Setelah terbit mentari pagi,
Kembara pantai kembali bersambung,
Teluk Lipat nama diberi,
Pantainya panjang ke Sura Hujung...


Pantai Teluk Lipat yang terletak di daerah Dungun diberi nama kerana kawasannya berteluk dan selalu terhakis apabila datangnya musim monsun timur laut atau tengkujuh. Kawasan berteluk ini telah dibenteng dengan konkrit bagi menghalang hakisan ombak. Ia bermula dari Rumah Pegawai Daerah hinggalah ke kawasan Taman Selera. Walaubagaimana pun pelancong atau anak tempatan boleh bersantai di kawasan lain kerana pantainya terlalu panjang bermula dari muara Sungai Dungun hinggalah ke Kampung Sura Hujung di mana terletaknya Kampus UiTM Dungun dan terletak pula Banjaran Bukit Bauk dan Pantai Rekreasi Teluk Gadung. Jalan raya di sepanjang pantai ini dinamakan Jalan Pantai Sura iaitu yang bermula dari Muzium Daerah Dungun hinggalah ke Kampus Uitm Dungun.

Bagi anak tempatan, pantai yang panjang ini tidak semuanya dipanggil Pantai Teluk Lipat kerana Pantai Teluk Lipat hanyalah terletak di dalam kawasan Kampung Teluk Lipat iaitu dari Rumah Pegawai Daerah hinggalah sempadan Kampung Sura Jeti di mana terletaknya Tiang Opal. Bagi kawasan Kampung Sura Jeti, Sura Tengah dan Sura Hujung tidaklah pula dipanggil Pantai Teluk Lipat. Anak tempatan lebih senang memanggilnya dengan nama Pantai Sura Jeti, Pantai Sura Hujung dan berhampiran dengan Pantai Sura Hujung terletak pula kawasan Teluk Gadung yang bertasik dan bersambung dengan laut apabila air pasang. Jika kita menghala ke muara Sungai Dungun, kawasan pantai di situ pula terletak di dalam kawasan Kampung Tanah Lot.

Di sepanjang pantai ini terdapat banyak restoran, warung dan gerai makanan laut dan makanan tradisi sama ada dibina oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan atau dibina di atas tanah sendiri. Kawasan pantai yang terletak di Kampung Sura Jeti yang berhadapan dengan Sekolah IMTIAZ pula terletaknya kawasan permainan kanak-kanak, trek dan alatan untuk beriadah. Di situ juga terletak tinggalan sejarah zaman perlombongan bijih besi di Bukit Besi antaranya ialah Tiang Opal yang merupakan tiang jambatan untuk mengagihkan bijih besi ke kapal tongkang sebelum di bawa ke tengah laut untuk diangkut dengan kapal kargo. Kesan tinggalan lain ialah batuan dan konkrit yang masih kukuh serta kawasan ini bertanah merah kesan daripada bijih-bijih besi.

Sepanjang kawasan ini juga mempunyai beberapa hotel antaranya Mayang Sari Resort Dungun , Ulek Beach Resort dan Hotel Uitm Dungun sendiri. Sepanjang pantai ini juga terdapat gelanggang bola sepak pantai, Muzium Daerah Dungun, Rumah Tetamu Dungun, beberapa taman perumahan, dan Kelab Golf Desa Dungun. Terdapat juga pelbagai rekabentuk unik wakaf untuk nelayan dan tempat simpanan bot yang dibina oleh nelayan di sini. Kebanyakkannya dibina dengan menggunakan buluh, kayu dan beratap daun kelapa. Beberapa gambar di bawah ini adalah sedikit panduan dan panorama keindahan Pantai Teluk Lipat.


Laut membiru dengan ombak yang tenang. Kelihatan dari jauh Bukit Api yang terletak di Pantai Teluk Bidara yang bersempadan pula dengan Pantai Tanjong Jara. Daerah Dungun terlalu banyak pantai yang cantik dan senang untuk bersantai.


Alunan ombak dan pasiran yang kuning putih. Pasir basah apabila sesekali ombak mencecah daratan pasir ini.


Laut hijau dan biru. Tenang dan cuaca yang elok menambahkan keterujaan. Kelihatan Pulau Tenggol berbalam-balam dari kejauhan.


Itulah Tiang Opal seperti yang telah penulis ceritakan sebelum ini. Pokok-pokok Rhu banyak tumbuh di sekitar Pantai kampung Sura Jeti ini.



Tiang Opal tinggalan lama,
Jadi tatapan jangan robohkan,
Banyak pantai perlu kembara,
Masih di Dungun sila nantikan...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, June 10, 2010

0 orang royak doh

Post a Comment

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir