Showing posts with label Sajian Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Sajian Terengganu. Show all posts

Kedai ini menjual kayu keramat. Keramatkah kayu ini? Tidak! Bukan! Bukan kayu raja segala kayu. Bukan ibu segala kayu. Ini kayu keramat a.k.a CAKOI-kalau di sebelah Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Sejenis kuih di Terengganu-boleh menjadi sarapan pagi, juadah petang, malam pun buleh cicah air milo atau teh susu (teh). Tengahari belum menjadi juadah-tetapi kalau balik kampung di Terengganu aku makan aje. 

Kiriman gambar dari sahabat aku-kedai yang menjual sajian ini katanya terletak di wilayah Kampung Pak Tuyu dengan Kampung Gong Pak Jin. Aku pun tidak mahir di wilayah sana. Kalau ada pembaca yang mahir di wilayah mana kedai ini mungkin boleh membantu memberitahu wilayah letaknya kedai ni.

Kedai Kayu Keramat. Memang Kaw!

Entri sebelum ini-pautan ke Hollywood of Terengganu.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, January 7, 2013 2 orang royak doh

Laut malam lampu gemerlap
Tanda musim mencadat menjelma
Ketupat sotong sungguhlah sedap
Mana cukup seekor sahaja?


Memang sedap ketupat sotong. Aroma bau kuahnya. Rasa sotong yang lembut. Rasa enak pulut yang disumbat bak ketupat di dalam badan sotong tak cukup semangkuk. Agak-agak masterchef dunia boleh celen tak mokcik-mokcik kampung memasak ketupat sotong ini? Samakah rasanya?



Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, June 1, 2012 0 orang royak doh


Bubur Lambuk adalah sajian berbuka puasa yang merupakan sajian yang sinonim pada bulan Ramadhan. Di Terengganu mempunyai sajian bubur lambuk tersendiri dan amat berlainan dengan bubur lambuk sebelah pantai barat. Bubur Lambuk Terengganu warnanya ialah agak kelabu dan mempunyai rasa ikan dan bersayur terdiri daripada pucuk paku, daun kesom, daun kunyit dan kayu manis. Bubur Lambuk Pantai Barat berwarna putih dan diletakkan potongan kecil ayam, atau daging dan hirisan lobak. Bubur Lambuk Terengganu ini jarang untuk didapati di pasar-pasar Ramadhan. Kebanyakkannya ia di masak oleh suri-suri rumah mahupun boleh didapati majlis-majlis berbuka puasa di masjid, surau ataupun di majlis yang diadakan oleh muslimin.

Rasa antara kedua-dua bubur lambuk ini amat berbeza. Dua-duanya sedap tetapi pilihan penulis ialah tetap kepada Bubur Lambuk Terengganu.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, September 6, 2010 0 orang royak doh

Nekbat dimasak untuk berbuka
Jangan lupa bubur lambuk
Selamat datang Bulan Puasa
Banyakkan ibadah jangan tersengguk

Pulut Lepe dipanggang berasap
Sata dibeli Pasar Ramadhan
Mulut dijaga kurang bercakap
Perkara Lagha perlu jauhkan

Kuih Akok sangatlah manis
Lompat Tikam samalah juga
Bercakap baik janganlah sinis
Ganjaran pahala menanti kita

Kuah Laksam darinya ikan
Dimakan bersama ulam dan sambal
Zikir dan Selawat jadikan amalan
Hidup berkat selalu beramal

Ketupat Palas digoreng petang
Pulut kelapa digaul bersama
Al-Quran dibaca di waktu siang
Tarawih dan Taddarus di malamnya pula

Lauk pauk nasi sayuran
Kuah Golek ulaman diserta
Sedekah jariah kita amalkan
Untuk saudara hati gembira

Soya, tebu bermacam air
Disaji Pais rempah dan ikan
Masak lebih tidak membazir
Sedekahlah ke jiran rakan dan taulan

Kuih Hasidah dan Kole Kacang
Pemanis mulut sewaktu berbuka
Zakat Fitrah dibayar siang-siang
Jangan dibayar selepas raya

Tepung Bungkus Tepung Pelita
Kuihnya manis enak sekali
Datang raya kita gembira
Jangan lupa maaf-memaafi...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, August 20, 2010 0 orang royak doh

Nekbak atau nama formalnya Nekbat Terengganu adalah juadah yang boleh secara banyak didapati pada Bulan Ramadhan. Sajian ini adalah sajian untuk berbuka puasa di Terengganu. Nekbat yang belum masak atau nekbat mentah yang seakan mirip kuih baulu banyak dijual di pasar-pasar besar atau pasar kecil pekan yang boleh dibeli kemudiannya pada waktu petang suri-suri rumah akan memasaknya dengan daun pandan air dan ketika air menggelegak beberapa sudu gula diletakkan sehingga masak. Nekbat ini akan menjadi lembik dan kembang dan daun pandan berfungsi untuk mewangikan juadah ini.

Nekbat mentah boleh disimpan lama di dalam peti ais, manakala Nekbat yang telah dimasak perlu dihabis makan dengan segera kerana jika disimpan lama ia mudah pecah dan terlalu kembang.

Nekbat ini dihidangkan dengan kuah air bergula tersebut dan juadah ini terasa manis sekali. sila hidangkan juadah ini dengan air kosong kerana kemanisan kuih Nekbat boleh mengganggu rasa air manis iaitu jika anda meminum air manis anda tidak akan rasa kemanisan air tersebut dek kerana manisnya Nekbat.



"Rasailah kemanisan Nekbat-Terengganu's Pudding."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, August 18, 2010 0 orang royak doh

Ayam Golek.


Ikan Golek.



Bulan puasa masakan Ayam Golek dan Ikan Golek ini amat mudah didapati di pasar-pasar Ramadhan. Masyarakat luar Terengganu mengenalinya sebagai masakan percik. Ayam atau ikan yang dipanggang dahulu kemudian dicelup gaul dengan kuah yang antara bahannya adalah santan kelapa. Kuah ini berwarna kuning bata lembut. Kuah Ikan Golek ini elok dimakan dengan nasi putih dan dicicah dengan kicap berlada atau sambal belacan. Manakala kuah Ayam Golek boleh dimakan dengan nasi putih sahaja atau diratah dengan mencicah kuahnya sendiri.



"Beli lebih untuk simpan panas kembali makan waktu sahur."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, August 17, 2010 0 orang royak doh

Lompat Tikam. Bunyinya seperti perbuatan negatif tetapi ini adalah nama sajian tradisi Terengganu. Kenapa dinamakan begitu tidak diketahui? Keunikan dan kegerunan pada namanya tidak selari dengan rasanya yang manis dan lemak. Kuah hitam pekat yang manis dan lemak santan pada isinya menjadikan kuih ini terlalu manis dan lemak. Elok dimakan sekali sahaja dan ulang makan pada waktu lain. Satu nasihat ketika memakan juadah ini elok anda hanya meminum air kosong sahaja bukan air manis lantaran manis juadah ini mungkin membuatkan rasa air yang manis tidak terasa apa-apa.

Kuih Sum-Sum atau Bubur Sum-Sum adalah kuih yang seakan-akan mirip Lompat Tikam cumanya ia berwarna putih sahaja. Kuahnya sama seperti kuah Lompat Tikam iaitu berwarna hitam pekat dan rasanya manis.

Lompat Tikam-mungkin idea untuk memberi nama juadah ini sedemikian kerana orang yang merasainya akan terasa ingin melompat dek kerana rasa manis dan menikam-nikam kuih tersebut dengan garpu lantaran ketiadaan sudu untuk mencedoknya-Buleh diterima?


"Lompat Tikam. Orang. Makan. Pagi. Atau .Tengahari. - LOMPAT."
"Tak. Ikut. Kisah. Atau .Masa. - TIKAM."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, August 16, 2010 0 orang royak doh


Laksam yang terdiri daripada adunan tepung beras dan tepung gandum berkuah putih ikan berulam potongan hiris kobis, mentimun, daum kesum, kacang panjang dipotong pendek, dan taugeh (orang Terengganu memanggilnya sebagai cangboh), serta perahan sedikit limau nipis, sedikit lada lumat (cili boh) , belacan dan garam sedikit menjadi penambah rasa dalam sajian ini.

Juadah Laksam berbentuk seumpama kue teow, penulis lebih gemar memanggilnya sebagai Terengganu's Pasta, merupakan sajian tradisional masyarakat dalam negeri Terengganu yang boleh diketengahkan ke arena sajian antarabangsa terutama kepada orang-orang Jepun yang juga merupakan pemakan ikan tegar. Mungkin boleh dibuka restoran di sana? Itu satu cabaran.

Sajian boleh didapati di pasar malam atau gerai-warung makan di hampir seluruh negeri Terengganu. Elok dimakan di waktu petang atau hampir malam dan merupakan juga sajian di bulan puasa.



"Laksam. Antara. Kuih. Sajian . Aku . Makan. -LAKSAM"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, August 15, 2010 0 orang royak doh

Apa Khabar Orang Kampung? @ AKOK.

Akok Terengganu yang merupakan sajian juadah orang kampung di Terengganu merupakan kuih yang rasanya manis lemak telur ini sungguh sedap semasa dimakan ketika juadah ini masih suam-suam panas. Juadah ini elok dimakan pada waktu petang ataupun sebagai juadah pemanis mulut ketika berbuka puasa. Elok diminum air kosong kerana juadah ini tersangat manis. Jika anda minum air manis selepas makan juadah akok ini mungkin anda tidak terasa air manis tersebut lantaran kemanisan juadah akok ini lebih terasa berbanding air manis.

Kuih akok bahan-bahannya yang terdiri daripada telur ayam, santan kelapa, nisan (seperti gula melaka) tepung beras, beberapa helai daun pandan. Adunan bahan-bahan ini dibakar dalam acuan tembaga di mana acuan ini ditutup dengan tudung dan diletakkan bara sabut di atas tudung tersebut. Acuan tembaga ini juga diletakkan di atas dapur bara api arang. Ini bermakna kuih ini dibakar dengan bara sabut di atasnya dan bara sabut atau bara arang di bawahnya. Kuih akok akan masak dalam masa setengah jam.



"Akok Akak dari Terengganu"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, August 14, 2010 0 orang royak doh



Sarok Lada atau Solok Lada Terengganu. Sajian ini merupakan adik-beradik dengan Sata Terengganu cumanya ia dikukus berbanding dengan sata yang dibakar dengan bungkusan daun pisang. Sarok Lada ini memerlukan bahan-bahan seperti isi ikan selayang atau kembung, kelapa parut muda cili besar hijau sedikit halia, beberapa ulas bawang merah, dan sedikit garam. isi ikan yang dibuang tulang ditumbuk lumat dengan kelapa muda yang telah diparut. Bawang merah dan halia ditumbuk. Semua bahan ini digaul sebati dan sedikit garam diletakkan. Cili besar hijau dibelah ditengah-tengah dan disumbat dengan bahan-bahan yang digaul tadi. Kemudian dikukus sehingga masak.

Setelah masak, sajian ini jika dimakan terasa lemak, ikan dan pedas-pedas sedikit. Elok dimakan pada waktu petang dengan jamuan teh o panas di atas geghe atau wakaf ala gazebo bersama keluarga. Sajian ini mudah didapati di pasar malam hampir seluruh Terengganu, gerai-warung dan di Pasar Ramadhan. Sajian ini boleh juga dijadikan jamuan selepas Solat Sunat Tarawih atau juadah untuk berbuka puasa.



"Hot Chili Fish of Terengganu-Sata's Family"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, August 13, 2010 0 orang royak doh

Masyarakat luar Terengganu biasanya mengenali Otak-Otak Johor. Otak-otak Terengganu amat jarang untuk dijumpai di luar daripada negeri Terengganu. Otak-Otak Johor dan Terengganu amat berbeza sekali walaupun ia masih menggunakan pembungkus daun kelapa dan dibakar atas bara arang atau kayu. Otak-Otak Johor isi dalamnya berwarna kemerahan dan isinya seperti cheese cake dan sedikit kenyal dan seperti isi sosej. Otak-Otak Terengganu pula merupakan rempah yang membalut potongan isi ikan terutamanya ikan Tenggiri. Rempah yang berwarna jingga dan terasa seperti kari dan berminyak sedikit dan ikannya pula terasa seperti ikan panggang atau ikan bakar.

Otak-otak ini dibaluti dengan daun kelapa yang dipotong pendek dan dikepilkan dengan lidi pendek di kedua-dua bahagian hujungnya. Kini ada yang menggunakan stappler untuk mengepilkannya. Semasa proses pembakarannya aroma rempah dan ikan begitu menusuk dan haruman daun kelapa juga menaikkan rasa.

Otak-Otak Terengganu seperti juga Sata adalah makanan santai atau pun sajian waktu petang. Mudah didapati di mana gerai makan tepi pantai atau tepi jalan, gerai dalam kampung dan pasar-pasar malam di Terengganu.



"Otak-Otak dimakan di tepi pantai, Minda tenang hati terbuai"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, August 10, 2010 1 orang royak doh

Sata satu makanan yang unik dan mempunyai nilai rasa tersendiri. Sukar untuk mencarinya di negeri lain lantaran ia adalah satu masalah yang asli dari negeri Terengganu. Adunan Ikan yang dibuang tulang, kelapa. bawang, cili/lada/lada hitam, gula dan garam yang dibungkus berbentuk kon atau atau seperti piramid dan dibakar atas bara arang sehingga masak menjadikan Sata ini satu makanan yang enak seperti makanan ringan tetapi baik untuk kesihatan lantaran sumber ikan yang bagus untuk kesihatan badan.

Sata yang berwarna kelabu yang dibungkus dengan daun pisang berbentuk kon atau piramid yang mempunyai lubang ditengah-tengahnya bagi memudahkan ia dicucuk pada batang besi atau potongan buluh ketika proses pembakaran atas bara arang atau kayu api menampakkan juadah ini satu makanan yang unik lain dari yang lain yang juga menggunakan teknik pembungkusan daun pisang.

Sata amat mudah didapati di negeri Terengganu antaranya di pasar-pasar malam, pasar besar daerah bahagian jualan juadah, gerai-rumah tepi jalan seperti di sepanjang pantai Marang-Kuala Terengganu dan sekitar Kampung Geliga, berdekatan Kuala Kemaman. Di daerah-daerah lain gerai-gerai makan tepi jalan ada dijual juadah ringan ini.

Rasa Sata yang penuh dengan rasa ikan, lemak kelapa dan pedas kala digigit cebisan cili tidak puas kalau hanya mencuba rasa satu sahaja. Ia enak bagaikan memakan snack yang tidak berhenti apabila merasainya. Cubalah!



"Bukan Giza tetapi Sata-itulah Piramid Of Terengganu"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, August 8, 2010 0 orang royak doh


Puluk Gau Nyo atau Pulut Gaul Nyiur adalah satu sajian pagi yang mudah didapati di mana-mana kedai makan pagi atau gerai sarapan di Terengganu. Pulut yang digaul dengan kelapa dimakan terasa manis masin dan berlemak. Jika di Terengganu anda akan didapati sajian ini akan disajikan bersama dengan ikan masin atau keropok keping goreng. Suri-suri rumah dan kaum ibu juga menjadi kebiasaan menyediakan sajian pagi ini sebagai satu sarapan untuk keluarga. Pada malam sebelumnya mereka akan menyediakan kelapa dengan menyagat dan menyimpannya sebelum esok disajikan dengan pulut.

Bagi penulis, anda boleh mencuba juga sajian ini dengan menggaulkan juga dengan ikan tongkol goreng yang panas-panas atau keropok keping goreng yang dipecah-pecahkan dan gaul dalan satu genggam tangan sebelum dimakan. Rasa adunan pulut, kelapa, ikan atau keropok yang begitu menyelerakan-rasa manis,lemak,ikan dan ranggup keropok bercampur-campur. Oishii!-Kata orang Jepun.


"Kalau mau rasa lebih sedap, ikan tongkol goreng tengahari semalam yang masih boleh dimakan, amat sedap jika esok paginya dimakan dengan pulut gaul nyiur ini-rasanya sampai peringkat G Tertinggi atau High G-Great, Glorious, Gaya, Gempak & It's Gone".

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, August 7, 2010 0 orang royak doh

Terengganu pada waktu pagi penuh dengan juadah. Kuih muih dan makanan yang agak berat iaitu nasi. Ia terdiri dari nasi lemak berkuah bilis berkuah ikan tongkol, nasi dagang berkuah ikan tongkol yang telah direbus lama dan diperam antara satu hingga ke tiga hari sebelum dimasak berkuah supaya rasa ikan itu menjadi enak. Proses rebus dan peram ikan ini orang Terengganu memanggilnya ikan mata air.

Caranya merebus dan peram ini ialah pada hari pertama ikan tongkol direbus kemudian diperam. Hari kedua proses yang sama direbus atau dihangatkan kembali. Hari ketiga juga proses yang sama dilakukan. Kemudian barulah ikan tersebut dimasak sebagai kuah nasi dagang. Rasanya enak tidak terkata. Kelebihannya rasa hanyir tidak ada. Bagi proses membuat kuah nasi lemak berkuah ikan tongkol juga sama dengan kuah nasi dagang berkuah ikan tongkol. Perbezaannya ialah ada sesetengah orang apabila proses hari ketiga telah siap, ikan tongkol tersebut digoreng dahulu sebelum ditumis menjadi kuah nasi lemak. Ada juga yang tidak menggoreng dahulu ikan tersebut, tetapi terus menumis memasaknya menjadi kuah nasi lemak ikan tongkol. Bagaimana? Rasa terliur?

Berbalik kepada cerita juadah pagi di Terengganu, kuih-muih yang mudah didapati di sini ialah kayu keramat, karipap, donut melayu, kuih paung goreng (atau kuih bom berinti ikan), jemput-jemput bilis atau pisang dan pasti semestinya keropok lekor goreng. Tidak lupa juga pulut kuning berkuah ikang tongkol (sama seperti kuah nasi dagang dan pulut kuning di Terengganu dipanggil sebagai nasi kunyit lantaran warna kuningnya bukan kerana ia dicampur dengan kunyit) dan nasi minyak berlauk kari ayam. Tidak perlu menunggu masjlis perkahwinan atau majlis-majlis lain untuk mencari pulut kuning dan nasi minyak kerana pagi di Terengganu amat mudah mencari sajian-sajian ini.


"Nasi Kunyit Nasi Dagang dan Pulut Gaul Nyo....Selamat Bersarapan"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, July 26, 2010 0 orang royak doh

Asam Gelugor. Ada orang memanggilnya sebagai asam keping. Bagi rakyat Terengganu, kami memanggilnya asang glugo. Ia merupakan penambah rencah dalam masakan orang Melayu tidak kita di negeri mana. Bagi negeri Terengganu, ia merupakan bahan utama dalam masakan Kuah Singgang. Teringat juga, masakan Kuah Singgang ini agak sama dengan masakan Kuah Pindang di negeri lain. Entri ini membuat terasa ingin memakan nasi berkuah singgang ikan tongkol cicah tempoyak sambal belacan dan berulam mentimun dan keropok keping goreng kala tengahari di atas bangku tepi pantai. Enak dan aman!



"Ikan Tongkol Singgang Cicah Sambal Tempoyak, Aduhai..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, July 18, 2010 0 orang royak doh

Di Terengganu ada Hollywood kah? Holywood atau Hollywood? Oh tidak! Tidak sama sekali. Hollywood di Terengganu boleh didapati setiap pagi, dan petang di gerai-gerai tradisi kampung atau pun ibu anda sendiri yang memasaknya. Gambar di atas itulah Hollywood Terengganu. Ia dikenali dengan nama kuih Kayu Keramat. Di luar Terengganu ia dipanggil kuih Cakoi, walaupun begitu rasanya agak berbeza sedikit kerana kuih Kayu Keramat mempunyai isi yang tebal di dalamnya, manakala isi kuih Cakoi agak nipis di dalam.

Ingat lagi tak penulis pernah menceritakan kuah nasi dagang berkuah ikan tongkol. Satu tips penulis ingin berikan ialah kuih ini memang sedap jika dicicah dengan kuah ikan tongkol nasi dagang. Hanya cubit kuih ini, cicah dengan kuah dan cubit pula sedikit ikan tongkol dan makan. Sedap enak tak terkata. Anda juga boleh juga mencicahnya dengan kuah kari kosong atau kuah kari ayam. Prosesnya sama iaitu cubit sedikit ayam dan makan. Boleh juga mencubanya dengan cicah air milo atau teh ibarat cicah biskut dengan air milo.

Perlu diingat juga, kuih ini jangan dicicah dengan Sos Terengganu. Belum sesiapa yang mencubanya. Jika tidak anda adalah orang yang pertama.


"Hollywood of Terengganu - Kayu Keramatlah!"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, July 16, 2010 0 orang royak doh


Orang Terengganu membuat sos cili dengan cara tersendiri. Dimasak air panas dalam dua cawan (dua cawan jika ingin membuat sos dalam kapasiti yang tidak banyak) dahulu sehingga menggelak. Kemudian bubuh sekérék/sekeping nisan (gula melaka/manisan) sehingga ia cair.Kemudian letakkan beberapa susu lada lumat atau cili boh di dalam bekas yang bersisi air dan nisan yang dipanaskan tadi. Akhir sekali diletakkan asam jawa atau cuka. Masak sehingga ia nampak tidak terlalu pekat atau tidak terlalu cair tetapi terpulang kepada anda. Jika anda mahupun sos anda cair tambahkan air, jika mahu pekat kurangkan air. Anda perlu sentiasa merasainya supaya ia terasa pedas manisd-manis. Sos ini apabila siap ia terasa pedas manis-manis.

Ada juga yang menggunakan teknik lain iaitu beberapa sudu cili boh yang terus dikacau bersama dengan air panas dan beberapa sudu gula dan cuka di dalam satu bekas. Kacau sehingga rasanya manis-manis pedas. Sos Terengganu ini dipanggil dengan nama cuka kerana ia terdiri daripada elemen cuka. Cuka tersebut ialah cuka untuk masakan yang dijual dalam bentuk botol banyakyang dijual dipasaran. Mudah didapati dikedai runcit.

Juadah keropok lekor atau keropok keping goreng sedap dimakan apabila dicicah dengan sos Terengganu ini.



"Sos Cili Terengganu...sedap sekali"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, July 15, 2010 0 orang royak doh

Inilah keropok keping atau kerokok kering yang pelbagai saiz. Ada yang diperbuat dari ikan selayang, ikan tamban dan ikan parang. Biasanya ikan tamban akan banyak tulang pada setiap keping permukaan keropok ini. Keropok ini untuk diratah sebelum digoreng agak keras tetapi agak sedap juga apabila dimakan seperti pop corn cuma lebih sedap juga dicicah sos. Walaupun begitu hati-hati apabila memakannya, kerana agak keras ibarat anda memakannya anda menyertai acara makan Fear Factor! - Bimbang gusi atau gigi anda berdarah!

Keropok ini akan lembut apabila terkena air. Ingat lagi tak penulis mengatakan keropok ini boleh dijadikan bahan dalam masakan singgang? Baca ini "Ada juga yang paling pelik dan unik ialah makan nasik berlauk singgang berulam keropok keping goreng (dikenali dengan keropok kering oleh orang-orang luar Terengganu). Penulis juga pernah terjumpa sajian kuah singgang ikan tongkol (ikan aya) yang dimasak sekali dengan keropok keping yang belum digoreng dan pernah merasanya - sedap sekali!"


Keropok keping yang digoreng ini lebih selamat untuk anda memakannya berbanding yang belum digoreng melainkan anda seorang yang aggersif , béngkéng dan ekstrim dalam perihal makanan. Jika anda ingin mengetahui kualiti keropok keping ini bagus dan ranggup dimakan, ialah apabila diletakkan dalam kuali minyak panas semasa menggorengnya, ia kembang elok bak bunga yang mekar pagi. Itulah kualiti keropok tersebut. Ia agak misteri dan rahsia kerana semasa anda membelinya dalam bentuk kering berpaket atau timbang kilo anda belum tahu kesedapan dan kualitinya melainkan selepas menggorengnya. Para penjual akan memberi sedikit ceramah yang menyakinkan anda untuk membelinya akan tetapi sebenarnya selepas anda menggorengnya barulah anda tahu akan kualitinya.

Jika anda pembeli yang bijak, suruhlah penjual itu menggorengnya dahulu dan memakannya , kemudian barulah membelinya jika ia berkualiti. Perlu diingat, cara ini belum dicuba oleh sesiapa, jika anda mencubanya anda akan menjadi orang yang pertama akan dibaling dengan kasut oleh penjual!!!


"Ingat! Kembang bak bunga mekar pagi"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, July 10, 2010 0 orang royak doh

Sosej Terengganu atau keropok lekor. Inilah keropok lekor yang telah direbus. Masih panas-panas dan berasaap sedikit. Sedap dimakan dikala musim tengkujuh hujan yang sejuk dan dicicah terus dengan sos Terengganu.

Sosej Terengganu ini amat mudah untuk didapati di mana-mana di Terengganu ini tidak kira pagi, petang, malam semuanya pasti ada dijual. Malah ada gerai makan pagi menyediakan sajian ini dan ada pelanggan memakannya dengan pelbagai cara - makan nasi lemak berulam keropok lekor, nasi goreng berulam keropok lekor, mee atau bihun goreng berulam keropok lekor. Ada juga yang paling pelik dan unik ialah makan nasik berlauk singgang berulam keropok keping goreng (dikenali dengan keropok kering oleh orang-orang luar Terengganu). Penulis juga pernah terjumpa sajian kuah singgang ikan tongkol (ikan aya) yang dimasak sekali dengan keropok keping yang belum digoreng dan pernah merasanya - sedap sekali!



"Kenalilah sajian Terengganu-Sausage Of Terengganu, The Heritage Dish"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, July 9, 2010 0 orang royak doh

Bukan filem bukannya wira,
Tempat singgah tempat makan,
Keropok 007 diberi nama,
Dicicah sos sedap kudapan...



Kedai Keropok 007 yang terletak di tepi jalan Kuantan - Kuala Terengganu. Jika dari arah Kuantan kedai ini terletak di sebelah kiri anda - dalam kawasan Kuala Ibai.


Keropok tanpa rebus yang terus digoreng - ranggup sekali!


Keropok Lekor adalah seumpama sushi bagi orang Jepun. Ia merupakan jajan (junkfood) bagi rakyat Terengganu seumpama juga kanak-kanak kecil yang inginkan twisties, atau makan ringan yang lain. Di seluruh daerah dalam negeri Terengganu, perusahaan penjualan keropok ada di mana-mana dan merupakan satu keutamaan dalam negeri ini. Sejarah asal-usul keropok ini elok dijalankan dan dibukukan kerana mungkin generasi sekarang mahupun zaman selepas merdeka tidak mengetahui asal-usul keropok lekor.

Penulis pernah mendapat maklumat bahawa keropok lekor juga ada diusahakan dan dijual di Kepulauan Sulawesi, Indonesia, dan mungkin ini satu hubungkait yang boleh dikaji. Mungkin hubungan kerajaan Kesultanan Melayu Terengganu pada waktu dahulu serta hubungan dagang memungkinkan keropok lekor ini adalah hasil idea bersama ataupun pemindahan budaya serta masakan menjadikan Terengganu hanya negeri yang menghasilkan keropok. Ataupun memang keropok ini adalah makanan rasmi tradisi ciptaan rakyat tempatan Terengganu. Semuanya boleh dikaji.

Bercerita tentang keropok lekor, anda pastinya mengingatkan Keropok Losong di mana Kampung Losong menjadi pusat perusahaan keropok dan penjualan keropok lekor. Penulis pula ingin berkongsi citra rasa keropok di tempat lain iaitu di Kuala Ibai, Kedai Keropok 007. Sebenarnya di Terengganu khasnya di kawasan bandar Terengganu , kedai-kedai menjual keropok dinamakan dengan nombor seperti kedai Keropok 007 di Kuala Ibai. Itulah yang unik dan pelik. Mungkin untuk memudahkan orang mengingatkan kedai-kedai yang menjadi pilihan . Setiap pembeli mungkin dan pasti mempunyai kedai pilihan tersendiri.



"Mari mengkaji asal-usul keropok lekor ini."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, July 8, 2010 1 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir