Tebing sungai tersergam utuh,
Pasar jualan barangan dapur,
Besar bertingkat begitu kukuh,
Bila membeli bayar beratur...

Pasar Besar Dungun. Pasar ini terletak di tepi Sungai Dungun yang berhampiran dengan muara sungai, jeti ke Pulau Tenggol dan pengkalan LKIM. Pasar ini dipercayai telah wujud dalam tahun 1800an lagi. Cuma pastinya ia berbeza dengan suasana dahulu dan sekarang. Ia telah dibina dengan bangunan dua tingkat di mana di bahagian bawahnya ialah tempat menjual barang basah dan kering untuk masakan, kedai-kedai makanan, gerai sayuran dan hasil laut. Di tingkat atas adalah kawasan jualan buku, majalah, tekstil, keperluan perkahwinan, kraftangan dan kedai runcit. Suasana di tingkat atas tidak bingit sebingit di tingkat bawah. Ia kerana pekikan penjual ikan saling sahut menyahut menegur pembeli, memekik harga ikan, memekik harga sotong dan hasil laut yang lain tetapi tidak memekik harga sayur-sayuran.

Makcik-makcik yang menjual kelihatan lebih santai dan kekadang menegur perlahan pembeli untuk menawarkan harga yang menarik bagi harga sayur-sayuran. Pekikan yang kuat adalah hanya datang dari pakcik-pakcik dan abang-abang penjual ikan. Kekadang mereka memanggil dan menegur serta bergurau-senda di antara mereka dengan suara yang bingit sekali. Jika ada vuvuzela Piala Dunia 2010 pasti suasana di sini makin bingit! Jadi jangan hairan, itulah keadaan biasa di pasar ini.

"Selor seghia sekilo...Selor seghia sekilo...Selor seghia sekilo...!!!" Itulah antara bingitan mereka dalam slanga tempatan.


Jalan utama dan pintu masuk ke Pasar Besar Dungun.


Ini adalah kawasan di luar bangunan pasar. Hampar tikar sudah cukup untuk menjual hasil tanaman yang pelbagai. Segar-segar semuanya.


Lade Marang - orang Terengganu memanggil cili besar panjang kurus ini.


Lade Beso - anda mengenalinya dengan nama cili besar.


Beras pulut dan pelbagai kacang.


Asang gelugo - anda kenalinya dengan nama asam keping.


Udang kering - hasil tangkapan laut untuk penambah rasa makanan.


Bukan untuk jualan. Ini adalah haiwan yang biasa kelihatan di mana-mana pasar. Hidup tidak bertuan.


Kawasan jualan hasil tanaman sayur-sayuran. Pembeli dan penjual saling tawar-menawar harga.

Penuh dengan pengunjung di setiap pagi.


Sotong - enak dibuat ketupat sotong. Digoreng celup tepung ranggup pula rasanya.


Kawasan gerai jualan hasil tangkapan laut. Ikan, ketam dan sotong.



Pasar Besar di daerah Dungun,
Tempat jual beli juga bertemu,
Kita kan singgah kita kan berpantun,
Semua pasar di dalam Terengganu...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, June 27, 2010

0 orang royak doh

Post a Comment

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir