raja-raja kita ini
Malayan Union dok jadi
Rama orang kite dok sukai
Sampai kite lawang balik tubuh parti
Jadi Umno bersatu hati
Orang Melayu ini

Mung Ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Cerita dengan suka hati
Kita tengoh siap nok merdeka doh ni
Semua orang riang lega sekali
Bendera kita naik bendera Union Jack turun ke bumi
Merdeka. Merdeka. Merdeka kita laungi

Mung Ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Kabo pasal Komunih pasal lepah Jepun undur diri
Komunih wak kaca nok kuasai
Tanoh Melayu ini
Tengbok orang sana sini
Masuk hutang kuar hutang cari nasi
Pahtu serang askor sebab nok kuasai
Tanoh Melayu ini

Mung Ingak dok agi?
Dulu tok dan tokki
Kabo sokmo hal komunih ini
Kene darurat dan Kampung Baru dikawali
Sebagai perang psikologi
Disertai dengan askor VAT69 yang kuak berani
Sapa Komunih kene undur diri dang seroh diri

Mung Ingak dok sekarang ni?
Nok kabo kite dok 53 tahun medeka doh ni
Jangang asyik duk berhibur diri
Kene ingak sokmo pasal negara kita ini
Kite pertahankang kita sayangi
Tempat kite berpijak tempat kita mencari rezeki
Di bumi bertuah ini
Kita doakan moga kekal aman damai dan makmur sekali
Selamat menyambut merdeka 31 Ogos kekgi...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, August 29, 2010 0 orang royak doh

Bulang ni kite pose
seme bende kene jage
tingkah laku juge kate
jangang duk suke ngate
kekgi tamboh dose

Bulang ni kite pose
taing gi beli makanang segale
jangang bazir belanje
kekgi taing buke
dok abih tohok buang saje

Bulang ni kite pose
kalu masok banyok pung dakpe
sedekoh sikek ke jirang kite
buleh jugok tangboh pahale
dok rugi sikek pung pade kite

Bulang ni kite pose
masuk garek kite buke
makang kuih teranung kite
sedak sangak sapa lupe
sapa seeh perut pening pale
waktu garek nok abih doh le
dok dang starang kejor mase
solat garek abih gitu aje

Bulang ni kite pose
Kerja kuak macang biase
cari rezeki hok halal belake
jangang tidur sebak ngantuk mate
pose pose gok, kije kene buak dokleh buang mase
jangang lepak duk ngate orang kiri kanang kite
Malaikat duk catat kire
setiap amalang kite
ingatlah ini bulan pose
tapi kene ingat sokmolah kite
bukan bulan pose saje
hari laing bulang laing pun kene jage-jage
hidup buat baik orang pun suke ke kite


Bulang ni kite pose
lepah buke kite gi balai soh masjid kapong kite
jemaah rama geng-geng kite
penuh masjid buat tarawih ikut imam kite
pahtu jangang lupe
bayor zakat fitrah ke amil-amil kite
jangang sapa lepah raye
awal Ramadhan sapa sebelum solat raye
buleh bayor takdok hal buleh belake
tapi ingak jangang selepah raye


Bulang ni kite pose
sapa abih bulan pose
kite raye
pakai serba baru belake
tamboh pahale
mari kite bergembire
same-same keluarge kite
sanak saudara kerabat keluarge
mitok maaf ampun segale
atah dose kalu terbuat terkate
budok-budok pulok suke pitih raye
makang sikek kuih tunggu tuang rumah bui sapo raye
pah dapak gi rumoh laing pulok doh cepatnye
dok dang dok dang salang teruh turun tanoh cepat jalanye
tulah budok-budok kite
Ape-ape pung kite jupe
Bulan Ramadhan tahun depang pule...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, August 26, 2010 0 orang royak doh











Sungguh tinggi menara azan
Di tengah kampung azan bergema
Masjid cantik namanya Nur Ehsan
Padang Jambu tempat letaknya



Masjid Nur Ehsan Padang Jambu yang terletak di Kampung Padang Jambu berhampiran dengan Jalan Nibong Stesen, Dungun, Terengganu ini merupakan masjid yang baharu dibina menggantikan masjid lama yang terletak di kawasan yang sama. Struktur binaan daripada konkrit bercirikan senibina tradisional dan moden.

Di kawasan masjid ini disediakan wakaf-wakaf tempat berehat, tempat letak kereta yang luas, dan fasiliti-fasiliti yang cukup untuk digunakan oleh jemaah dan kariah. Antara tokoh yang dikenali yang berkaitan dengan masjid ini ialah Allahyarham Tok Bilal Cik Harun yang juga dahulu mengusahakan kedai runcit di kawasan bekas Stesen Keretapi Nibong atau dikenali sebagai The Mel.

Masjid ini menjadi tumpuan kariah atau jemaah sekitar Kampung Nibung Bawah, Jalan Lembah Sungai Buaya, Kampung Sungai Buaya, Kampung Bukit Chatak, Kampung Bukit Tebuk dan kampung-kampung lain yang agak dekat dengan masjid ini.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, August 25, 2010 0 orang royak doh







Ampun dan taubat tidak bertepi
Hidup beramal hidup berkat
Masjid Pak Sabah pilihan hati
Tempat bersolat tempat munajat



Masjid Pak Sabah atau Masjid Kampung Pak Sabah yang terletak di Kampung Pak Sabah, Dungun, Terengganu terletak agak tersorok di simpang jalan tepi Jalan Utama Kuantan-Kuala Terengganu. Perlu bertanya orang di sekitar Bandar Dungun jika mahu ke sini.

Gambar-gambar di atas adalah masjid baharu yang telah lama siap menggantikan masjid lama di kawasan yang sama yang struktur binaannya banyak dari kayu. Mengikut sejarah Masjid Pak Sabah ialah merupakan rumah yang dihadiahkan oleh Che Musa pada tahun 1963. Beliau adalah anak kepada Allahyarham Haji Yusof yang merupakan pembuka dan pengasas Kampung Pulau Serai, Dungun, Terengganu. Setelah Allahyarham Haji Yusof meninggal dunia pada tahun 1913, rumahnya tiada diduduki, maka anaknya iaitu Che Musa menghadiahkan rumah tersebut untuk dijadikan Masjid Pak Sabah.

Satu lagi catatan sejarah masjid ini ialah tokoh yang menjadi pengajar agama Islam di masjid ini ialah Allahyarham Khatib Haji Ibrahim bin Khatib haji Abdul Rahman. Beliau memulakan pengajaran pada tahun 1958, dan beliau juga merupakan pengasas masjid ini yang didirikan pada tahun 1964. Sebelum itu masjid ini merupakan masjid yang kecil sahaja.

Masjid ini dinamakan Pak Sabah mungkin kerana mengambil nama tokoh dan nama kampung tempat masjid ini dibina. Allahyarham Pak Sabah mengikut cakap-cakap orang di Dungun dipercayai ialah Allahyarham Mat Salleh yang merupakan Pahlawan Sabah yang menentang penjajahan British. Jika benar adalah beliau makanya beliau mungkin menggunakan taktik yang sama dengan Allahyarham Mat Kilau dan Allahyarham Dato' Bahaman yang menukarkan nama serta identiti diri dan berundur ke Terengganu. Semuanya hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, August 24, 2010 5 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir