Sampai di depan salam diberi,
Adat Melayu Islam tidak dilupa,
Bersalam tangan tidak dilupai,
Tanda adab Melayu kita...

Ketika sampai di kota lama ini penulis bersua dengan dua orang pekerja di sini (kakitangan Muzium Negeri Terengganu rasanya) yang menguruskan dan menjaga Kota Lama Duyong. Berbual sekejap dengan salah seorang dari mereka sambil bertanyakan beberapa soalan yang berkaitan dengan kota lama ini. Tidak dikenakan tiket dan pelawat berpeluang untuk menikmati segala kecantikan ukiran dan seni bina tradisi Terengganu di kota lama ini.

Di bahagian depan kota ini dibina pagar konkrit dan berpintu pagar kayu seperti kota dan di dalamnya adalah rumah seperti istana dua tingkat. Di bahagian bawah adalah binaan daripada konkrit dan kayu manakala di tingkat atas adalah daripada kayu.

Setelah memasuki ruang dalam pagar, ada satu lagi pagar kecil sebelum masuk ke tempat menaiki tangga untuk ke tingkat atas rumah ini. Di dalam kawasan pagar kecil inilah kakitangan muzium tersebut menunggu dengan setia akan setiap pelawat yang datang ke sini. Tidak perlu bimbang kerana mereka ramah untuk melayan pertanyaan anda dan membantu anda.

Di dalam kawasan berpagar kecil ini juga ada ruang masuk ke bawah rumah iaitu tingkat bawah di mana beberapa pameran artikel atau gambar serta penerangan tentang kota lama ini. Sedikit maklumat yang penulis dapati dari ruang pameran tersebut :

Kota Lama Duyong ini telah dibina pada tahun 1919 dan siap pada tahun 1920 oleh Dato' Biji Sura (Nik Muhamad Bin Hitam) yang merupakan seorang hakim.

"Kota yang diperbuat daripada bahan campuran seperti madu, kapur tohor, putih telur, pasir, batu dan sebagai lagi berukuran lebih kurang 400 meter persegi dan di dalamnya terdapat beberapa rumah umpamanya Rumah Bujang Berpeleh, Limas Bungkus dan Limas Belanda. Tukang yang ditugaskan membinanya terdiri daripada Melayu dan Cina Singapura. Di dalam rumah inilah diadakan kelas belajar agama dan tempat belajar mengaji Al-Quran.

Menyedari betapa pentingnya monumen ini kepada generasi akan datang, pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian telah mengambil inisiatif membina semula kota yang rosak teruk akibat dilanda air deras ketika banjir tahun 1986. Pembinaan yang dibuat pada tahun 1996 dan siap bulan September 1999 ini berdasarkan kepada rekabentuk asal tanpa sebarang pindaan."

Gambar di bawah ini adalah antara ruang pameran yang diletakkan di ruang bawah rumah atau tingkat bawah rumah. Sila klik untuk tatapan besar.



Baru sedikit cerita kota,
Pastinya ada sambung coretan,
Baru sedikit karangannya,
Ada lagi ingin dipaparkan...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, May 28, 2010

0 orang royak doh

Post a Comment

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir