Showing posts with label Kembara Muzium. Show all posts
Showing posts with label Kembara Muzium. Show all posts

Muzium Dungun antara muzium muda di negara kita yang baru menapak dan baru beroperasi dalam Negeri Terengganu. Ia merupakan bekas Rumah Pegawai Daerah yang dibina pada tahun 1941. Ia menyimpan pelbagai khazanah dan sejarah Dungun yang telah lama wujud di sebelah Pantai Timur Semenanjung di Kepulauan Alam Melayu ini.


Terletak di Jalan Besar Yahya Ahmad (Allahyarham Yahya Ahmad merupakan seorang bekas guru dan tokoh koporat di negara kita yang berasal dari Dungun) yang dibuka pada setiap hari Sabtu hingga Khamis dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan masuk adalah percuma. Ia ditutup pada hari kelepasan am dan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha - Hari Raya yang pertama dan kedua sahaja. Aku menggalakkan penduduk setempat terutama anak-anak muda ziarah ke sini untuk mengetahui dan menambah pengetahuan berkenaan sejarah daerah sendiri. Galakkan untuk mengenali sejarah daerah kita sendiri patut dipupuk kepada anak-anak muda sekarang.


Papan tanda menarik di muka pintu masuk.


Kaunter salam menyambut pengunjung.


Paparan sejarah Rumah Pegawai Daerah Dungun yang kini menjadi Muzium Dungun.


Biodata daerah kita.


Sedikit sentuhan sejarah awal.


Hasil khazanah yang dipaparkan.


Tembikar-tembikar yang ditemui dalam Kapal Wanli yang karam di perairan Dungun.


Perhatikan tembikar sebelah kiri dari Dinasti Ming. Terukir Doa Makan!


Lagi hasil khazanah yang dipamerkan.


Hasil mineral dan alatan dari tinggalan Perlombongan Bukit Besi.


Sejarah ringkas tentang Peristiwa Penting dan tokoh-tokoh silam di daerah Dungun, antaranya Almarhum Sultan Yahya Siak dan Allahyarham Panglima Tambun.


Penerangan tentang Rantau Abang dan Pulau Tenggol.


Menarik! Ikan terkecil di dunia dijumpa Hutan Simpan Bukit Bauk. Ikan terkecil di dunia jenisPaedocypris yang berukuran 7.9mm.

Rel landasan keretapi zaman Bukit Besi yang dijumpai semasa kerja-kerja ubahsuai jalan di Bandar Dungun di kawasan Sura Gate.


Setelah tamat meneroka sejarah Dungun, jangan lupa menulis sedikit catatan pengalaman anda dan pendapat yang membina bagi menambahbaikan muzium kita ini. Sepanjang perjalanan meneroka sejarah di muzium ini anda akan dipandu oleh kakitangan muzium ini dan memberi sedikit penerangan kepada anda bagi mendapat maklumat dan pengetahuan yang lebih jelas. Gambat-gambar yang dipamerkan di blog @Dungun ini hanya sebahagian dari apa yang dipamerkan di Muzium Dungun. Nak tengok lagi, jom pakat gi Muzium Dungun!

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, July 27, 2011 2 orang royak doh

Muzium Dungun di waktu pagi.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, May 26, 2011 0 orang royak doh


Jangan diingat hanya di kuala,
Di Dungun juga ada tempat simpanan,
Muzium Dungun itulah namanya,
Simpanan khazanah zaman berzaman...


Muzium Daerah Dungun - gambar yang diambil pada waktu malam. Sedikit maklumat untuk anda :

"Bangunan Muzium Daerah Dungun ini adalah bekas kediaman rasmi Pegawai Daerah. Ia telah dibina pada 1941 di lot bernombor 3585 dan juga merupakan nekas tempat kediaman Penasihat British yang melawat daerah ini pada ketika itu. Di dalam ruang dalamnya kita dapat melihat pelbagai artifak dan koleksi yang menjadi lambang atau ikon daerah yang dinamakan bersempena nama pokok ini. Di antara koleksi penting ialah seramik daripada kapal karam Portugis, barangan artifak dari kapal China zaman Maharaja Wanli (1573-1620) daripada Dinasti Ming, bijih besi, gelang batu, alat-alat muzik kesenian daerah, gambar-gambar tokoh tersohor serta gambar-gambar peristiwa bersejarah yang berlaku di daerah Dungun.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, June 29, 2010 0 orang royak doh

Rumah kayu berserambi besar,
Tempat teduhan anak-anak mengaji,
Rumah Bujang Berserambi Berselasar,
Itulah rumah nama diberi.

Emosi dan mood pantun penulis menukilkan gambaran rumah lama ini. Hayati maklumat daripada Muzium Negeri Terengganu :

Pemilik asal rumah ini ialah Tuan Haji Abdul Kadir atau lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Abdul Kadir Kolam. Rumah ini dipercayai telah dibina pada tahun 1885 oleh anak-anak murid beliau secara bergotong-royong.

Selain daripada ruang ibu dan berserambi, rumah ini ditambah dengan satu lagi ruang yang dinamakan SELASAR yang berfungsi sebagai ruang untuk mengajar mengaji, menjahit pukat atau jala dan aktiviti-aktiviti yang banyak melibatkan kaum lelaki. Sebahagian dinding rumah ini dihiasi dengan ukiran dan lubang-lubang angin.

Rumah ini telah dihadiahkan kepada Muzium Negeri Terengganu oleh Tuan Haji Hashim Bin Mohamad pada tahun 1997 dan didirikan semula di tapak ini pada tahun 1997.

Di bahagian tepi rumah yang berdinding kayu dan ada sentuhan ukiran dan lubang-lubang angin.


Anak tangga ke pintu masuk utama rumah yang unik dan kemas seninya.


Di bahagian sisi dan belakang rumah.


Di bahagian belakang rumah dan kelihatan tangga yang sama bentuknya dengan ruang hadapan.

Terengganu penuh budaya salam,
Tersohor dunia seni budaya,
Tamat sudah jejak rumah silam,
Nantikan lagi paparan kota...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, May 27, 2010 3 orang royak doh

Jalan Hiliran asal berteduh,
Kini muzium tempat pindahnya,
Berkayu kembung berdinding buluh,
Rumah Bujang Berpeleh nama masyhurnya.

Terasa ingin berpantun bila singgah di sini. Terasa klasik jika dihidang secawan kopi dan kuih -muih dihidang pula di dalam talam tembaga. Maklumat daripada Muzium Negeri Terengganu menyatakan :


Rumah Bujang Berpeleh ini pada asalnya dimiliki oleh Hajjah Hasanah Bt. Kassim dan terletak di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu. Pada tahun 1986, rumah ini didirikan semula di tapak sepertimana sekarang.

Rumah Bujang Berpeleh ini terbahagi kepada beberapa ruang iaitu ruang hadapan, ruang rumah ibu, dan ruang dapur. Ia juda dilengkapkan dengan tingkap pendek dan tingkap panjang yang dikenali sebagai PINTU MALIM. Tiang rumah yang tinggi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada penghuninya untuk menjalankan aktiviti seharian seperti menganyam dan bertenun songket. Lantainya yang disusun rapat dan jarang membolehkan proses pengudaraan dari atas rumah ke bawah atau sebaliknya berlaku dengan berkesan.

Dinding rumah pula dianyam daripada bahan buluh dengan corak SIKU KELUANG dan di selang seli dengan dinding KAYU KEMBUNG.


Di bahagian belakang rumah.

Pantun seterusnya :

Desa kampung jadi rinduan,
Rumah keluarga ingin jejaki,
Ada lagi perlu dipaparkan,
Tunggu sahaja sabar menanti...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, May 26, 2010 1 orang royak doh

Jangan singgah dok dang le le,
Jika bertandang ke rumah bonda,
Rumah purba Rumah Tele,
Indah seni tiada tandingannya.

Sedikit sajak penulis nukilkan untuk menggambarkan Rumah Tele iaitu rumah tradisional Terengganu-inilah rumah rasmi bagi negeri Terengganu bagi menggambarkan nilai seni binaan dan konsep hasil kerja tangan orang-orang Melayu Terengganu. Sedikit infomasi tentang Rumah Tele ini (info daripada Muzium Negeri Terengganu) :


Perkataan TELE bererti bangunan atau rumah di bahagian belakang yang bersambung dengan istana yang dikhaskan untuk kaum perempuan. Rumah Tele ini telah dibina kira-kira awal tahun 1888 oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III dalam kawasan Istana Maziah. Rumah Tele yang dibina dalam bentuk tradisi bangunan Melayu Terengganu ini mengandungi 80 keping dinding kayu berkembung, 24 keping bersobek, 24 keping dinding diukir dengan ayat Al-Quran dan 4 keping dinding di atas pintu besar berukir dengan Syair Burdah.

Raja Rama V Chulalongkorn, Raja Thailand dengan pengiring-pengiringnya pernah beristirehat dalam bangunan ini semasa lawatannya ke negeri Terengganu pada bulan September 1888. Penghuni utama bangunan ini ialah Cik Khalthum Binti Haji Daud salah seorang isteri Baginda Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III dan kemudiannya menjadi tempat kediaman dua puteri Baginda iaitu Tengku Nik Hajjah dan Tengku Ngah Hajjah.

Bangunan ini didirikan semula di atas tapak di Jalan Negara, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 19hb. Mac 1970 (12hb. Muharram 1390 H) dalam satu upacara ringkas. Ini dapat dijayakan dengan usaha Tan Sri Datuk Mubin Sheppard Al Haj dan sumbangan Eastern Mining & Metals. Co. Ltd.

Pada 6hb. Julai 1987, bangunan ini telah didirikan semula di atas tapak yang ada sekarang dalam kawasan Kompleks Muzium Negeri Terengganu di Kampung Bukit Losong, Kuala Terengganu. Bangunan ini diletakkan di bawah kawalan Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan menjadi satu bahan warisan sejarah negeri Terengganu khasnya dan Malaysia amnya.

Suasana matahari petang menggambarkan kedesaan di kampung Melayu zaman silam.


Kawasan bertangga ini ialah kawasan belakang rumah.

Sedikit pantun :

Rumah utuh berkayu cengal,
Dibina ayahanda untuk keluarga,
Khazanah lama perlu dikenal,
Tunggulah sahaja entri seterusnya...

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Penulis mengembara ke zaman silam. Kompleks Muzium Negeri Terengganu ini amat luas sebenarnya. Beberapa kawasan kosong di luar bangunan diletakkan koleksi rumah-rumah lama bercirikan tradisional Terengganu. Kawasan yang terletak berhampiran dengan Galeri Pelayaran dan Perdagangan adalah kawasan letaknya rumah-rumah kayu cengal yang masih utuh dan kuat. Ketika itu penulis berada waktu petang di mana terasa seperti berada di alam perkampungan zaman dahulu kala. Ikuti penjelahan penulis.

Istana Tengku Long. Sedikit penerangan tentang istana ini (info daripada Muzium Negeri Terengganu) :


Istana Tengku Long telah dibina pada tahun 1904 oleh Cik Hat, iaitu salah seorang tukang terkenal dari Negeri Pahang serta dibantu oleh beberapa tukang yang lain. Tapak asal istana ini terletak di kira-kira 30 meter daripada Sungai Besut di Kampung Raja (sekarang dikenali dengan nama Kota Putra). Kemudiannya istana ini didiami pula oleh menantunya, iaitu Tengku Sulong.

Struktur binaan istana ini adalah berasaskan jenis Limas Bungkus atau Perabung Limar. Istana ini mengandungi beberapa bahagian seperti ruang mengadap, surung, bilik santapan, serambi, bilik beradu, serta jemuran. Untuk menambahkan keindahannya, istana ini turut dihiasi dengan pelbagai jenis ukiran yang terdiri daripada motif awan larat, flora, geometrik serta kaligrafi. Sebahagian besar bahan istana ini adalah terdiri daripada kayu cengal yang diperolehi dari hutan di sekitar daerah Besut.

Istana Tengku Long ini telah dibeli oleh Badan Warisan Malaysia pada tahun 1984 dan kemudiannya diserahkan kepada Lembaga Muzium Negeri Terengganu untuk kerja baik pulih dan pengurusan seterusnya. Pada bulan april 1986, istana ini telah dibawa ke Kuala Terengganu dan didirikan semula di kawasan Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong ini.


Kiralah berapa tiangnya?


Kawasan lambo/lambur atau serambi/beranda/verandah.


Pintu masuk utama yang bertangga dan ukiran di dinding yang begitu klasik dan halus pahatan seninya.

Istana lama istana silam,
Bentuknya asyik dan penuh kayuan
Sila jengah memberi salam,
Nantikan lagi pelbagai paparan...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, May 25, 2010 0 orang royak doh

Kembara Muzium bersambung dengan Galeri Pelayaran dan Perdagangan. Galeri ini terletak di tebing Sungai Terengganu dan terdapat sebuah rumah bercirikan rumah tradisional Terengganu juga. Di bahagian halamannya terdapat dua buah bot atau perahu besar.

Semasa lawatan penulis, salah satu bot ini dalam proses pembaikian. Berhampiran dengan kawasan galeri ini juga terdapat wakaf besar tempat beristirehat setentang dengan Sungai Terengganu. Boleh istirehat sambil menghirup udara yang nyaman di situ seolah-olah berada di perkampungan nelayan. Di galeri ini juga memaparkan peralatan tradisional membina perahu.

Galeri Pelayaran dan Perdagangan dari kejauhan. Kelihatan rumah berciri tradisional Terengganu dan sebuah perahu besar.

(Nota : Selepas ini entri rumah klasik dan silam)

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Di kawasan Kompleks Muzium Negeri Terengganu ini terdapat pameran kenderaan lama dan antara yang menarik perhatian penulis ialah kepala keretapi dan gerabaknya yang digunakan pada zaman perlombongan bijih besi di Bukit Besi, di Dungun, Terengganu. Ia diletakkan di kawasan yang berbumbung di kawasan agak bertanah tinggi tetapi agak terselindung dari ruang pameran yang lain.


Kepala keretapi atau lokomotive berwarna merah yang terletak di kawasan berbumbung. Jika mahu mencari ruang letaknya sila cari kafe muzium dan kedai jualan cenderamata berhampiran ruang tempat letak kereta. Ruang keretapi ini terletak di belakang kafe tersebut.


Gerabak keretapi. Klasik dari kayu berwarna biru.


Ruang tempat duduk berbangku kayu. Ini mungkin cukup selesa pada waktu itu.


Hitachi Ltd. Tahun 1961. Agak klasik dan lama.


Ruang enjin dan enjin berwarna hitam.


Lagi kawasan enjin.

(Nota : Entri seterusnya untuk kembara muzium...nantikannya.)

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, May 24, 2010 0 orang royak doh

Kembara di dalam bangunan Muzium Negeri Terengganu. Sambungan dari entri terdahulu.

Pintu masuk bertangga bak istana zaman silam.



Sebelum masuk ke Muzium Terengganu berbentuk Rumah Tele ini yakni rumah tradisional Terengganu, perlulah membeli tiket dahulu yang berharga RM 5.00 untuk dewasa. Di bahagian pintu masuk utama ini terdapat gerai jualan buku sejarah dan cenderamata dalam harga yang berbaloi. Bagi yang ingin mendapatkan buku tulisan karya Allahyarham MISBAHA berkenaan sejarah Terengganu, boleh didapati di sini. (Tulisan di bawah ini memerlukan imiginasi anda kerana penulis tidak dapat menangkap gambar atas arahan larangan pihak muzium).

Apabila kita masuk ke dalam sedikit, kita akan ternampak batu bersurat yang asli. Batu Bersurat negeri Terengganu ini menceritakan perihal pemerintahan undang-undang Islam di negeri Terengganu pada masa dahulu. Terasa aura kelainan apabila batu ini didekati-mungkin kerana aura purba dan kemegahan Islam pada waktu itu menerkam jiwa. Dalam menikmati pembacaan sejarah batu bersurat ini terdengar dari dalam bunyi-bunyian gamelan yang begitu menambahkan lagi rasa seperti berada di istana zaman silam. Ditambah lagi dengan suasana malap dan mata melihat sekitar berwarna purba (warna coklat).

Selepas membaca pahatan tulisan batu bersurat tersebut, anda pasti pula akan terpesona dengan galeri tekstil dan kain yang datangnya dari pelbagai negara. Corak warna-warni dan jenis-jenis kain menambahkan lagi pengetahuan anda. Di bawah aras ini pula anda akan boleh pergi ke Galeri Ilmu Kejadian. Perjalanan ke galeri ini anda perlu menuruni anak tangga (yang agak menyeramkan-mungkin galeri ini membawa rasa sesuatu). Di Galeri Ilmu Kejadian, anda akan boleh mendapati pelbagai haiwan yang diawet, dari jenis haiwan yang merangkak di dalam hutan, berenang di lautan hinggalah kepada pelbagai jenis burung. Jadi, tertambahlah lagi pengetahuan anda.

Keluar semula dari galeri ini (dengan menaiki anak tangga semula ke arah Galeri Tekstil) anda boleh ke tingat atas untuk melihat Galeri Islam-yang menunjukan pelbagai kitab karya tulisan Ilmuan Agama pada waktu dahulu dan pelbagai barangan yang berkaitan dengan Islam. Apa yang menarik di galeri ini ialah tulisan surat-surat bekas Menteri besar Terengganu iaitu Datro' Seri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad semasa menjadi pelajar di Universiti Al-Azhar , Mesir dahulu ada dipamerkan. Satu lagi yang menarik yang dipamerkan di sini ialah falsafah rekabentuk Rumah Tele-rumah tradisional Terengganu ini mempunyai kaitan dengan konsep Islam. Dari bentuk tunjuk langit atau dinamakan KEPALA yang terletak di atas bumbung (bongkah kayu berukir di atas bumbung), bentuk bulatan atau matahari, bentuk bumbung, bentuk dinding hinggalah ke lantai semuanya mempunyai maksud tertentu dan dikaitkan dengan Islam. Begitu kagum sekali.

Galeri Sejarah-pula banyak menunjukkan lukisan-lukisan yang menggambarkan sejarah pada waktu dahulu seperti peristiwa Tok Kaya Mengamuk, gambar-gambar zaman penjajahan Jepun, zaman perlombongan Bukit Besi dan pelbagai lagi.

Galeri Diraja mempunyai banyak gambar-gambar peristiwa dan kenangan Kesultanan Negeri Terengganu Darul Iman-dari pemerintahan kesultanan terdahulu hinggalah sekarang. Galeri kraf pula banyak menunjukan alatan kraf dan alatan suri zaman silam di negeri Terengganu, dari kukur kelapa, acuan kuih dari kayu hinggalah kepada barangan tembaga yang begitu sinonim dengan negeri Terengganu.


Jambatan yang menghubungkan antara kompleks bangunan ke kompleks bangunan yang lain.


Menara tinggi-seperti menara peninjau kubu perang zaman silam.


Pintu Masuk ke Galeri Petroleum. Galeri Petroleum pula banyak memaparkan sejarah dari bentuk gambar dan alatan serta produk petroleum dan petrokimia.

(Nota : Nantikan sambungan entri kembara penulis di Kompleks Muzium Terengganu)

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Perkarangan Muzium Negeri Terengganu di Bukit Losong. Muzium negeri ini mempunyai keindahan senibina yang unik dan tersendiri. Walaupun ia dibina daripada konkrit tetapi ia tetap mempunyai ciri-ciri seni tradisi negeri Terengganu. Kita boleh melihat melalui senibina bumbungnya, pelehnya (Pemilis/Pemeleh), ukirannya dan dinding-dinding konkrit seolah-olah ia dibina dengan kayu dan berbingkai. Lihat sahaja gambar-gambar di bawah ini.


Pintu Masuk Utama. Ucapan Selamat Datang dan berpintu gerbang dengan senibina Terengganu. Awalan yang cukup mengujakan kepada pecinta seni bina Terengganu.


Surau di pintu pagar masuk utama. Seedikit sentuhan asli Terengganu pada pelehnya (Pemilis/Pemeleh), kayu kepala pada bumbung (tunjuk langit), dan bentuk matahari yang bersinar (sila lihat kayu warna putih berbingkai dan berkaca/bercermin warna-warni di bawah bumbung berhampiran pembesar suara).


Marmar mungkin batuan granit daripada Tourism Malaysia yang memahat sedikit penerangan tentang muzium ini.


Pameran kenderaan- kapal terbang kecil di perkarangan muzium.


Ukiran halus konkrit di dinding seumpama diukir pada kayu. Cantik dan halus seninya.



Susunan meriam di bawah menara dan bangunan seolah-olah kubu perang.


Menara seperti wakaf. Klasik dan purba dengan seni bentuk tiang dan bumbungnya.


Sedikit sentuhan pergola di laluan jambatan kolam ke arah tangga pintu masuk utama Galeri Muzium Negeri Terengganu.


Kolam yang tenang dan airnya kehijauan-mungkin seperti di perkarangan istana dahulu kala.


Dari kejauhan tersergam seperti istana di puncak tinggi. Bangunan semirip istana purba ini adalah Blok D dan merupakan dewan. Ia ditutup kepada pelancong.



Umpama wakaf besar yang bagai menyambut kehadiran pengunjungnya.

(Nota : Gambar-gambar di dalam galeri di dalam muzium ini tidak dapat diambil kerana arahan larangan daripada pihak Muzium Negeri Terengganu. Di dalam bangunan muzium mempunyai pelbagai galeri iaitu Galeri Islam, Galeri Diraja, Galeri Perikanan & Taman Laut, Galeri Pelayaran & Perdagangan, Galeri Ilmu Kejadian, Galeri Sejarah, Galeri Tekstil, Galeri Petroleum dan Galeri Kraf. Nantikan entri seterusnya berkenaan pengalaman Awang di dalam galeri-galeri tersebut.)

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, May 11, 2010 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir