Monica Bay Pantai Mak Nik,
Tempatnya sama beza bahasa,
Kembara kita ke Pantai Kemasik,
Indahnya rasa tempat selesa....


Pantai Kemasik yang terletak di Kemasik di dalam daerah Kemaman merupakan pantai yang indah dengan batuan, lagun dan mempunyai ciri-ciri geografi yang lengkap dengan bukit bukau, pasiran yang landai serta landskap perkampungan nelayan yang begitu klasik dancantik. Pantai ini terletak di tepi jalan dari arah Kuala Terengganu - Kuantan.

Jika anda pernah menonton filem sequel Kumpulan Lawak Senario yang bertajuk Senario Lagi, ketika geng mereka pergi ke Pantai Skodeng dan ketika salah seorang watak dalam filem tersebut mencari kereta yang dicuri, di kawasan pantai, maka Pantai Kemasik inilah yang dinamakan Pantai Skodeng tersebut. Adapun perkataan skodeng ini adalah berasal dari slanga negeri Terengganu dan Kelantan. Dengar cerita perkataan skodeng ini berasal dari kata Inggeris iaitu squad down, iaitu salah satu cara tentera meniarap di atas tanah dan meninjau keadaan sekeliling. Jadi perkataan squad down itu lama-kelamaan menjadi slanga dengan disebut sebagai skodeng.

Pantai Kemasik ini selalu menjadi pilihan jurugambar dan syarikat pembuat kalendar dan poskad untuk dicetak lantaran keindahan panorama di sini. Bagi mendapatkan rasa keindahan tersebut, hayati gambar-gambar yang penulis lampirkan di bawah ini.


Batuan di tebing pasir, dan batuan tinggi atau bukit berbatu dan pokok tumbuh elok di atas batuan tinggi tersebut begitu indah dan mengasyikkan.


Pantai berpasir yang landai, dan kelihatan sampan-sampan berlabuh di tepi pantai menggambarkan suasana klasik.


Pantai di sini mempunyai banyak bukit berbatu yang tinggi dan bertebingkan laut. Cubalah panjat untuk mendapatkan suasana laut yang asyik.


Laut biru kehijauan yang tenang. Ombak kecil berulang-ulang memecah pasiran pantai.


Di sini juga terdapat bukit hutan dan batu yang tinggi. Kelihatan wakaf di kaki bukit sebagai tempat rehat untuk pengunjung.


Pantai dan pohon Rhu umpama isi dengan kuku jika anda mengunjung pantai di sepanjang negeri Terengganu ini. Terdapat juga kemudahan kedai makan, tandas, tempat letak kereta. Pendek kata fasiliti di sini lengkap untuk pengunjung.


Binaan wakaf, jambatan dan pelantar sebagai tempat berehat . Ia umpama jeti atau pengkalan nelayan tetapi ia dibina cantik sebagai tempat rehat pengunjung.



Pantai Kemasik berbatu tinggi,
Hati-hati bila melangkahnya,
Ke pantai lain ingin singgahi,
Daerah Dungun mesra orangnya...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, June 8, 2010 0 orang royak doh

Setelah tamat jejak kota,
Bersua pula di pantai indah,
Kembara ini bukan seloka,
Ingin berkongsi bukan bermadah...

Pantai Teluk Mak Nik yang terletak di dalam daerah Kemaman menjadikan pilihan penulis untuk permulaan penceritaan kembara penulis di sekitar pantai di dalam negeri Terengganu ini. Pantai ini tidak jauh dari Bandar Chukai, sebuah bandar bagi daerah Kemaman yang meningkat maju lantaran daerah ini di kelilingi industri berat terutama besi dan petrokimia serta petroleum. Tambahan pula daerah Kemaman mempunyai pelabuhan yang dinamakan KSB atau Kemaman Supply Base yang menjadi tempat pendaratan peralatan industri petroleum dari pelantar minyak dan gas. Kedengaran juga cerita pelabuhan ini merupakan pelabuhan yang dasarnya amat dalam berbanding dengan pelabuhan Kuantan.

Kembara Pantai penulis dimulakan dengan Pantai Teluk Mak Nik kerana pantai ini merupakan paling selatan dalam negeri Terengganu yang bersempadan dengan negeri Pahang. Jikalau dari arah Kuantan, boleh mengambil simpang jalan Lampu Isyarat depan Pasar Raya Sama Maju atau lebih mudah dengan melihat papan tanda arah ke INTAN (Institut Tadbiran Awan Negara). Jika dari Bandar Chukai sila masuk ke simpang kiri yang berada di depan sedikit dari Masjid Geliga. Sila lihat papan tanda untuk memudahkan perjalanan.

Setelah memasuki simpang tersebut anda akan terjumpa simpang tiga iaitu jika ke kiri anda akan tiba kawasan gerai jualan makanan gerai dan warung jualan makanan tradisi Terengganu terutama Sata dan Otak-Otak Terengganu. Jika ke kanan dan terus ke depan anda akan tiba ke satu simpang ke kiri yang menunjukkan arah ke Pantai Teluk Mak Nik. Sila ingat! Ikut arahan papan tanda.


Pantai yang landai jauh dari laut. Pasir kuning dan berumput bertompok selerak. Kelihatan gelanggang bola tampar pantai dengan kerusi panjang untuk penonton. Agak-agak bila ESPN ingin jadikan gelanggang ini sebagai tempat kejohanan dunia? Fuh! Amat menarik jika diadakan di sini.


Kerusi panjang penonton yang diletakkan sebelah menyebelah. Laut membiru yang membuai rasa. Jika bermain di gelanggang ini pasti pemainnya terleka sekejap keindahan biru laut dan langit yang seolah-olah bercantum dihujungnya.


Dari jauh kelihatan tandas awam. Mungkin sesuai juga dijadikan tempat persalinan pakaian selepas bermain bola tampar. Lepas penat bertampar dengan bola, bolehlah terus terjun laut bagi memulihkan tenaga yang hilang.


Kawasan teduhan pokok Rhu. Pokok-pokok Rhu yang rendang ini terletak berhadapan dengan INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara). Kawasan ini walau dalam keadaan panas terik tengahari, ia masih teduh dan sesuai untuk dijadikan kawasan berkelah. Bentang tikar, letakkan tenong, ceduk nasi dan kuah, segarkan dengan minuman sejuk. Mata sayup memandang ke tengah laut sambil angin di sini menampar lembut pipi. Indah!


Lagi kawasan teduhan pokok Rhu yang begitu banyak tumbuh di sini. Berhampiran kawasan ini juga terdapat beberapa wakaf dan tong sampah. Ingat! Sayangi pantai kita, setelah berkelah sila buangkan segala sampah di dalam tong sampah yang disediakan.



Baru bermula kembara pantai,
Dari selatan ke utara,
Mari singgah dan bersantai,
Ke Pantai Kemasik betapa indahnya...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, June 7, 2010 0 orang royak doh

Ketemu semula di ruang kota,
Bahagian akhir akan terungkai,
Di bawah di luar akan kucerita,
Semua jejak telah kusampai...


Pagar kota yang usang dan berlumut. Menambahkan lagi pandangan silam dan nostalgia. Pagar yang berlekuk di bahagian tengah dan atas. Dalam bahasa Inggeris dipanggilnya cornish.


Rumah belakang atau mengikut pelan kota lama ini dipanggil Sorong Belakang. Penuh dengan senibina kayu berukir, bertangga kayu dan sedikit pagar konkrit berpintu kayu. Gambar ini penulis telah letakkan di dalam entri Kembara Kota Lama Duyong : Pahatan Monumen.


Kolah konkrit. Mungkin untuk basuhan kaki atau tadahan air hujan yang terletak di bahagian belakang rumah atau dikenali dengan nama Sorong Belakang.


Dinding berkonkrit dan berdaun pintu kayu di bahagian bawah. Tingkat atas ialah bilik air. bagi lebih jelas untuk melihat ruang dalam bilik air ini. Sila ke entri Kembara Kota Lama Duyong : Ruang Kota 04.


Lagi gambar dinding konkrit-sama seperti gambar di atas.


Gambar ini penulis ingin menunjukkan ada saluran hujan berbentuk L. Sila perhatikan bahagian bawah bumbung, ada bentuk kayu yang diikat pada galang bumbung. Rasanya saluran hujan ini jika ada hujan turun airnya akan jatuh tepat ke dalam kolah-sila rujuk Kembara Kota Lama Duyong : Ruang Kota 04.


Plak yang ditampal pada dinding konkrit. Gambar dinding konkrit ini adalah sama dengan gambar-gambar di atas.


Inilah Kota Lama Duyong dari bahagian hadapan. Semoga anda dapat manfaat dan mengenali warisan Terengganu ini. Penulis ingin menambah maklumat bahawa tandas awan disediakan berhadapan dengan kota lama ini tetapi di luar pagar kota. Kunci boleh didapati daripada kakitangan muzium yang bertugas di Kota Lama Duyong ini.



Tamat sudah kembara kota,
Ditanda tinta buku pelawat,
Ada lagi banyak kembara,
Tunggu sahaja jangan terlewat...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, June 1, 2010 0 orang royak doh

Ada ukiran ada pahatan,
Begitu cantik halus buatannya,
Ada kayu ada batuan,
Mari lihat mari hayatinya...


Pahatan kayu tepi bawah dinding mencecah lantai (skirting) yang berlekuk dan berteluk atau dalam bahasa Inggeris dipanggil cornish. Pastinya ia menuntut kesabaran yang tinggi dalam menghasilkannya.


Kawasan pagar kecil dan pintu pagar kecil yang penulis katakan sebelum ini. Ia terletak di tingkat bawah berhadapan dengan pintu masuk rumah. Pintu pagar kecil berukir bermotif disebelah atas dan berpalang menegak di bahagian bawah.


Pagar kayu yang penuh ukiran berwarna coklat dan dipasang hubung dengan tiang konkrit putih berbelang hitam.


Lantai putih seperti dari jenis tiles dan berselang seli dengan lantai bercorak permata (diamond) yang berwarna hitam.


Pagar bagi ruang kaki lima di tingkat atas. Penuh dengan ukiran. Ruang ini disokong dengan tiang konkrit berukir. Palang lantai di sebelah hujungnya dipahat gergaji seperti bentuk pergola yang menjadi trend masa kini.


Pintu pagar kecil kayu penuh ukiran di sebelah tengah, berpalang menegak di sebelah atas dan bawah. Ianya terletak di kawasan hadapan rumah sebelah kanan jika kita menghadap rumah. Tembok pagar seperti kota dan kubu ini mempunyai pintu pagar kecil molek ini menambahkan seni dan menarik perhatian. Pintu pagar ini dikukuhkan dengan dihubungkan kepada dua tiang konkrit di kiri dan kanan.



Sungguh banyak ukiran kayuan,
Disokong pula batuan konkritnya,
Nantikan pula cerita akhiran,
Ruang belakang dan di luar pula...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, May 31, 2010 0 orang royak doh

Mari jejak ke tengah hadapan,
Rumah tengah nama benarnya,
Ada pameran kapal di depan,
Pelbagai jenis dan ragamnya...


Di ruang tamu tengah atau Rumah Tengah mengikut pelan rumah kota lama ini dipamerkan pameran perahu/bot/kapal dengan model bernisbah kecil serta sedikit penerangan berbentul artikel dipaparkan.

Model kecil perahu dan bot. Bukan untuk mainan tapi hiasan pameran. Menarik kalau ada direka bot kayu ini dikawal dengan alat kawalan berkuasa bateri-menarik untuk dibeli.


Pintu kayu ini menarik perhatian. Bentuk yang ringkas dengan selak kayu dan berdinding anyaman berwarna kuning jerami kering.


Bilik tidur. Di luar bilik di tepi dinding kelihatan pameran bergambar berkenaan perahu dan kapal lama di Terengganu. Di atas pintu bilik kelihatan ruang angin daripada ukiran kayu. Motifnya mungkin dari jenis flora atau sebaliknya?


Di dalam rumah kota lama ini juga terdapat pameran barangan tembaga yang sinonim dengan negeri Terengganu dan menunjukkan begitu mahirnya orang-orang Melayu Terengganu dalam pembuatan barangan seni ukir.



Jejak kota tidaklah puas,
Belum tamat belum sudahnya,
Jejak lagi semua aras,
Kita jelajah sampai habisnya...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, May 30, 2010 0 orang royak doh

Rumah kota banyaknya ruang,
Dihubung jalan kaki lima,
Berlantai kayu jalannya senang,
Berbumbung teduh sungguh selesa...

Banyak lagi ruang di dalam rumah kota lama ini yang ingin dikongsikan oleh penulis. Seperti di artikel terdahulu penulis ada menyatakan ada lalulan kaki lima atau koridor yang menghubungkan setiap ruang di dalam rumah ini. Penulis ingin berkongsikan gambar dan artikel lagi di sini.

Tanpa flash kamera.


Dengan flash kamera.

Gambar di atas adalah laluan ke ruang dapur. Sedikit gelap dan ada beberapa cahaya masuk dari lampu dinding dan memerlukan flash dari kamera untuk mengambil gambar di ruang ini.


Lagi laluan ke arah ruang dapur dan terdapat lampu hiasan moden tetapi berbentuk klasik diletakkan di tepi dinding. Jika lampu ini tidak dipasang suasana di ruang mungkin mungkin agak gelap sedikit. Dinding kayu berona coklat dan terdapat palang-palang kayu berjarak sederhana rapat supaya ruang udara melalui di atasnya.


Inilah gaya dapur zaman silam. Tanpa dekorasi ala Eric Leong, cuma berdinding kayu rona coklat, para kayu berona hitam di hujungnya berbentuk seperti potongan pergola. Segala barang dapur diletakkan di atas para ini. Nasihat penulis jangan cari para ini di Ikea, anda tidak akan terjumpa.


Sila lihat tempat penyangkut segala sudip, penyedok, dan senduk telah diletakkan di situ. Klasik. Betapa orang Melayu dahulu telah mengamalkan sistem 5S yang dipelopori oleh orang-orang Jepun. Ini adalah contoh S yang kedua iaitu Seiton atau dalam Bahasa Melayunya ialah Susun (Peralatan dan bahan mestilah disusun secara sistematik untuk capaian mudah dan cekap. Perlu ada tempat untuk setiap benda, dan setiap benda mesti berada di tempatnya.)


Lagi para tetapi bersaiz kecil dan menjadi tempat letak pinggan mangkuk. Seperti almari kecil tidak berdinding. Pinggan mangguk disusun rapi. Di tepinya di atas lantai diletakkan lesung batu. Di tepi dinding pula disangkut tudung salji mengkuang. (Sukanya diingatkan pemadam api berwarna biru itu bukanlah hiasan dan menggambarkan zaman silam, ianya untuk keselamatan diri!)

Ini pula ialah ruang di belakang dapur. Berdinding tiang kayu berjarak sederhana rapat.


Ruang bilik air. Gambar diambil dari celah pintu.


Di ruang bilik air ini terdapat kolah besar dan satu lagi seperti perigi. Dinding separuh konkrit dan terbuka di bahagian atas.


Cerita dapur berkait masakan,
Dapur bersih hati senang,
Lepas ini ruang tengah di depan,
Juga bilik tempat berlenang...

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Daun pintu unik bentuknya,
Rumah biasa payah dicari ,
Sirip kayu ruang udara,
Dibuka ditutup senang sekali...

Ada satu reka bentuk yang menarik perhatian kepada pihak penulis berkenaan rumah di Kota Lama Duyong ini. Reka bentuk tersebut ialah daun pintu yang mempunyai sirip-sirip kayu bagi tujuan pengudaraan di dalam rumah (seperti ventilasi atau ventilation ). Lihat gambar di bawah ini :

Sirip kayu pengudaraan dalam keadaan tutup.


Sirip kayu pengudaraan dibuka dengan menggunakan kayu menegak di tengah-tengah daun pintu. Ringkas tetapi satu teknologi pintar zaman silam. Sedikit sentuhan mekanikal ini begitu menarik perhatian.

Selain daripada itu penulis juga tertarik dengan cara pendawaian elektrik yang dilakukan di dalam rumah ini. Kebiasaanya di rumah biasa kita akan melihat pendawaian elektrik akan ditanam di dalam diding bersimen atau di lekatkan pada dinding rumah berkayu dengan menggunakan timah dan dipaku. Ada juga menyorokkan pendawaian ini dengan menggunakan casing (sarung pendawaian elektrik diperbuat daripada plastik) berwarna putih ataupun mengunakan conduit pipe berwarna putih. Uniknya rumah ini menggunakan casing tetapi berwarna coklat berbentuk seperti kayu dan sepadan dengan warna dinding rumah kayu. Suis yang digunakan pun juga adalah dari jenis lama. Lihat gambar di bawah ini :




Telah cerita teknologi lama,
Ada klasik ada baharu,
Sabar tuan-puan ceritanya ada,
Tunggu sahaja artikel terbaru...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, May 29, 2010 0 orang royak doh

Ruang bawah telah lewati,
Menjejak tangga ke ruang atas,
Tanggal dahulu alas kaki,
Rumah Melayu adab dan batas...

Setelah selesai di bahagian bawah rumah penulis mengikut kakitangan muzium ke bahagian atas. Perlu diingatkan di sini untuk masuk ke ruang tingkat atas setiap pelawat harus menanggalkan kasut atau selipar bagi menjaga kebersihan rumah kota lama ini. Menaiki tangga kayu ke ruang atas tidak begitu tinggi tetapi perlu berhati-hati. Sampai sahaja di ruang atas terlihat pagar kayu di laluan serambi yang begitu cantik sekali. Kelihatan juga langit cerah dari arah muara Sungai Terengganu dan pantai .

Penulis tidak tahu motif ukiran ini samada dari jenis bunga atau daun ataupun dari betuk haiwan mahupun serangga. Apa yang pasti ia cantik dan unik di samping warna coklat gelap (Slanga Terengganu menyebut warna Coklat sebagai warna Koko) yang memukau pandangan.

Di bahagian hadapan rumah ini terdapat serambi yang berdinding dan berpintu yang terpisah dengan ruang tamu utama rumah ini (mengikut pelan rumah kota lama ini ruang tamu utama di bahagian hadapan dipanggil Rumah Depan). Unik sekali dan ruang serambi berdinding ini dipisahkan juga dengan laluan seperti kaki lima atau koridor bangunan konkrit. Rumah Melayu biasa tidak berbentuk seperti ini.


Serambi berdinding seperti ruang rehat dan juga kelihatan seperti ruang pejabat.


Kerusi meja yang terdapat di kawasan yang penulis katakan ruang serambi berbumbung dan berdinding.



Gambar di atas ini ialah ruang kaki lima yang berbumbung yang menyambung ke pelbagai ruang di dalam rumah ini. Reka bentuk kaki lima di dalam rumah ini ada yang menghubungkan dapur, bilik mandi dan serambi. Sungguh unik!







Gambar di atas ialah gambar pameran artikel dan gambar tokoh-tokoh yang tersohor di negeri Terengganu yang berkaitan dengan kota ini dan Pulau Duyong. Ia diletakkan di ruang tamu rumah ini (Rumah Depan).


Henti sekejap buat seketika,
Walau banyak ruang di atas,
Kota lama dua tingkatnya,
Nantikan lagi jangan terlepas...

Imbauan oleh/Posted by AWANG 0 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir