To Nusuk atau To Nusup dikenali sebagai main sorok-sorok oleh masyarakat luar Terengganu. Ia merupakan permainan tradisonal yang popular bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dan boleh dikatakan dimainkan oleh semua kanak-kanak di Malaysia. Cara bermain permainan ini ialah :

  • Pengundian akan dijalankan seperti yang telah diterangkan sebelum ini, sila rujuk entri Undian bagi mendapatkan siapa yang akan menjadi pencari yang akan mencari pemain-pemain lain yang akan bersembunyi.
  • Setelah proses undian selesai, orang yang akan menjadi pencari akan mencari tiang atau pokok dan mengadapkan muka pada tiang tersebut. Biasanya tiang rumah Terengganu yang tinggi menjadi pilihan kanak-kanak. Kedua-tua tapak tangan diletakkan pada paras matanya dan mukanya dipekupkan pada belakang tapak tangan tersebut. pencari ini akan mula mengira antara 1-20 atau 1-100. Semasa mengira pemain-pemain lain akan mencari tempat yang terbaik untuk bersembunyi. Tempat yang menjadi pilihan ialah kawasan belakang gok ayang (reban ayam), bawah rumah tempat simpanan papan atau kayu, atau belakang pokok.
  • Setelah tamat sebelum membuka matanya, pencari ini akan menempikkan suara bertanya "Aci dok aci agi...?" (Dah ke belum?) Dari jauh tempat bersembunyi pemain lain yang bersembunyi akan menyahut menjawab "Dok aci agi" (Belum lagi!) Itu bermaksud pemain-pemain lain belum bersedia untuk bersembunyi, dan pencari akan mengira semula nombor atau menunggu sekejap dan bertanya sekali "Aci dok aci agi...?". Jika pemain-pemain lain yang telah berjaya bersembunyi mereka akan menjawab "Aci doh!" (Dah sedia!) Si pencari akan membuka mata dan mula mencari pemain-pemain yang tersembunyi.
  • Apabila proses mencari pemain yang tersembunyi dijalankan oleh pencari , semua pemain-pemain yang bersembunyi akan mendiamkan diri untuk mengelakkan dari ditangkap. Jika pencari berjaya menangkap pemain yang pertama bersembunyi, pemain ini mesti berada di kawasan berdekatan dengan tempat tiang pengiraan tadi. Pencari ini akan meneruskan pencarian sehingga kesemua pemain dijumpai dan ditangkap. Proses menangkap ini bukanlah dengan cara menangkap dengan memegang pemain tersebut, tetapi jika dapat dilihat dan dijumpai sudah memadai dan menyebut nama pemain itu dan mengatakan bahawa ia telah dijumpai atau ditangkap. (Jika semuanya berjaya ditangkap, pemain yang pertama tadi pula akan menjadi pencari dan proses pengiraan akan bermula semula seperti awal-awal permainan tadi).
  • Perlu diingatkan juga semasa pencari telah berjaya menangkap pemain pertama, pencari ini perlu berhati-hati juga kerana si pencari perlu berwaspada agar tiang tempat pegiraan tadi tidak ditawan oleh orang yang masih bersembunyi. Ini kerana sebagai contohnya walau pencari ini telah berjaya menangkap satu atau dua atau tiga orang sekalipun, pemain lain yang masih bersembunyi boleh keluar dari tempat persembunyian dan secara berhati-hati menawan tiang pengiraan tersebut kembali dengan mencuit atau menempuk tiang tersebut kemudian bertempik mengatakan bahawa tiang tersebut telah berjaya dicuit dan ditawan. Ini menyebabkan pencari ini terpaksa mengulang proses pengiraan semula dan semua pemain-pemain sama ada yang telah ditangkap, yang keluar menawan tiang, dan yang masih bersembunyi kembali keluar dari tempat persembunyian dan permainan bermula semula seperti awal permainan.
  • Permainan ini memerlukan kecekapan si pencari agar dia tidak asyik menjadi pencari dan perlu berhati-hati dalam mencari pemain tersembunyi dan menjaga tiangnya.


"Permainan ini akan ditamat sebelum senja, balik rumah, mandi, solat dan mengaji..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, July 31, 2010 0 orang royak doh

Aci

Aci. Aci adalah satu istilah yang disebut dalam permainan tradisional Terengganu malah ada juga digunakan masyarakat luar Terengganu. Cumanya istilah ini digabungkan dengan slanga Terengganu. Antara perkataan yang disebut oleh kanak-kanak Terengganu ketika memainkan satu permainan ialah "Aci dok agi?", "Dok aci agi...!", "aci doh...!", "dok aci maing gitu....". Penulis akan memberi contoh ketika mana istilah-istilah ini disebut :


Aci dok agi? Dok aci agi! Aci doh!
Sebagai dalam permainan ter nusuk (sorok-sorok) orang yang jaddi atau pencari akan memulakan permainan dengan mengira nombor sebagai contoh 1-20 sambil mememjamkan mata di satu sudut. Setelah tamat sebelum membuka matanya, pencari ini akan menempikkan suara bertanya "Aci dok aci agi...?" (Dah ke belum?) Dari jauh tempat bersembunyi pemain lain yang bersembunyi akan menyahut menjawab "Dok aci agi" (Belum lagi!) Itu bermaksud pemain-pemain lain belum bersedia untuk bersembunyi, dan pencari akan mengira semula nombor atau menunggu sekejap dan bertanya sekali "Aci dok aci agi...?". Jika pemain-pemain lain yang telah berjaya bersembunyi mereka akan menjawab "Aci doh!" (Dah sedia!) Si pencari akan membuka mata dan mula mencari pemain-pemain yang tersembunyi.


Doh aci maing gitu
Ayat ini kadang disebut "mane aci maing gitu", ia menggambarkan ketidakpuashatian pemain atau pasukan lain ke atas satu pemain lain atau satu pasukan lain atas tindakan bermain secara menipu atau mengelat. Sedikit perselisihan faham berlaku. Kebiasaannya selepas sikap protes yang dilakukan oleh satu pasukan ke atas pasukan yang lain, sikap toleransi pula akan muncul dan permainan dilakukan semula. Ia umpama sportmanship atau sikap semangat kesukanan dalam permainan moden bolasepak.

Inilah antara istilah-istilah atau ayat yang berkaitan dalam permainan tradisional Terengganu seperti yang telah diterangkan sebelum ini iaitu Jaddi, Llekpék, Mokpék dan Cokko!



"Aci...aci buka pintu... Nana balik pukul satu..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, July 30, 2010 0 orang royak doh

Main jet luncur daun palas atau menjadikan daun palas seperti jet yang meluncur terbang adalah permainan kanak-kanak di Terengganu pada waktu petang. Di negeri Terengganu begitu banyak pokok-pokok palas menjadi tumpuan kanak-kanak untuk mencabut daun ini untuk dijadikan jet luncur ke udara.

Jika kanak-kanak di bandar tertarik dengan kapal terbang kawalan jauh, kanak-kanak di kampung hanya memerlukan permainan yang tidak memerlukan sumber kewangan yang tinggi untuk bermain satu permainan. Cara bermain luncur daun palas atau jet daun palas ini ialah dengan cara di bahagian pangkal daun ini akan di koyak sedikit di posisi kiri dan kanan dan daun itu yang dikoyakkan itu dibengkokkan ke bawah sebagai tempat memegang atau peluncur. Bahagian urat tengah daun di bahagian pangkal dibiarkan terjulur supaya ia menjadi kepala jet. Bahagian hujung daun berbentuk tirus (segitiga) akan dibiarkan berada di bahagian bawah.

Pegang daun yang dikoyak kiri dan kanan dengan sebelah tangan dengan posisi paras kepala, ambil lanjakkan dan luncur ke atas. Jet yang terbang paling tinggi dan jatuh pada jarak paling jauh dari tempat yang dilancarkan dikira pemenang.

Selain menggunakan daun palas ada juga yang menggunakan daun mengkuang tetapi perlu membuang durinya dahulu, dan ada yang menggunakan daun lalang.


Daun yang dikoyakkan kiri dan kanan daun di sebelah pangkal.


Daun yang dikoyakkan ini akan menjadi peluncur.



"Daun Palas dibuat ketupat, daun mengkuang dibuat tikar, daun lalang?"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, July 29, 2010 0 orang royak doh

Permainan Cak kekok Kaki Ayam merupakan permainan yang begitu klasik dan tradisional. Ia dimainkan dalam beberapa kumpulan kanak-kanak sebagai contohnya dua kumpulan setiap kumpulan mempunyai ahli seramai tiga orang. Permainan ini dimainkan di kawasan tanah lapang.

Setiap ahli kumpulan akan berdiri dalam bentuk bulatan dan membelakangkan badan. Setiap seorang akan mengangkat satu kaki ke belakang dan menyilangkan kaki berpaut antara satu sama lain.

Kemudian setiap ahli akan meloncat melompat dengan sebelah kaki sambil bertepuk tangan dan menyanyikan serangkap lagu pantun:

Cak kekok kaki ayam,
Belaga sama puyuh,
Dok cakak jalang malang,
ambik lapu wak suluh...

Terjemahan :
Cak kekok kaki ayam,
Berlaga sama puyuh,
Tak larat jalan malam,
Ambil lampu buat suluh...

Sewaktu meloncat dan menyanyikan lagu ini, setiap ahli perlu mengimbangkan badan, jika mereka jatuh atau pautan silangan kaki tadi terjatuh akan dikira kalah. Kumpulan yang dapat mengekalkan posisi akan dikira pemenang.


"Ayam hanya main lari-lari jika dikejar sebelum dibuat lauk"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Wednesday, July 28, 2010 0 orang royak doh

Satu lagu nyanyian oleh Ramli Sarip hasil nukilan Datuk Dr. Rosli Mat Hassan , menceritakan sejarah bermulanya daerah Dungun dan tokoh-tokoh yang terlibat dalam sejarah perjuangan dan pembangunan daerah ini. Pewaris Anak Dungun. Mungkin daerah-daerah lain di dalam negeri Terengganu boleh melakukan sesuatu yang sama dalam bentuk lagu untuk menceritakan sejarah pembentukan daerah dan tokoh-tokoh dalam daerah masing-masing. Lagu puisi Pewaris Anak Dungun ini dilagukan dengan merdu dan penceritaan sejarah di daerah Dungun menjadikan ia mudah difahami. Anak-anak Terengganu sendiri mempunyai ramai komposer yang terdiri daripada Manan Ngah, Azam Dungun, Wan Zul, Dr. Wan Zawawi, dan mungkin ada generasi-generasi baru yang penulis tidak kenal tetapi mereka mungkin boleh menghasilkan sesuatu untuk negeri tercinta ini.



"Untuk Anak Dungun, Pewaris Anak Dungun..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Tuesday, July 27, 2010 0 orang royak doh

Terengganu pada waktu pagi penuh dengan juadah. Kuih muih dan makanan yang agak berat iaitu nasi. Ia terdiri dari nasi lemak berkuah bilis berkuah ikan tongkol, nasi dagang berkuah ikan tongkol yang telah direbus lama dan diperam antara satu hingga ke tiga hari sebelum dimasak berkuah supaya rasa ikan itu menjadi enak. Proses rebus dan peram ikan ini orang Terengganu memanggilnya ikan mata air.

Caranya merebus dan peram ini ialah pada hari pertama ikan tongkol direbus kemudian diperam. Hari kedua proses yang sama direbus atau dihangatkan kembali. Hari ketiga juga proses yang sama dilakukan. Kemudian barulah ikan tersebut dimasak sebagai kuah nasi dagang. Rasanya enak tidak terkata. Kelebihannya rasa hanyir tidak ada. Bagi proses membuat kuah nasi lemak berkuah ikan tongkol juga sama dengan kuah nasi dagang berkuah ikan tongkol. Perbezaannya ialah ada sesetengah orang apabila proses hari ketiga telah siap, ikan tongkol tersebut digoreng dahulu sebelum ditumis menjadi kuah nasi lemak. Ada juga yang tidak menggoreng dahulu ikan tersebut, tetapi terus menumis memasaknya menjadi kuah nasi lemak ikan tongkol. Bagaimana? Rasa terliur?

Berbalik kepada cerita juadah pagi di Terengganu, kuih-muih yang mudah didapati di sini ialah kayu keramat, karipap, donut melayu, kuih paung goreng (atau kuih bom berinti ikan), jemput-jemput bilis atau pisang dan pasti semestinya keropok lekor goreng. Tidak lupa juga pulut kuning berkuah ikang tongkol (sama seperti kuah nasi dagang dan pulut kuning di Terengganu dipanggil sebagai nasi kunyit lantaran warna kuningnya bukan kerana ia dicampur dengan kunyit) dan nasi minyak berlauk kari ayam. Tidak perlu menunggu masjlis perkahwinan atau majlis-majlis lain untuk mencari pulut kuning dan nasi minyak kerana pagi di Terengganu amat mudah mencari sajian-sajian ini.


"Nasi Kunyit Nasi Dagang dan Pulut Gaul Nyo....Selamat Bersarapan"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Monday, July 26, 2010 0 orang royak doh

Lawan Kemuncup atau berlaga Kemuncup adalah satu permainan yang ringkas dan tidak memerlukan pemain yang ramai. Dua orang pemain sahaja sudah mencukupi. Caranya ialah setiap seorang harus mencabut kemuncup di padang dan masing-masing memegang kemuncup di bahagian akar.

Masing-masing akan memegang kemuncup dalam posisi kemuncup tersebut dalam keadaan terlentang (seperti memegang pistol atau remote tv). Kedua-dua hujung bunga kemuncup akan dilekatkan dan dipusing ke arah yang berlawanan oleh kedua-dua pemain tersebut sehingga kemuncup tersebut terikat dan melekat.

Kemudian kedua-dua pemain tersebut akan menarik kemuncup-kemuncup secara serentak untuk memastikan memutuskan kemuncup lawan . Bunga Kemuncup siapa yang putus akan dikira kalah.


Dua kemuncup sedia untuk berlawan.


Dua kemuncup berpaut antara satu sama lain.


Dua kemuncup saling bersaing untuk memutuskan batang dan bunga.


Kemuncup kanan diisytiharkan menang kerana masih segar dan tidak putus dan kemuncup kiri diisytiharkan kalah kerana telah putus bunga dan batangnya.



"Berhati-hati dengan kemuncup, kalau melekat pada seluar dengan kadar yang banyak, agak sukar membuangnya..."

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, July 25, 2010 1 orang royak doh

Anok kang. Pernahkah kita tengok adik-adik kita bermain satu keping kertas yang mempunyai pelbagai gambar dikoyak mengikut urat potongan yang telah dicetak? Satu keping kertas yang mempunyai gambar perempuan, baju-baju pelbagai warna, corak dan fesyen, kasut pelbagai jenis, beg tangan serta aksesori wanita yang lain. Kertas keras ini dibeli dengan harga 20 sen di kedai runcit. Itulah Anok kang. Mungkin orang di luar Terengganu memanggilnya main patung kertas?

Permainan ini bukanlah satu permainan yang terlalu tradisional untuk rakyat Terengganu tetapi ia boleh dikatakan permainan yang klasik pada zaman moden. Kanak-kanak perempuan biasanya bermain dengan adik-beradik perempuan yang lain atau kawan kanak-kanak perempuan yang lain. Biasanya mereka bermain di dalam rumah atau di serambi rumah (rumah-rumah lama Terengganu banyak mempunyai serambi yang luas dan lebar).

Permainan kanak-kanak perempuan ini adalah pengganti kepada kemahalan anak patung Barbie yang sungguh mahal pada satu ketika dahulu. Anak-anak kampung rasanya sudah cukup gembira dengan permainan anok kang ini. Boleh mengganti pelbagai baju, kasut dan aksesori yang lain. Perkataan Anok kang ini mungkin adalah dari perkataan anak-anakkan disebabkan ini adalah permainan kanak-kanak perempuan.



"Jadi sekarang ada lagikah Anok kang dijual di kedai runcit? Rasa macam tidak".

Imbauan oleh/Posted by AWANG Saturday, July 24, 2010 3 orang royak doh

Cokko!

Orang putih kata "take a brake". Orang Terengganu kata "cokko". Perkataan ini disebut apabila seseorang pemain dalam sesuatu permainan tradisional contohnya te duduk, te boye atau cuik tiang. Cokko disebut sebagai tanda orang yang menyebutnya meminta kebenaran daripada orang yang jjadi untuk berehat sekejap atau melakukan sesuatu perkara yang lain ( atau mengelat ).

Bagi penutur slanga Terengganu, perkataan Cokko disebut semasa meminta kebenaran untuk BERHENTI SEKETIKA atau meminta untuk TUNGGU SEKEJAP sewaktu kumpulan kanak-kanak memainkan sesuatu permainan tradisi Terengganu.

Penutur Bahasa Jepun atau Nihonggo menyebut perkataan Chotto - yang membawa maksud SEKEJAP. Chotto Matte - yang membawa maksud TUNGGU SEKEJAP.

Antara Cokko dan Chotto membawa maksud yang agak sama cuma digunakan pada waktu yang berbeza. Perbezaannya ialah seperti yang ditulis di atas ialah Cokko disebut oleh penuturnya semasa permainan tradisi Terengganu dimainkan manakala Chotto disebut oleh penuturnya pada perbualan harian biasa.


Lumba lari.

"Ong yo mak, gék sék... go...!". Meluncur laju berlari. Lumba lari beramai-ramai. Tiada lorong larian atau lane. Tiada tali yang apabila dilanggar terus putus sebagai tanda pemenang. Cuma yang ada penanda garisan penamat. Takpun jadikan tiang atau pokok sebagai tanda penamat lumba lari. Kaki ayam aje. Tak ada kasut sprinter yang berpaku. Pecut laju berlari. Siapa sampai dahulu dikira pemenang.

Nostalgia. Main lumba lari di padang yang berumput sedikit, berbatu dan berpasir. Salah seorang kanak-kanak akan berlagak menjadi pengadil dan menjerit "Ong yo mak, gék sék...go...!".

Orang putih kata "On your mark, get set, go...!"

Imbauan oleh/Posted by AWANG Friday, July 23, 2010 0 orang royak doh

Terengganu sudah semestinya mempunyai banyak permainan tradisi yang tersendiri. Ada juga permainan tradisi kanak-kanak Terengganu yang mempunyai cara dan peraturan yang sama dengan negeri-negeri lain tetapi menggunakan nama panggilan permainan yang berbeza. Antaranya ialah :
  • To nnusuk = Sorok-sorok
  • Gelak ceroh = Galah Panjang
  • Maing ook/Petik Mata = Konda-kondi
  • To kejjor = Police Sentri

Permainan lain yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak di Terengganu ialah :
  • To duduk (terduduk) -boleh dimainkan dalam 5 hingga 10 orang kanak-kanak.
  • Permulaan permainannya ialah setiap kanak-kanak akan diundi secara One to zuh (Ooo som), atau Lam tali lam, lai li, tam plum yang kalah akan jaddi pengejar.
  • Cara bermainnya ialah seorang kanak-kanak yang jjadi pengejar iaitu orang yang perlu mengejar sambil menyentuh atau ccuik ( cuit ) kanak-kanak yang lain yang sedang berlari supaya kanak-kanak itu pula yang akan jaddi pengejar.
  • Jaddi ini akan mengejar, dan orang lain selain daripada jaddi akan mengelak sambil berlari. Cara mudah untuk selamat dari disentuh oleh jaddi, dia perlu duduk bertinggung dua kaki. Selepas duduk, jaddi ini akan menyentuhnya supaya kanak-kanak yang duduk ini tidak dapat bangun dan berlari. Sebenarnya dia telah ditangkap oleh jaddi ini secara tidak langsung.
  • Baki kanak-kanak yang tidak duduk dan masih bebas berlari akan cuba mengelak sambil boleh menyelamatkan kawannya yang duduk dengan ccuik atau menyentuh kawan tersebut. Oleh itu, yang duduk ini akan kembali bebas bangun dan berlari.
  • Jika semua kanak-kanak terpaksa duduk (terduduk - seperti nama permainan ini te duduk), undian samaada One to zuh atau Lam tali lam, lai li, tam plum akan diadakan semula.
  1. Jika jaddi ini asyik dia sahaja yang akan mengejar orang sampai keletihan, mungkin permainan tamat begitu sahaja selepas jaddi menjadi llepek atau asyik terkena menjadi pengejar.
Lalu satu lagu yang menyakitkan hati si jaddi...
dinyanyikan secara ramai-ramai oleh kanak-kanak yang lain...

Pék li watako lang...
Llépék sekali...
berbulang-bulang...

Imbauan oleh/Posted by AWANG Thursday, July 22, 2010 1 orang royak doh

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir